Artikel Terkini

Sunnah Yang Ditinggalkan

Saturday, April 28, 2012

Sunnah itu terbahagi kepada 3:

1) Sunnah wajib : iaiu perkara yang wajib dilakukan oleh Nabi SAW seperti solat fardhu lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan rukun wajib yang lain.

2) Sunnah ibadah : iaitu ibadah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagai ibadah tambahan seperti qiamullail, istigfar dan lain-lain.

3) Sunnah adat  : iaitu perkara yang kebiasaannya dilakukan oleh Nabi SAW seperti pakai serban, selendang, bersugi dan sunnah-sunnah yang lain.

Adakalanya kita sangat menekankan sunnah yang ketiga iaitu sunnah adat hingga ada diantara kita yang  memakai jubah, memakai serban, minyak wangi dan sebagainya akan tetapi ada yang culas dengan sunnah yang pertama dan kedua. Namun tidak pula hanya fokus kepada sunnah yang pertama dan kedua dan meninggalkan sunnah yang ketiga.

Sunnah yang pertama boleh diibaratkan sebagai tiang binaan rumah, tanpanya tidaklah dinamakan ia sebagai rumah, tidaklah dinamakan ia mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Manakala binaannya perlu kepada penyempurnaannya dengan menambah perkakas di dalamnya supaya ia melingkapi antara satu sama lain dan sememangnya solat sunat itu sebagai pelengkap kepada solat yang fardhu. Dan sunnah yang ketiga pula diibaratkan sebagai perhiasan yang dengannya sempurna kehidupan seseorang muslim yang berjalan di atas landasan sunnah Nabawiah.

Janganlah kita tinggalkan sunnah yang pertama…

Cubalah untuk menambah amalan sunnah yang kedua…

Hiasilah diri dengan sunnah yang ketiga…

Saya suka untuk menyentuh sedikit berkenaan serban, saya suka dengan pendapat guru saya yang tidak menggalakkan muridnya untuk memakai serban kerana dikhuatiri takut menjadi fitnah kepada sunnah itu sendiri.  Ya! Memang benar, kerana murid itu perlu di ajarkan akhlak hasanah, baru dari itu boleh untuk dia memakai serban sebagai pelengkap bagi dirinya, supaya tidak menjadi fitnah kepada Islam. “Pakai pakaian orang alim, tetapi buruk perangainya”. Namun, tidak pula saya menyanggahi yang memakainya, kerana kita tidak tahu dan tidak boleh menilai seseorang itu dengan pandangan mata kasar, apakah peribadinya,  bagaimana amalannya dan akhlaknya. Kerana mungkin saja, seseorang itu memakai daripada pakaian orang alim untum menambahkan semangatnya untuk beramal, mempelajari akhlak dan sebagainya. Ada pula orang berkata,” jadi ia menjadikan sunnah yang ketiga itu untuk mendapat semangat, tidakkah itu bunyinya seperti tidak jujur dalam beribadat, yang ketika ia memakai pakaian alim ia semangat beribadat manakala jika ia tidak memakai pakaian alim ia tidak bersemangat.” Maka saya katakan biar saja dia begitu, kerana mungkin saja ia tidak jujur pada peringkat permulaannya, dan sedikit demi sedikit Allah akan bukakan pintu kejujurannya itu. Sama sahaja hal ini dengan riak, teringat kata guru saya Sheikh Ali At Tohiri an Naqshabandi yang mengatakan riak itu mungkin ada pada peringkat permulaan, akan tetapi apabila lama-kelamaan ia akan menjadi perkara yang dilakukannya daripada kerana mahukan perhatian manusia kepada mahukan perhatian daripada Allah SWT.

Dan bagi saya, eloklah dia memakai pakaian alim, daripada ia memakai pakaian yang tidak sesuai ketika bertemu dengan Allah SWT seperti memakai seluar tracksuit seperti hendak bersukan. Biarlah diri kita ini berada dalam keadaan yang baik dari segi penampilan ketika hendak bertemu dengan Allah (solat), tidakkah kita melihat bahawa rakyat yang mahu bertemu dengan sultannya memakai pakaian yang elok dan sopan, apa pula kita dengan Rabbu Azza Wa Jalla berbanding dengan sultan. 

Maka, pilihlah untuk mengikut sunnah daripada ditinggalkan terus zaman-berzaman…

Waalhu A’lam..

Bersikap Pemaaf Dan Berlapang Dada

Wednesday, April 25, 2012

Allah SWT berfirman di dalam Surah An Nisa, ayat 149 :

ﭢ  ﭣ  ﭤ  ﭥ  ﭦ  ﭧ    ﭨ  ﭩ   ﭪ  ﭫ  ﭬ  ﭭ            ﭮ  ﭯ    

“Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa”.

Dan firman Allah SWT di dalam Surah Al A’raf, Ayat 199 :

ﭵ  ﭶ    ﭷ   ﭸ  ﭹ  ﭺ  ﭻ 

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh”.

Dan juga firman Allah SWT di dalam Surah An Nur, ayat 22 :

ﭸ  ﭹ  ﭺ  ﭻ  ﭼ   ﭽ  ﭾ  ﭿ  ﮀ  ﮁ  ﮂ  ﮃ  ﮄ     ﮅ  ﮆ  ﮈ  ﮉ  ﮋ  ﮌ  ﮍ  ﮎ  ﮏ  ﮐ   ﮒ  ﮓ  ﮔ

“Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Para salafussoleh RA sentiasa memaafkan orang lain dan berlapang dada apabila disakiti seperti dipukul, dicuri, dihina dan sebagainya kerana berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW. Baginda SAW tidak murka terhadap orang yang menyakitinya tetapi murka terhadap orang yang melanggar perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah.

Ja’far ibn Muhammad RA berkata :

لأن أندم على العفو أحب إلي من أندم على العقوبة

“Menyesal kerana memaafkan (kesalahan orang lain) lebih aku sukai daripada aku menyesal kerana membalasnya”.

Hatim ibn Asom RA berkata : Diantara tanda kamu tidak menginsafi diri kamu ialah kamu berasa marah apabila orang lain menderhaka kepada Allah tetapi kamu tidak berasa marah apabila diri kamu menderhaka kepadaNya.

Qatadah RA pernah ditanya 
 :
من أعظم الناس قدرا؟ قال: أكثرهم عفوا

“Siapakah manusia yang paling besar martabatnya?” Jawabnya, “Orang yang paling banyak memaafkan orang lain”.

Seorang perempuan telah mencuri mashaf dan selimut Malik ibn Dinar RA. Maka Malik mengekorinya dan berkata kepadanya, “Aku adalah Malik. Ambillah selimutku dan berilah kembali mashafku, dan janganlah kamu takut.”

Abu Said al Maqburi RA berkata :

من تمام العفو ترك مكافأة الظالم، والترحم عليه، وكثرة سؤال الله أن يعفو عنه

“Di antara tanda kesempurnaan kemaafan seseorang ialah dia meninggalkan balasan terhadap orang yang melakukan kezaliman, mengasihinya dan banyak memohon kepada Allah agar diampunkannya.”

Imam Malik RA apabila dipukul, maka dia memaafkan orang yang memukulnya dari awal. Begitu juga Imam Ahmad ibn Hanbal RA, apabila dipukul maka beliau berkata, “Tiada seorang pun yang akan diazab oleh Allah disebabkannya”.

Ketika mana Saidina Umar ibn al-Khattab RA diejek dan dicaci. Rasulullah SAW yang berada disisi Umar RA tersenyum memandang Umar ibn al-Khattab RA. Tetapi apabila Umar ibn al Khattab membalas semula cacian pemuda tersebut, Rasulullah SAW berhenti dari tersenyum lalu beredar dari situ. Maka Saidina Umar ibn al Khattab RA bertemu semula kepada Nabi Muhammad SAW dan bertanya “Mengapa semasa pemuda tadi mencaci aku engkau tersenyum wahai Rasulullah, tetapi apabila aku membalasnya engkau bermasam muka lalu beredar daripadaku?” Rasulullah SAW menjawab “ Semasa pemuda tadi mencaci engkau wahai Umar, malaikat sentiasa bersama engkau. Tetapi apabila engkau membalas semula caciannya, malaikat beredar dan syaitan bersama engkau, maka akun pun beredar daripada engkau’.

Ka’ab al Ahbar RA berkata: Sesiapa yang bersabar apabila disakiti oleh isterinya, maka Allah akan memberinya ganjaran sepertimana yang telah diberi kepada Nabi Ayyub AS. Sesiapa yang bersabar apabila disakiti oleh suaminya, Allah akan member ganjaran kepadanya sepertimana ganjaran yang telah diberkan kepada Asiah binti Muzahim RA (isteri Fir’aun).

Apa yang berlaku pada hari ini, manusia bersungguh-sungguh mengorbankan dirinya hanya kerana suatu dendam yang masih belum terbalas. Sekiranya mereka memberi ucapan maaf sekalipun, mereka hanya memberi maaf pada mulut tetapi tidak di hati kerana hati mereka masih tidak bebas dari kongkongan sakit hati dan mengungkit kesalahan orang lain di belakang orang tersebut. 

Sememangnya diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Harairah RA :

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

“Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Seseorang itu apabila dia melakukan kesalahan dengan Allah SWT dan memohon keampunan kepadaNya, lalu Allah SWT mengampunkan dosanya dengan sifatNya Yang Maha Pengampun, lalu sahabatnya melakukan kesalahan kepada dirinya, tetapi dia tidak memaafkannya? Sesungguhnya Allah SWT memaafkan hambaNya, inikan kita selaku hambaNya yang hina, yang sentiasa melakukan kesilapan, dan Dialah yang sering memaafkan kesalahan kita tanpa ada jemu. Oleh kerana itu, Ikutlah apa yang telah dianjurkan oleh Islam dengan adab, iaitu apabila seseorang itu hendak tidur, maka tidurlah dalam keadaan dirinya memaafkan kesalahan orang lain. Waallahu ‘Alam…


3 Perkara Di Dalam 3 Perkara Yang Tersembunyi

Friday, April 20, 2012

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana di beri peluang kepada kita untuk menghirup udara bagi meneruskan lagi perjalanan kita di muka bumi ini, tidak lain tidak bukan untuk menjadi KhalifahNya dengan menyampaikan RisalahNya dan Risalah junjungan besar Nabi Muhammad SAW buat ummat akhir zaman yang kian alpa dan leka dengan kehidupan duniawi. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kecintaan dalam melaksanakan ketaatan kepadaNya dan semoga Allah SWT mengurniakan kepada ummat akhir zaman ini dengan karunia rahmat dan hidayatNya, yang dengannya Allah SWT menghapuskan dosa-dosa hambaNya yang lemah ini dengan MaghfirahNya yang sangat luas buat hamba-hambaNya.

Di dalam sebuah Hadith Maqtu' yang berbunyi:

إن الله تعالى أخفى ثلاثا في ثلاث : أخفى رضاه في طاعته، وأخفى سخطه في معصيته، وأخفى أولياءه في عباده

"Sesungguhnya Allah menyembunyikan 3 perkara di dalam 3 perkara: Menyembunyikan keredhaanNya di dalam ketaatan yang dilakukan kepadaNya, menyembunyikan kemurkaanNya di dalam maksiat yang dilakukan kepadaNya dan menyembunyikan para walinya dari kalangan hamba-hambaNya".

Tujuan utama kita hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT, ia merupakan tapak asas seseorang hamba kepada Penciptanya, seorang pekerja mestilah berusaha bersungguh-sungguh dan mentaati segala perintah tuannya bagi memestikan tuannya menerima dirinya sebagai salah seorang pekerjanya yang setia dan balasan daripada itu, tuannya memberikannya gaji mengikut hasil usaha pekerjanya itu, bukan sekadar gaji malah tuannya juga memberinya anugerah sebagai penghargaannya kepada pekerjanya itu. Ini kita dapat lihat dari konteks seorang pekerja dengan tuannya, apatah lagi jika kita dari konteks seorang hamba dengan Tuhannya. Setiap hari kita melakukan segala perintahnya dengan meninggalkan larangannya, tujuannnya tidak lain tidak bukan untuk mendapatkan Mardhatillah (keredhaan Allah). Oleh kerana itu, Allah SWT menyembunyikan keredhaaNya di dalam ketaatan yang dilakukan oleh hambaNya kepadaNya supaya hamba-hambaNya sentiasa berusaha untuk menambah baik amalan-amalan mereka. Kita tidak tahu diantara amalan fardhu yang kita kerjakan, adakah amalan tersebut diterima oleh Allah SWT? Maka mengurniakan kepada kita solat-solat sunat supaya dapat menampung kekurangan yang ada di dalam solat fardhu kita. Dengan rahmat dan redha Allah lah juga hambaNya dimasukkan di dalam syurga, jadi janganlah cepat kita merasakan bahawa amalan yang kita lakukan seharian itu cukup untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Berusalah untuk memperbanyakkan amalan kita kepadaNya, tidakkah kita lihat bahawa Rasulullah SAW sanggup untuk solat berulangkali pada waktu malam sehingga kakinya bengkak walhal Rasulullah SAW seorang yang maksum? Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah ikutan yang terbaik.

Begitu juga Allah SWT menyembunyikan kemurkaanNya di dalam maksiat yang dilakukan oleh hambaNya kepadaNya supaya kita tidak berani untuk melakukan maksiat kepadaNya dan sering bertaubat diatas maksiat yang telah dilakukan. Oleh kerana itu, kita akan sentiasa memohon keampunan kepadaNya dalam situasi apa pun kita berada. Kita bukanlah seperti para Nabi yang maksum, Nabi Muhammad SAW juga sentiasa melazimi Istighfar walhal nabi seorang yang maksum, apatah lagi kita yang sentiasa terdedah dengan dosa-dosa yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Janganlah kita memandang dosa kecil yang kita lakukan, kecil disisi Allah SWT kerana dikhuatiri dosa yang kecil itu mungkin besar disisi Allah SWT.

Salah satu hikmah Allah SWT menyembunyikan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan adalah supaya hamba-hambaNya sentiasa berusaha untuk bangun beribadah pada tiap-tiap malam terakhir pada bulan tersebut. Salah satu hikmah Allah SWT menyembunyikan waktu mustajabnya doa pada hari jumaat adalah supaya hamba-hambaNya sentiasa melazimi untuk berdoa pada setiap detik waktu pada hari jumaat. Dan salah satu hikmah Allah SWT menyembunyikan para waliNya dari kalangan hamba-hambaNya adalah supaya kita saling hormat-menghormati diantara satu sama lain dan tidak mencela diantara satu sama lain. Kita tidak tahu mungkin pada hari ini kita berjumpa dengan para walinya dalam keadaan kita mencemuh dan mencelanya apatah lagi kita menzaliminya. Apakah Allah akan membiarkan sahaja para kekasihnya dalam keadaan begitu? Renung-renungkanlah…

Kesimpulan daripada hadis tersebut membawa kita kepada 2 perkara iaitu hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan kita dengan manusia. Hubungan kita dengan Allah SWT dengan mencari keredhaanNya dan meninggalkan kemurkaanNya atau dalam erti kata lainnya iaitu mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya. Begitu juga hubungan kita dengan manusia yang selalu kita terlepas pandang, kadang kala hubungan kita dengan Allah SWT sangat erat akan tetapi dengan manusia sangat bermasalah. Ingatlah wahai diriku dan sahabat-sahabat sekalian, kata-kata Sufian At-Thauri RA yang berbunyi : Kamu bertemu dengan Allah dengan membawa 70 dosa diantara kamu denganNya adalah lebih mudah, daripada kamu bertemu dengan Allah dengan membawa satu dosa di antara kamu dan hamba-hambaNya.

Sekian, semoga artikel ini bermanfaat buat semua…

Hukum Beramal Dengan Mimpi

Friday, April 6, 2012

Hukum beramal dengan mimpi


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta Keluarga Baginda SAW dan seluruh para Sahabatnya dan sekalian Umatnya yang mengikutinya hinggalah ke hari akhirat.


Ketahuilah, bahawa faedah suatu mimpi biasanya terhasil kepada orang yang bermimpi sahaja. Tidak harus mimpi tersebut dijadikan sebagai penetapan hukum sya’ra, sama ada hukum sunat atau sebagainya. Para ulama’ juga menyebutnya, di antaranya al Hafiz ibn Hajar al Asqalani RA menyatakan di dalam kitab Fath al Bari :

وَمَعَ ذَلِكَ فَقَدْ صَرَحَ الأَئِمَّةُ بِأَنَّ الأَحْكَامَ الشَّرْعِيَّةَ لاَ تَثْبُتُ بِذَلِكَ

“Di samping itu, para ulama’ telah menegaskan bahawa hukum-hukum syara tidak boleh ditetapkan berdasarkan mimpi-mimpi.”

إِنَّ النَّائِمَ لَوْ رَأَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُهُ بِشَيْءٍ هَلْ يَجِبُ عَلَيْهِ إِمْتِثَالُهُ وَلَابُدَّ، أَوْ لَابُدَّ أَنْ يَعْرِضَهُ عَلَى الشَّرْعِ الظَّاهِرِ؟ فَالثَّانِيْ هُوَ الْمُعْتَمَدُ

“Orang yang tidur, sekiranya bermimpi melihat Nabi SAW menyuruhnya suatu perkara, adakah wajib dia mengikutinya semata-mata? Atau tidak dapat tidak, dia mesti merujuk terlebih dahulu kepada sumber-sumber syariat Islam yang zahir? Maka pendapat yang kedua adalah muktamad”.

Inilah juga pengangan ulama tasawwuf sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Abu Hassan al Syazuli RA, yang menunjukkan pengangannya yang kuat terhadap Sunnah, Beliau berkata :

إِذَا عَارَضَ كَشْفُكَ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ فَتَمَسَّكَ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَدَعِ الْكَشْفَ، وَقُلْ لِنَفْسِكَ : إِنَّ اللهَ قَدْ ضَمِنَ لِي الْعِصْمَةَ فِي الْكِتَابِ وَالسَّنَّةِ، وَلَمْ يَضْمَنْهَا لِيْ فِي جَانِبِ الْكَشْفِ، وَلَا الإِاْهَامِ وَلاَ الْمُشَاهَدَةِ إِلاَّ بَعْدَ عَرْضِهِ عَلَى الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ

“Apabila kasyaf kamu tu bertentangan dengan al Quran dan as Sunnah, maka hendaklah kamu berpengang dengan al Quran dan as Sunnah dan tinggalkan kasyaf kamu. Katakanlah kepada diri kamu, “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla telah menjaminku dengan pemeliharaan al Quran dan as Sunnah dan bukannya dengan kasyaf, ilham dan musyahadah. Kecuali selepas merujuk kepada al Quran dan as Sunnah.”

Syeikh Soleh al Ja’fari al Azhari RA juga menyatakan di dalam syairnya :

“Hendaklah kamu menimbang lintasan kamu sekiranya pada suatu hari ia datang secara tiba-tiba, dengan timbangan syara’ yang padanya terdapat cahaya tariqat,

Sekiranya lintasan kamu itu berlandaskan syara’, maka bersegerelah melaksanakannya, sekiranya terdapat keburukan (bersalahan dengan syara’) , maka hendaklah kamu berlindung daripadanya dengan segera.”

Terdapat banyak contoh ulama yang beramal dengan mimpi mereka yang tidak bertenangan dengan syara’. Diantaranya ialah sebagaimana yang dinaqalkan daripada Abu al Qasim al Qusyairi RA :

“Pada suatu hari, anaknya ditimpa sakit tenat. Beliau berkata, “Maka aku bermimpi melihat Nabi SAW dan aku mengadu kepadanya tentang keadaan anakku.” Sabda Rasulullah SAW, “Di manakah kamu dengan ayat-ayat Syifa’ (Penyembuh)?” Lantas aku terjaga dan berfikir tentang mimpi tersebut.”

Ayat Syifa’ terdapat pada 6 tempat di dalam al Quran, iaitu :

بِسْمِ الله ِالرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Imam al Qushairi RA berkata lagi, “Maka aku menulis dan menjirusnya dengan air. Setelah itu, aku berikannya kepada anakku untuk diminum, maka dia sembuh daripada penyakitnya.”


Rujukan daripada kitab Melihat Nabi SAW & 100 Kaedahnya oleh al Musnid as Sheikh Dato Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Makluman Kepada Para Pengunjung :

Sekiranya terdapat apa-apa kesalahan perkataan dan fakta di dalam artikel blog ini, dan terdapat mana-mana artikel saya yang menyinggung perasaan anda, maka saya terlebih dahulu memohon maaf di atas perkara tersebut.

Anda boleh memberi komen yang membina, teguran yang berhemah dan cadangan atau pendapat yang bernas terhadap mana-mana artikel di dalam blog ini.

Sebarang kata-kata kesat, menyimpang, lucah dan kata-kata yang bagi pendapat saya boleh menjatuhkan nama baik Islam akan di ban/delete dan tidak akan dilayan sama sekali.

Anda boleh menghantar artikel-artikel anda, iklan-iklan serta jaringan blog anda untuk di siarkan di dalam blog ini, dengan syarat ianya akan ditapis terlebih dahulu oleh admin blog ini.

Sebarang masalah atau apa-apa yang berkenaan diatas boleh dihantar terus ke email admin iaitu :
firdaus_hadi90@yahoo.com

atau boleh melayari facebook admin di bawah :




Ikhwani Fillah

Al Lauhah Ar Raie'ah

Lalu Lintas Pengunjung

Jumlah Bukaan