Artikel Terkini

Apakah Natijah Ramadhan Kita?

Wednesday, August 17, 2011

Syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kuniaNya kita masih lag diberikan nikmat yang tidak terhingga, nikmat Islam dan Iman. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Penghulu segala nabi dan rasul, Muhammad S.A.W, serta ahl keluarga baginda, para sahabat, serta para pejuang agama Allah S.W.T.


Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang berbunyi :

البقرة: ١٨٣


“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” [ Surah Al- Baqarah : Ayat 183 ]


Begitu juga dengan hadis Rasulullah S.A.W :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Telah menceritakan kepada kami Isma'il berkata, telah menceritakan kepadaku Malik dari Ibnu Syihab dari Humaid bin Abdurrahman dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa menegakkan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". [ Hadis Riwayat Bukhari : Hadis No 36 ]


Kedua-dua ayat al-Quran dan Hadis ini menjelaskan kepada kita kedudukan puasa seseorang yang beriman kepada Allah S.W.T dengan natijah pada akhir Ramadhannya dengan beroleh ketakwaan dan diampunkan oleh Allah S.W.T dosa-dosanya yang telah lalu.


Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan oleh Allah S.W.T untuk mengharungi bulan Ramadhan yang mulia ini dengan kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan yang sering kali kita dengar akan kelebihan ibadat di bulan Ramadhan dan dengan kelebihan malam lailatul qadarnya yang lebih baik daripada 1000 bulan. Kesemuanya Allah S.W.T berikan kelebihan tersebut kepada kita kerana kita ini adalah umat nabi Muhammad S.A.W, yang mana umat nabi Muhammad S.A.W ini bersifat lemah. Firman Allah S.W.T :


ﭣﭤ النساء: ٢٨


“ Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. .” [ Surah An-Nisaa : Ayat 28 ]


Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh al Dailami daripada Anas R.A. (marfu’) :


إِنَّ اللهَ وَهَبَ لأُمَّتِي لَيْلَةَ الْقَدْرِ، وَلَمْ يُعْطِهَا مَنْ كَانَ قَبْلَهُمْ


“Sesungguhnya Allah menganugerahkan bagi umatku Lailatul Qadar dan tidak diberikan anugerah tersebut kepada sesiapa pun sebelum mereka.’


Jika hendak dibandingkan dengan umat terdahulu dengan amal ibadahnya yang beratus-ratus tahun lamanya, sungguh jauh amal ibadah mereka dengan amal ibadah kita, adapun kita 8 rakaat tarawikh pun ada yang malas hendak dikerjakan. Oleh sebab itu, Allah S.W.T mengurniakan kepada kita dengan kurniaan yang istimewa pada bulan Ramadhan ini berbeza dengan bulan-bulan yang lain dan ia merupakan hadiah yang hebat, tawaran yang hebat daripada Allah S.W.T. Yang mana ibadah-badah sunatnya Allah S.W.T gandakan seperti mana kita lakukan ibadah-ibadah wajib dan ibadah-ibadah wajib pula Allah S.W.T gandakan kepada puluhan kali ganda. Maka adakah tawaran yang hebat ini, masih lagi kita lalai dan leka dalam melaksanakan ibadah kita kepada empunya tawaran? Adakah kita yakin bahawasanya kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang? Sedarlah wahai Mahasiswa dan Mahasiswi di perlembahan Nil ini, kita tidak pasti bahawasanya kita akan terus hidup di permukaan bumi Allah ini, yang pastinya ajal tidak kira waktu dan tempat, sesungguhnya yang hidup itu pasti akan mati.


Mahasiswa dan mahasiswi yang dirahmati Allah sekalian, masih tidak terlewat lagi untuk kita memperbaiki amal ibadah kita. Pergunakanlah saki baki Ramadhan ini dengan sebenar-benar penghayatan. Ini kerana orang yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadhan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan taqwa di bulan Ramadhan, sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan dengan bulan Ramadhan dengan penuh kesedihan dan pengharapan. Mereka risau memikirkan apakah amalan mereka diterima, dan dalam masa yang sama mereka amat berharap agar dosa-dosa mereka diampunkan oleh Allah dan diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Diriwayatkan, bahawa orang-orang yang berpuasa kembali pada hari Raya dalam keadaan diampunkan dosa-dosa mereka. Oleh sebab itu, al Muwarriq al ‘Ijli R.A berkata kepada sebahagian saudaranya di tempat solat hari raya :

“Pada hari ini, suatu kaum telah kembali kepada keadaan seperti mana sewaktu mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka (bersih dari dosa).”


Di dalam bulan Ramadhan, diperbanyakkan sebab-sebab untuk mendapat keampunan. Di antara sebab-sebab bagi mendapat keampunan ialah puasa, bangun malam, bangun malam Lailatul Qadar, menjamu orang yang berbuka puasa, zikir dan istighfar, bahkan malaikat sentiasa memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka. Oleh sebab banyaknya sebab-sebab untuk mendapat keampunan pada bulan Ramadhan, maka orang yang terlepas peluang untuk mendapat keampunan Allah pada bulan ini adalah orang yang paling jauh daripada keampunan Allah. Berkata Sa’id R.A. daripada Qatadah R.A. ;

مَنْ لَمْ يُغْفُرْ لَهُ فِي رَمَضَانَ فَلَنْ يُغْفَرَ لَهُ فِيْمَا سِوَاهُ


“Sesiapa yang tidak diampunkan dosanya pada bulan Ramadhan, maka tidak akan diampunkan dosanya pada bulan yang lain .”


Oleh sebab keampunan dan pembebasan dari api neraka itu diperoleh rentetan dari ibadah puasa dan solat yang dilakukan pada bulan Ramadhan, maka setelah sempurna tempoh dan bilangan puasa sebulan Ramadhan, Allah memerintahkan pula supaya membesar dan mensyukurinya. Firman Allah S.W.T. :


البقرة: ١٨٥


“dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” [ Surah Al-Baqarah : Ayat 185 ]


Iaitu, bersyukur kepada Allah atas nikmat dan taufiq dapat berpuasa, pertolongan yang diberikan, keampunan yang dikurniakanNya dan pembebasan dari neraka. Maka kesyukuran kepada Allah yang mengurniakan nikmat-nikmat tersebut dilakukan dengan mengingatiNya, mensyukuriNya dan bertaqwa kepadaNya dengan sebenar-benar ketaqwaan. Ibnu Mas’ud menterjemahkan makna ‘bertaqwa kepadanya dengan sebenar-benar ketaqwaan’ dengan maksud mentaatiNya dan tidakmenderhaka kepadaNya, mengingatiNya dan tidak lupa kepadaNya, mensyukurinya dan tidak kufur kepadaNya.


Untuk akhirnya saya selaku Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir ingin mengucapkan kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di Mesir ini dengan ucapan ‘Selamat Menunaikan Ibadah Puasa’ , semoga Allah S.W.T menerima segala amal ibadah kita dan semoga Allah S.W.T. mengampunkan dosa kita yang telah lalu. Saya akhiri kalam saya ini dengan bait syair yang berbunyi :


لَيْسَ عَيْدُ الْمُحِبِّ قَصْدَ الْمُصَلَّى وَانْتِظَــــــــــــــــارَ الأَمِيْرِ وَالسُّلْطَانِ

وَإِنَّـمَا الْعَيْدُ أَنْ تَكُوْنَ لَـــــــــــدَى اللهِ كَرِيْـمًــــــــــــا مُقَرَّبــًــــــــا فِي أَمـَـــــــــــــانٍ


“Bukanlah hari Raya bagi sang kekasih pergi solat di masjid (pada hari Raya),

dan menunggu menteri atau sultan;

Tetapi hari Raya yang sebenar ialah kamu berada di sisi Allah

Yang Maha Mulia dan hampir denganNya dalam keadaan aman tenteram.”

Maidah Rahman Yang Menggelikan Hati

Sunday, August 14, 2011

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT masuk malam ini merupakan malam yang ke 15 Ramadhan, beerti sudah 14 hari kami berpuasa di Mesir. Berpuasa di Mesir sememangnya mempunyai kemanisannya terutamanya di mesir hampir setiap hari mempunyai Maidah Rahman. Apa itu Maidah Rahman? Maidah Rahman itu tempat untuk semua mereka yang soim (puasa) akan berkumpul dengan makanan yang sedia terhidang dan sambil menunggu azan berkumandang untuk berbuka. Di hampir setiap penjuru jalan dan masjid yang berdekatan mempunyai Maidah Rahman. Akan tetapi, terdapat satu masjid yang mempunyai hidangan yang menarik perhatian pelajar-pelajar di Mesir ini iaitu Masjid Ibad. Masjid Ibad ini berlainan dengan masjid-masjid yang lain, setiap wafidin (orang selain Mesir) akan mendapat satu bungkusan yang terkandung di dalamnya nasi, ayam atau ikan fillet, air jus, kurma, orz billaban (nasi susu macam dadih), kadang-kadang dapat hudar. Semestinya semua wafidin akan berada di Masjid tersebut sebelum pukul 6 petang untuk beratur untuk mengambil bungkusan tersebut. Kadang-kadang ana sempat untuk berada di hadapan sekali, dan ada kadang kalanya berada di belakang dan tengah. Paling menggembirakan apabila pernah selepas kelas pengajian al Fadhil Sheikh Nuruddin al Makki pergi ke Masjid Ibad dan beratur, ana merupakan orang terakhir yang mendapat bungkusan tersebut. Agak terasa malang apabila orang di hadapan kita dapat bungkusan tersebut dan kita tidak kesampaian, Walhal, alhamdulillah, hari tu dapat bungkusan yang terakhir.

Nak dikisahkan di sini ialah, kenangan apabila bangun lewat, sedar-sedar sudah pukul 6.15 minit petang, biasanya waktu-waktu macam ni kadang-kadang dapat dan kadang- kadang tak dapat, ikut nasib. Akhirnya, hari ini memang tak dapat, jadi ana mengambil keputusan untuk berbuka Maidah Rahman di belakang kedai sayur. Makanan di situ pun boleh tahan, makan ayam dan mee. Ana pun duduklah di tempat kosong yang disediakan, malangnya makanan yang terhidang di meja ana hanyalah mee dan ayam. Manakala air, hudar, khubz (roti arab) tak ada di hadapan meja ana dan beberapa meja di sebelah ana, padahal meja-meja yang lain semuanya lengkap di hadapan ana. Yang sedihnya, terdapat sebuah kerusi kosong yang di atas mejanya terdapat makanan yang sudah di makan dan air yang sudah diminum. Apabila datang seorang lelaki arab yang tidak mendapat tempat duduk, maka disitulah harapan lelaki tadi untuk duduk. Maka duduklah lelaki tersebut dengan penuh kesedihan. Pulak lelaki arab di sebelah ana duduk yang paling tepi sekali dan mereka kesemuanya tamak haloba. Maka datang lah tukang beri makanan untuk agihkan roti, hudar, air dan sebagainya. Kesemuanya di kebas lelaki tamak di sebelah ana. Maka orang tua di hadapan ana tadi bangkit minta daripada tukang beri makanan tadi dan ambil kesemuanya untuk dia sahaja, manakala air pula diambil daripada lelaki tamak haloba td dan dikatakannya supaya adil. Ish3, dia kata adil tapi dia ambil semua makanan dan sedikit pun tak beri dekat ana yang mempunyai mee dan ayam sahaja. Kiranya, masing-masing nak tunjuk yang dia dapat lebih daripada semua orang. Datang pula ketang, diambil oleh orang arab lain turut dia ambil untuk dirinya sendiri. Datang pula hudar, satu mangkuk yang sepatutnya dikongsi juga turut diambil untuk dirinya sendiri. Rebut punya rebut sehingga tertumpahnya air lelaki arab yang tamak haloba tadi. Mengalir airnya ke meja ana, ish3.. Azabnya duduk di meja lelaki-lelaki arab yang tamak ni. Akibat tamak tadi, jatuhnya air tersebut, tu la tamak-tamak lagi, nak tergelak kecil ana tengoknya. Yang paling panasnya hati ini, bila selesai makan, lelaki tua tadi tak habis makanan dia dan terbuang begitu sahaja. Nak je aku ambil makanan dia yang mula-mula tak ada apa-apa, yang ada sisa makanan dan minuman yang telah dimakan dan diminum, kemudian dengan sifat tamak tadi, yang sisa boleh berubah kepada suatu hidangan yang sempurna, akan tetapi bila makan tak habis. Ish, JK (jiwa kacau) betul ini tengok mamat tua ni. GRRRRR!!! . Itu baru first time makan kat situ, dah ada perkara macam tu, tak tahu la, masa fatrah ana makan kat masjid ibad, apa lagi yang berlaku kat situ. Alahai arab Mesir!!

Pengajaran yang boleh diambil:

Kita kalau di Malaysia, kita ada bazar, kat sini tak ada bazar. Sememangnya kita kalau di bazar nak macam-macam, nak itu, nak ini.. semua kita nak, tapi bila makan berbuka puasa, semuanya tak habis. Jadi persoalannya, bulan puasa ni kita mengekang nafsu atau kita mengikut nafsu? Cuba kita renung-renungkan bersama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Makluman Kepada Para Pengunjung :

Sekiranya terdapat apa-apa kesalahan perkataan dan fakta di dalam artikel blog ini, dan terdapat mana-mana artikel saya yang menyinggung perasaan anda, maka saya terlebih dahulu memohon maaf di atas perkara tersebut.

Anda boleh memberi komen yang membina, teguran yang berhemah dan cadangan atau pendapat yang bernas terhadap mana-mana artikel di dalam blog ini.

Sebarang kata-kata kesat, menyimpang, lucah dan kata-kata yang bagi pendapat saya boleh menjatuhkan nama baik Islam akan di ban/delete dan tidak akan dilayan sama sekali.

Anda boleh menghantar artikel-artikel anda, iklan-iklan serta jaringan blog anda untuk di siarkan di dalam blog ini, dengan syarat ianya akan ditapis terlebih dahulu oleh admin blog ini.

Sebarang masalah atau apa-apa yang berkenaan diatas boleh dihantar terus ke email admin iaitu :
firdaus_hadi90@yahoo.com

atau boleh melayari facebook admin di bawah :




Ikhwani Fillah

Al Lauhah Ar Raie'ah

Lalu Lintas Pengunjung

Jumlah Bukaan