Artikel Terkini

Maidah Rahman Yang Menggelikan Hati

Sunday, August 14, 2011

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT masuk malam ini merupakan malam yang ke 15 Ramadhan, beerti sudah 14 hari kami berpuasa di Mesir. Berpuasa di Mesir sememangnya mempunyai kemanisannya terutamanya di mesir hampir setiap hari mempunyai Maidah Rahman. Apa itu Maidah Rahman? Maidah Rahman itu tempat untuk semua mereka yang soim (puasa) akan berkumpul dengan makanan yang sedia terhidang dan sambil menunggu azan berkumandang untuk berbuka. Di hampir setiap penjuru jalan dan masjid yang berdekatan mempunyai Maidah Rahman. Akan tetapi, terdapat satu masjid yang mempunyai hidangan yang menarik perhatian pelajar-pelajar di Mesir ini iaitu Masjid Ibad. Masjid Ibad ini berlainan dengan masjid-masjid yang lain, setiap wafidin (orang selain Mesir) akan mendapat satu bungkusan yang terkandung di dalamnya nasi, ayam atau ikan fillet, air jus, kurma, orz billaban (nasi susu macam dadih), kadang-kadang dapat hudar. Semestinya semua wafidin akan berada di Masjid tersebut sebelum pukul 6 petang untuk beratur untuk mengambil bungkusan tersebut. Kadang-kadang ana sempat untuk berada di hadapan sekali, dan ada kadang kalanya berada di belakang dan tengah. Paling menggembirakan apabila pernah selepas kelas pengajian al Fadhil Sheikh Nuruddin al Makki pergi ke Masjid Ibad dan beratur, ana merupakan orang terakhir yang mendapat bungkusan tersebut. Agak terasa malang apabila orang di hadapan kita dapat bungkusan tersebut dan kita tidak kesampaian, Walhal, alhamdulillah, hari tu dapat bungkusan yang terakhir.

Nak dikisahkan di sini ialah, kenangan apabila bangun lewat, sedar-sedar sudah pukul 6.15 minit petang, biasanya waktu-waktu macam ni kadang-kadang dapat dan kadang- kadang tak dapat, ikut nasib. Akhirnya, hari ini memang tak dapat, jadi ana mengambil keputusan untuk berbuka Maidah Rahman di belakang kedai sayur. Makanan di situ pun boleh tahan, makan ayam dan mee. Ana pun duduklah di tempat kosong yang disediakan, malangnya makanan yang terhidang di meja ana hanyalah mee dan ayam. Manakala air, hudar, khubz (roti arab) tak ada di hadapan meja ana dan beberapa meja di sebelah ana, padahal meja-meja yang lain semuanya lengkap di hadapan ana. Yang sedihnya, terdapat sebuah kerusi kosong yang di atas mejanya terdapat makanan yang sudah di makan dan air yang sudah diminum. Apabila datang seorang lelaki arab yang tidak mendapat tempat duduk, maka disitulah harapan lelaki tadi untuk duduk. Maka duduklah lelaki tersebut dengan penuh kesedihan. Pulak lelaki arab di sebelah ana duduk yang paling tepi sekali dan mereka kesemuanya tamak haloba. Maka datang lah tukang beri makanan untuk agihkan roti, hudar, air dan sebagainya. Kesemuanya di kebas lelaki tamak di sebelah ana. Maka orang tua di hadapan ana tadi bangkit minta daripada tukang beri makanan tadi dan ambil kesemuanya untuk dia sahaja, manakala air pula diambil daripada lelaki tamak haloba td dan dikatakannya supaya adil. Ish3, dia kata adil tapi dia ambil semua makanan dan sedikit pun tak beri dekat ana yang mempunyai mee dan ayam sahaja. Kiranya, masing-masing nak tunjuk yang dia dapat lebih daripada semua orang. Datang pula ketang, diambil oleh orang arab lain turut dia ambil untuk dirinya sendiri. Datang pula hudar, satu mangkuk yang sepatutnya dikongsi juga turut diambil untuk dirinya sendiri. Rebut punya rebut sehingga tertumpahnya air lelaki arab yang tamak haloba tadi. Mengalir airnya ke meja ana, ish3.. Azabnya duduk di meja lelaki-lelaki arab yang tamak ni. Akibat tamak tadi, jatuhnya air tersebut, tu la tamak-tamak lagi, nak tergelak kecil ana tengoknya. Yang paling panasnya hati ini, bila selesai makan, lelaki tua tadi tak habis makanan dia dan terbuang begitu sahaja. Nak je aku ambil makanan dia yang mula-mula tak ada apa-apa, yang ada sisa makanan dan minuman yang telah dimakan dan diminum, kemudian dengan sifat tamak tadi, yang sisa boleh berubah kepada suatu hidangan yang sempurna, akan tetapi bila makan tak habis. Ish, JK (jiwa kacau) betul ini tengok mamat tua ni. GRRRRR!!! . Itu baru first time makan kat situ, dah ada perkara macam tu, tak tahu la, masa fatrah ana makan kat masjid ibad, apa lagi yang berlaku kat situ. Alahai arab Mesir!!

Pengajaran yang boleh diambil:

Kita kalau di Malaysia, kita ada bazar, kat sini tak ada bazar. Sememangnya kita kalau di bazar nak macam-macam, nak itu, nak ini.. semua kita nak, tapi bila makan berbuka puasa, semuanya tak habis. Jadi persoalannya, bulan puasa ni kita mengekang nafsu atau kita mengikut nafsu? Cuba kita renung-renungkan bersama.

Bulan Sya'ban, Bulan Keberkatan, Bulan Pengampunan Dan Bulan Rahmat

Sunday, July 10, 2011

Alhamdulillah, setelah berlalunya Rejab, di dalam peristiwa Isra dan Mikrajnya yang mulia, maka datang lagi satu bulan yang mana terdapat di dalamnya pelbagai rahmat dan kelebihan yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhammad SAW, iaitu bulan Sya'ban, bulan yang pada pertengahannya ditinggikan kemuliaannya selepas malam Lailatul Qadar. Dan selepas berlalunya Sya'ban, maka suatu bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam akan datang, iaitu bulan Ramadhan al Mubarak, iaitu bulan yang terdapat di dalamnya malam Lailatul Qadar. Semuanya ini adalah rahmat dan kelebihan yang Allah SWT hendak berikan kepada kita selaku umat Nabi Muhammad SAW, yang mana tidak terdapat pada umat nabi-nabi yang lain. Ia adalah suatu anugerah yang Allah SWT kurniakan kepada kita, maka bersyukurlah dan gunakanlah peluang yang ada untuk kita kaut kelebihan dan rahmat yang Allah SWT hendak berikan kepada kita. Kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu lagi atau tidak dengan bulan-bulan yang mulia ini, ditakuti ajal kita telah sampai sebelum kita bertemu dengan bulan-bulan ini. Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan, Allahumma bariklana fi Sya'ban wa Balligna Ramadhan. (Yang menulis : Muhammad Firdaus Bin Abdul Hadi

APAKAH ERTI SYA'BAN

Syaaban ertinya “berserak-serak”. Bulan Syaaban bulan berserak-serak. Dinamakan demikian kerana bulan ini masyarakat Arab pada masa dahulu berserak-serak pergi ke lembah-lembah untuk mencari air, kerana pada bulan ini biasanya mereka menghadapi musim kekurangan air. Dalam keterangan yang lain, dikatakan sebab dinamakan demikian kerana pada bulan ini terdapat berserak-serak (banyak) kebajikan yang perlu direbut oleh umat islam.

NISFU SYA’BAN

Lima belas hari bulan Syaaban yang sering disebut dengan Nisfu Syaaban adalah termasuk di dalam hari besar Islam, dan ia merupakan malam yang kedua termulia selepas malam Lailatul Qadar, kerana pada hari itu banyak mengandungi kelebihan dan Allah SWT memberikan atau menurunkan rahmat serta memberikan pengampunan kepada hambanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Allah SWT akan melihat kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan akan mengampunkan dosa-dosa seluruh makhluknya melainkan orang syirik dan orang yang berdengki (dalam riwayat lain : orang yang membunuh diri) (Riwayat Ibnu Hibban, Imam Thabrani)

Malam Nisfu Syabaan adalah malam yang mana mustajab doa orang-orang yang berdoa. Daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda : “Pada malam Nisfu Syaaban, rahmat Allah SWT turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hambaNya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepadanya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan orang-orang yang bertawakkal. Dia juga meninggalkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang dikehendakinya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa orang yang diharamkan oleh Allah SWT atau orang yang memutuskan silaturahim.”

GALAKAN MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYABAN

Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq ibn Humam daripada Ali ibn Abi Talib RA daripada Nabi SAW bersabda : “Apabila tiba malam Nisfu Syaban, hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana Allah SWT menurunkan perintahnya pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari. Lalu Allah berfirman, “Adakah terdapat di kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Aku ampunkannya. Adakah terdapat di kalangan mereka yang memohon keluasan rezeki, maka akan Aku turunkan rezeki untuknya. Adakah di kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Aku sejahterakannya. Adakah dikalangan mereka begini dan adakah di kalangan mereka begini sehinggalah menjelangnya fajar.” (Dikeluarkannya oleh Ibnu Majah di dalam Sunannya; Hadis No 3822)

IBADAT YANG DIANJURKAN PADA BULAN SYA’BAN

-Keutamaan berpuasa pada bulan Syaaban :

Saidatina Aisyah RA berkata : Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak dari bulan Syaaban (kecuali Ramadhan) kerana sesungguhnya Baginda telah berpuasa sebulan penuh di mana Baginda telah bersabda : “lakukanlah apa amalan yang termampu olehmu kerana Allah Taala tidak pernah jemu sehingga kamu sendiri yang merasa jemu.” (Riwayat Bukhari)

-Menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan solat tasbih.

Menurut Syeikh Soleh al Azhari; Imam Besar dan Tenaga Pengajar di Masjid al Azhar, bahawa malam tersebut boleh juga dihidupkan dengan pelbagai jenis ibadah lain untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti solat, membaca al Quran, berzikir dan berselawat ke atas Nabi SAW. Namun menurut Syeikh Salim al Sanhuri, beliau lebih mengutamakan solat sunat Tasbih kerana galakan yang kuat daripada Nabi SAW kepada bapa saudaranya al Abbas RA dan pahalanya amat besar.

Pada pendapat Sheikh Salim al Sanhuri, menghidupkan malam Nisfu Syaaban boleh juga dilakukan berseorangan di rumah atau berjemaah di masjid kerana hadis (Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Syaban dan dua malam Raya, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati mati.) hadis ini menunjukkan secara umum galakan menghidupkan malam tersebut. Maka terpulanglah kepada kita untuk melakukan mana-mana ibadah selagi ia tidak melanggar landasan syariat. Manakala orang yang menyatakan bid’ah menghidupkan malam tersebut secara berjemaah, tidak mempunyai sebarang sandaran dan dalil melainkan kerana Rasulullah SAW dan para sahabat tidak melakukannya di dalam masjid. Harus kita ingat, Rasulullah SAW tidak melakukannya bukanlah menunjukkan ke atas pengharamannya kerana kaedah menyatakan :

الترك لا يفيد التحريم

“Setiap perkara yang ditinggalkan oleh Nabi SAW dan tidak disertai larangan daripada Baginda SAW, tidak menunjukkan ke atas pengharamannya.”

-Memperbanyakkan sedeqah dan membaca al Quran.

Daripada Anas b. Malik R.A katanya : sahabat-sahabat Rasulullah apabila mereka melihat anak bulan di permulaan bulan Syaaban mereka bersungguh-sungguh dalam membaca Al Quran.

DI ANTARA PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU DALAM BULAN SYAABAN ADALAH PERTUKARAN QIBLAT

Setelah berlaku peristiwa Isra dan Mikraj Nabi Muhammad SAW bertemu Allah Taala dan menerima kewajipan solat lima waktu, sekali lagi berlaku beberapa peristiwa besar kepada seluruh umat Islam di bulan Saaban ini. Antara yang berlaku ialah Allah memenangkan umat Islam di dalam Perang Bani Mustalik dan difardhukan beberapa ibadah khususnya zakat namun peristiwa yang paling besar adalah pertukaran qiblat dari Baitul Maqdis (Masjid Aqsa) ke Makkah (Masjidil Haram).

Kerap kali Kami melihat Engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat Yang Engkau sukai. oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. dan Sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui Bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah Yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang mereka lakukan. (Al-Baqarah : 144)

Setelah Nabi SAW menerima kewajipan solat lima waktu Baginda melaksanakannya dengan berqiblatkan Masjidil Aqsa selama 16 bulan sebagai mensucikan tempat Nabi di’israkan dan di Mikrajkan ke langit dan tempat suci para nabi-nabi terdahulu A.S. Allah SWT telah menyuruh Nabi SAW supaya berpaling dan mengadap Baitullah. Solat pertama yang dilakukan oleh Nabi SAW selepas tahwil Qiblat ini adalah solat Zuhur mengikut sesetengah pendapat. Selepas peristiwa itu, Baginda SAW menerima pelbagai tohmahan dan cacian dikalangan orang Yahudi dan Nasrani. Dalam membatalkan dakwaan itu Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya Yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat Yang mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah Yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya ke jalan Yang lurus". (Al Baqarah : 142)

Penganugerahan Tasbih Dan Kefahamannya

Sunday, April 24, 2011

PENGANUGERAHAN TASBIH DAN KEFAHAMANNYA

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga Baginda, para sahabat dan penerus perjuangan Baginda s.a.w. sehingga ke hari kiamat.

Ramai di kalangan kita yang masih belum mengetahui penggunaan tasbih, sama ada ianya berasal daripada sunah ataupun sebaliknya. Sama-sama kita ikuti perbahasannya, semoga ianya memberi faedah dan kefahaman kepada kita, insya-Allah.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Abu Daud, al Tirmizi, al Nasaei dan al Hakim, dan ia disahihkan daripada Ibnu Amru s.a.w , beliau berkata :

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْقِدُ التَّسْبِيْحَ بِيَدِهِ

“Saya melihat Nabi s.a.w. mengira tasbih dengan tangannya.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Abu Daud, al Tirmizi dan al Hakim daripada Yusirah r.a. – beliau salah seorang wanita muhajirin – berkata : Sabda Rasulullah s.a.w. :

عَلَيْكُنَ بِالتَّسْبِيْحِ وَالتَّهْلِيْلِ وَالتَقْدِيْسِ، وَلاَ تَغْفَلْنَ فَتَنْسَيْنَ التَّوْحِيْدِ، وَاعْقِدْنَ بِالْأَنَامِلِ فَإِنـَّهُنَ مَسْئُوْلاَتٌ وَمُسْتَنْطَقَاتٌ

“Hendaklah kalian sentiasa bertasbih, bertahlil dan mensucikan Allah. Jangan sekali-kali kalian lalai maka kalian akan lupa kepada tauhid. Hendaklah kalian mengiranya dengan hujung-hujung jari kerana ia akan disoal dan akan berkata-kata (paad hari Kiamat kelak).”

Diriwayatkan oleh al Tirmizi, al Hakim dan al Tabrani daripada Safiyyah r.a. berkata:

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. masuk menemui saya, sedang di hadapan saya terdapat 4000 biji-biji buah tamar yang saya gunakan untuk bertasbih. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apakah ini, wahai anak perempuan Huyai?” Saya menjawab, “Saya bertasbih dengannya.” Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya saya telah bertasbih semenjak saya meninggalkan kamu lebih banyak daripada ini.” Saya berkata, “Ajarlah saya, wahai Rasulullah s.a.w.? Rasulullah s.a.w, “Sebutlah :

سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ مِنْ شَيْءٍ

“Maha suci Allah sebanyak bilangan segala yang diciptakanNya dari segala sesuatu.” Hadis ini juga adalah sohih.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al Tirmizi; beliau menyatakan hadis ini bertaraf hasan, al Nasae, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al Hakim; beliau mensohihkannya daripada Sa’ad ibn Abi Waqqas r.a. :

“Pada suatu hari, beliau bersama Nabi s.a.w. masuk ke rumah seorang wanita. Di hadapannya terdapat biji-biji yang digunakan untuk bertasbih. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda,”Adakah kamu mahu saya khabarkan kepada kamu apa yang lebih mudah bagi kamu dan lebih afdhal daripada ini?” Sebutlah :

سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ فِي السَّمَاءِ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ فِيْ الْأَرْضِ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا بَيْنَ ذَلِكَ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا هُوَ خَالِقٌ، اللهُ أَكْبَرُ مِثْلُ ذَلِكَ، وَالْحَمْدُ للهِ مِثْلُ ذَلِكَ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ الله مِثْلُ ذَلِكَ، وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ مِثْلُ ذَلِكَ

“Maha suci Allah sebanyak bilangan kejadian Allah di langit. Maha suci Allah sebanyak bilangan kejadian Allah di bumi. Maha suci Allah sebanyak kejadian Allah di antara kedua-duanya. Maha suci Allah sebanyak bilangan Dia adalah penciptanya. Allah Maha Besar seperti itu juga. Segala puji bagi Allah seperti itu juga. Tiada Tuhan melainkan Allah seperti itu juga. Tiada kekuatan melainkan pertolongan Allah seperti yang demikian itu juga.”

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab al Zuhd, telah menyampaikan kepada kami ‘Affan, telah menyampaikan kepada kami Abdul Wahid ibn Ziyad daripada Yunus ibn ;Abid daripada bondanya berkata ;

رَأَيْتُ أَبَا صَفِيَّةَ – رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ جَارَنَا – قَالَتْ : فَكَانَ يُسَبِّحُ بِالْحَصَى

“Saya telah melihat Abu Sofiyyah r.a. – seorang lelaki dari sahabat Nabi s.a.w. dan dia adalah jiran kami. Beliau berkata, “Beliau sentiasa bertasbih dengan menggunakan batu-batu kecil.”

Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad daripada Hakim ibn al Dailami:

أَنَّ سَعْدَ بْنِ أَبِيْ وَقَّاصٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَانَ يُسَبِّحُ بِالْحَصَى

“Sesungguhnya Sa’ad ibn Abi Waqqas r.a. bertasbih dengan menggunakan batu-batu kecil.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam al Musannaf, daripada hamba Sa’ad r.a bahawa Sa’ad r.a. bertasbih dengan menggunakan batu-batu kecil atau pun biji-biji buah.

Berkata Ibnu Sa’ad di dalam al Tabaqaat : “Telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidillah ibn Musa, telah menceritakan kepada kami Israil daripada Jabir r.a. daripada perempuan yang telah menceritakan kepadanya, daripada Fatimah binti al Husain ibn Ali ibn Abi Talib r.a, bahawa beliau bertasbih dengan menggunakan benang yang disimpul.

Diriwayatkan oleh Abdullah ibn al Imam Ahmad di dalam Zawaid al Zuhd dari jawaln Nu’aim ibn Muhriz ibn Abi Hurairah daripada datuknya Abu Hurairah r.a , bahawa beliau mempunya benang yang terdapat padanya dua ribu simpulan. Maka beliau tidak tidur melainkan setelah bertasbih dengannya.

Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam al Zuhd, telah menceritakan kepada kami Miskin ibn Nakir, telah menceritakan kepada kami Thabit ibn ‘Ajlan daripada al Qasim ibn Abdur Rahman, berkata :

Bahawa Abu Darda’ r.a. mempunyai biji-biji tamar ‘ajwah di dalam uncangnya. Apabila beliau solat Subuh, beliau akan mengeluarkannya satu persatu untuk bertasbih dengannya sehinggalah biji-biji itu habis.

Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad daripada Abi Hurairah r.a., bahawa beliau sering bertasbih dengan biji-biji yang bercampur warna hitam dan putih.

Al Dailami menyebut di dalam Musnad Firdaus dengan sanadnya sehingga kepada Ali r.a. (marfu’):

نِعْمَ الْمُذَكِّرُ السُّبْحَةُ

“Sebaik-baik benda yang boleh mengingatkan kepada Allah ialah tasbih.”

Diriwayatkan dari jalan Abi Nadhrah daripada seorang lelaki daripada al Zafawah berkata:

“Saya singgah di rumah Ibrahim r.a. dan bersamanya terdapat sebuah uncang yang berisi batu-batu kecil- atau biji-biji buah. Maka beliau bertasbih dengannya sehingga habis.”

Diriwayatkan daripada Zadan berkata : Saya mengambil daripada Ummu Ya’fur tasbih-tasbihnya. Apabila saya menemui Ali r.a. beliau berkata ; “Kembalikan semula tasbih-tasbih Ummu Ya’fur.”

Di dalam kitab Tahfah al ‘Ibad dan kitab karangan mutakhir pada zaman al Jalal al Bulqini fasal yang baik mengenai tasbih. Pengarang berkata di dalam kitab tersebut sebagaimana nasnya:

Berkata sebahagian ulama: Mengira tasbih dengan hujung-hujung jari lebih afdhal daripada tasbih berdasarkan hadis Ibnu Umar r.a. Tetapi dikatakan: Sekiranya orang yang bertasbih aman daripada tersalah maka mengira dengan hujung-hujung jari lebih afdhal. Sekiranya tidak, menggunakan tasbih lebih utama.

Sekiranya menggunakan tasbih tidak ada kelebihannya melainkan hanya mengikut perbuatan para sadah (ulama’), untuk masuk ke dalam perjalanan mereka dan mendapat keberkatan mereka, sudah tentu penggunaan tasbih dengan perkiraan ini antara perkara yang terpenting dan sangat dituntut. Kenapa tidak? Kerana tasbih merupakan alat yang mengingatkan seseorang kepada Allah. Apabila seseorang itu melihat tasbih, maka dia akan mengingati Allah. Ini adalah sebesar-besar faedah tasbih. Oleh sebab itulah, sebahagian salaf menamakannya muzakkirah (pengingat kepada Allah). Ada yang menamakannya Habl al Wasl (tali yang menyampaikan kepada Allah), manakala sebahagian yang lain menamakannya sebagai Rabitah al Qulub (Pengikat/Penambat Hati dengan Allah).

Di antara faedah tasbih juga, ia membantu seseorang supaya sentiasa kekal berzikir. Setiap kali dia melihatnya, dia akan ingat bahawa ia adalah alat untuk berzikir. Maka ia akan memandu dan menariknya supaya berzikir. Alangkah baiknya, sebab yang menyampaikan seseorang kepada ingatan kepada Allah. Begitu juga contohnya, dengan penggunaan tongkat yang mana mengingatkannya kepada kematian, kerana penggunaan tongkat itu biasanya dinisbahkan kepada orang-orang tua yang kurang berupaya dan akan mengalami saat kematian. Ini akan menginsafkan pengguna tongkat tersebut, lalu memperbanyakkan amalannya kepada Allah s.w.t.

Tidak pernah dinaqalkan walau dari seorang Salaf mahupun Khalaf tegahan atau larangan daripada membilang zikir dengan tasbih, bahkan kebanyakan mereka membilangnya dengan menggunakan tasbih. Mereka juga tidak pernah berpendapat bahawa ia perbuatan yang makruh.

Diceritakan, sebahagian daripada mereka mengira-ngira tasbih mereka. Maka dikatakan kepada mereka, “Adakah kamu berkira-kira dengan Allah?” Jawabnya, “Tidak, tetapi saya mengira untuk Allah.”

Maksudnya, kebiasaannya kebanyakan zikir yang dikira dan didatangkan oleh Sunah yang mulia tidak dapat dikira hanya dengan menggunakan jari-jari. Jika ia dapat dikira dengan jari sekalipun, sudah pasti seseorang itu akan disibukkan dengan kiraanya sehingga menghilangkan kekhusyukan berzikir. Inilah maksudnya. Wallahu A’lam.

(Kitab bertajuk tasbih karangan Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki)

(Kitab asal bertajuk al Minhah fi al Subhah karangan Al Imam Al Hafiz Jalaluddin As Suyuti r.h )

(Diolah sedikit daripada hamba yang hina ini dan mengharapkan ilmu daripadaNya)

Ilmu Yang Bermanfaat

Wednesday, April 13, 2011

العِلْمُ النَّافِعُ هُوَ الَّذِي يَنْبَسِطُ فِي الصَّدْرِ شُعَاعُهُ، وَيُكْشَفُ بِهِ عَنِ الْقَلْبِ قِنَاعُهُ

“Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang terpancar atau terhampar cahayanya di dalam dada, dan yang membuka atau menyingkap hijab hati.”

Terdapat beberapa pentakrifan ulama’ tentang makna ilmu yang bermanfaat. Ibnu Ajibah r.a mentakrifkan makna ilmu di sini, iaitu ilmu yang bermanfaat dan juga ilmu qulub (hati), dengan ilmu, ilmu yang membersihkan hati dari segala kekotoran dan menghiasi hati dengan kemuliaan.

Ataupun dalam erti kata lain, ilmu takhliah (mengosongkan hati dan anggota jasad dari kekotoran dan keaiban) dan tahliyyah (menghiasi hati dan anggota jasad dengan kebaikan).

Maka ilmu seperti ini membicarakan tentang keaiban atau kecelaan nafsu, keaiban hati, ruh dan sir bagi tujuan pembersihan segala yang telah disebutkan.

Apabila seseorang itu telah bersih dari segala keaiban tersebut, maka barulah ia dihiasi dengan sifat-sifat kesempurnaan. Iaitu, keimanan, keyakinan, ketenangan, muraqabah dan musyahadah. Bahkan juga, ia dihiasi dengan akhlak yang terpuji seperti berlemah-lembut, belas kasihan, pemurah, ithar dan lain-lain lagi.

Maka cahaya ilmu yang terpancar dan bersinar di dalam hati ialah salji keyakinan, kedinginan redha dan taslim (penyerahan kepada Allah) dan kemanisan iman dan makrifah. Daripada cahaya-cahaya ini tumbuhnya perasaan gerun, takut dan malu kepada Allah, melahirkan rasa tenang dan akhlak-akhlak terpuji yang lain.

Kegelapan yang tersingkap dan terbuka dari hati ialah kelalaian. Ia berpunca daripada sifat redha terhadap nafsu yang disebabkan oleh kecintaan terhadap dunia yang merupakan punca segala kejahatan. Orang yang mencintai dunia akan lahir daripadanya sifat hasad, takaabur, kedekut, bakhil, cintakan pangkat dan jawatan, bersikap kasar, gundah gulana dan sifat-sifat tercela yang lain.

Justeru, apabila sifat-sifat yang tercela ini tersingkap dan tersingkir dari hati, maka akan terhampar dan terpancar di dalam hati tersebut cahaya ilmu seperti yang telah dsebutkan di atas. Ilmu dan pengetahuan tentang Allah ialah cahaya di dalam hati. Daripadanya akan menerbitkan cahaya yang terdampar di dalam dada, lalu melahirkan sifat zuhud terhadap dunia. Apabila seseorang itu telah bersifat zuhud terhadap dunia, hatinya akan diluaskan dan dilapangkan dengan keyakinan, keredaan, taslim dan sifat-sifat kebaikan yang lain. Maka sekiranya, kata hikmah ini mendahulukan penyucian hati daripada menghiasinya adalah lebih baik.

Namun sekiranya mengikut tertib yang disusunkan oleh Sheikh Ibnu ‘Athoillah As Sakandari r.a , maka diandaikan maksud “cahaya yang terdampar di dalam hati” ialah cahaya Islam dan iman. Manakala “kegelapan yang terbuka dari hati” ialah hijab lahiriah dan kegelapan alam yang terbuka dan tersingkir dari hatinya lalu menerbitkan cahaya munawajah iaitu cahaya ihsan dan rahsia-rahsia makrifah. Susunan seperti ini juga adalah baik.

Bersesuaian dengan susunan ini juga Ibnu ‘Abbad r.a. menyebut di dalam kitab Ghaith al Mawahib al ’Aliyah, bahawa ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang berkaitan dengan Allah, sifat-sifatNya, nama-namaNya, cara-cara mengabdikan diri kepadanya dan beradab di hadapannya. Maka inilah ilmu yang terpancar cahayanya di dalam hati lalu membuka dan melapangkan hati untuk menerima Islam, dan menyingkap kegelapan lalu menghapuskan daripadanya keraguan dan syak wasangka.

Oleh sebab itu, Nabi Daud a.s. bersabda :

الْعِلْمُ فِي الصَّدْرِ كَالْمِصْبَاحِ فِي الْبَيْتِ

“Ilmu di dalam dada bagaikan lampu di dalam rumah’

Abu Muhammad Abdul Aziz al Mahdawi r.a. berkata : “Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu masa, ilmu membersihkan hati, ilmu yang membawa sifat zuhud di dunia, mendekatkan kepada syurga, menjauhkan dari neraka, mendatangkan perasaan takut dan mengharapkan kepada Allah dan ilmu tentang keaiban dan pembersihan nafsu. Inilah ilmu yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati hamba-hambaNya yang dikehendaki, selain daripada ilmu lisan, manqul (al Quran dan Hadis) dan ma’qul (akal).”

Imam Malik ibn Anas r.a. juga pernah berkata :

لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ ، وَإِنَّمَا هُوَ نُوْرٌ يَقْذِفُهُ اللهُ تَعَالَى فِي الْقُلُوْبِ

“Bukanlah ilmu itu dengan banyak meriwayatkannya, tetapi ilmu itu ialah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati.”

Manfaat ilmu itu ialah untuk mendekatkan seseorang hamba kepada Tuhannya dan menjauhkannya daripada melihat dirinya. Inilah puncak kebahagiaan dan keinginan seorang hamba. Sehubungan dengan itu, Imam Junaid r.a. pernah mengatakan :

الْعِلْمُ أَنْ تَعْرِفَ رَبَّكَ، وَلاَ تَعْدُوْ قَدْرَكَ

“Ilmu itu ialah kamu mengenal Tuhanmu dan tidak melampaui kedudukan dirimu (selaku hamba).”

Iaitu dengan melakukan adab yang baik.

Ternyata, ibarat yang ringkas dan padat ini telah merangkum makna ilmu sufi, iaitu mengenal Allah dan beradab di hadapannya. Ilmu ini sepatutnya didalami dan diselami oleh setiap insan sepanjang umurnya.

Oleh sebab peripentingnya ilmu ini, Imam Abu Hasan al Syazuli r.a. mengingatkan dengan katanya :

مَنْ لَمْ يَتَغَلْغَلْ فِي هَذِهِ الْعُلُوْمِ مَاَت مُصِرًّا عَلَى الْكَبَائِرِ وَهُوَ لاَ يَعْلَمُ

“Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang ilmu ini (ilmu sufi), nescaya dia akan mati dalam keadaaan berterusan melakukan dosa besar, sedangkan dia tidak mengetahuinya.”

Justeru, berusahalah untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat dan mintalah perlindungan daripada ilmu yang tidak bermanfaat kerana di dalam sebuah Khabar yang masyhur, Rasulullah s.a.w bersabda :

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ

“ Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”

* Kata-kata hikmah ini diambil daripada kitab karangan al-Allamah Ibn Ataillah as-Sakandari yang berjudul “Syarah Hikam Ibn Ataillah as-Sakandari”. Semoga Allah kitab-kitab karanganya menjadi pedoman manusia hinggalah hari kiamat. Insyaallah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Makluman Kepada Para Pengunjung :

Sekiranya terdapat apa-apa kesalahan perkataan dan fakta di dalam artikel blog ini, dan terdapat mana-mana artikel saya yang menyinggung perasaan anda, maka saya terlebih dahulu memohon maaf di atas perkara tersebut.

Anda boleh memberi komen yang membina, teguran yang berhemah dan cadangan atau pendapat yang bernas terhadap mana-mana artikel di dalam blog ini.

Sebarang kata-kata kesat, menyimpang, lucah dan kata-kata yang bagi pendapat saya boleh menjatuhkan nama baik Islam akan di ban/delete dan tidak akan dilayan sama sekali.

Anda boleh menghantar artikel-artikel anda, iklan-iklan serta jaringan blog anda untuk di siarkan di dalam blog ini, dengan syarat ianya akan ditapis terlebih dahulu oleh admin blog ini.

Sebarang masalah atau apa-apa yang berkenaan diatas boleh dihantar terus ke email admin iaitu :
firdaus_hadi90@yahoo.com

atau boleh melayari facebook admin di bawah :




Ikhwani Fillah

Al Lauhah Ar Raie'ah

Lalu Lintas Pengunjung

Jumlah Bukaan