Artikel Terkini

3 Perkara Di Dalam 3 Perkara Yang Tersembunyi

Friday, April 20, 2012

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana di beri peluang kepada kita untuk menghirup udara bagi meneruskan lagi perjalanan kita di muka bumi ini, tidak lain tidak bukan untuk menjadi KhalifahNya dengan menyampaikan RisalahNya dan Risalah junjungan besar Nabi Muhammad SAW buat ummat akhir zaman yang kian alpa dan leka dengan kehidupan duniawi. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kecintaan dalam melaksanakan ketaatan kepadaNya dan semoga Allah SWT mengurniakan kepada ummat akhir zaman ini dengan karunia rahmat dan hidayatNya, yang dengannya Allah SWT menghapuskan dosa-dosa hambaNya yang lemah ini dengan MaghfirahNya yang sangat luas buat hamba-hambaNya.

Di dalam sebuah Hadith Maqtu' yang berbunyi:

إن الله تعالى أخفى ثلاثا في ثلاث : أخفى رضاه في طاعته، وأخفى سخطه في معصيته، وأخفى أولياءه في عباده

"Sesungguhnya Allah menyembunyikan 3 perkara di dalam 3 perkara: Menyembunyikan keredhaanNya di dalam ketaatan yang dilakukan kepadaNya, menyembunyikan kemurkaanNya di dalam maksiat yang dilakukan kepadaNya dan menyembunyikan para walinya dari kalangan hamba-hambaNya".

Tujuan utama kita hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT, ia merupakan tapak asas seseorang hamba kepada Penciptanya, seorang pekerja mestilah berusaha bersungguh-sungguh dan mentaati segala perintah tuannya bagi memestikan tuannya menerima dirinya sebagai salah seorang pekerjanya yang setia dan balasan daripada itu, tuannya memberikannya gaji mengikut hasil usaha pekerjanya itu, bukan sekadar gaji malah tuannya juga memberinya anugerah sebagai penghargaannya kepada pekerjanya itu. Ini kita dapat lihat dari konteks seorang pekerja dengan tuannya, apatah lagi jika kita dari konteks seorang hamba dengan Tuhannya. Setiap hari kita melakukan segala perintahnya dengan meninggalkan larangannya, tujuannnya tidak lain tidak bukan untuk mendapatkan Mardhatillah (keredhaan Allah). Oleh kerana itu, Allah SWT menyembunyikan keredhaaNya di dalam ketaatan yang dilakukan oleh hambaNya kepadaNya supaya hamba-hambaNya sentiasa berusaha untuk menambah baik amalan-amalan mereka. Kita tidak tahu diantara amalan fardhu yang kita kerjakan, adakah amalan tersebut diterima oleh Allah SWT? Maka mengurniakan kepada kita solat-solat sunat supaya dapat menampung kekurangan yang ada di dalam solat fardhu kita. Dengan rahmat dan redha Allah lah juga hambaNya dimasukkan di dalam syurga, jadi janganlah cepat kita merasakan bahawa amalan yang kita lakukan seharian itu cukup untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Berusalah untuk memperbanyakkan amalan kita kepadaNya, tidakkah kita lihat bahawa Rasulullah SAW sanggup untuk solat berulangkali pada waktu malam sehingga kakinya bengkak walhal Rasulullah SAW seorang yang maksum? Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah ikutan yang terbaik.

Begitu juga Allah SWT menyembunyikan kemurkaanNya di dalam maksiat yang dilakukan oleh hambaNya kepadaNya supaya kita tidak berani untuk melakukan maksiat kepadaNya dan sering bertaubat diatas maksiat yang telah dilakukan. Oleh kerana itu, kita akan sentiasa memohon keampunan kepadaNya dalam situasi apa pun kita berada. Kita bukanlah seperti para Nabi yang maksum, Nabi Muhammad SAW juga sentiasa melazimi Istighfar walhal nabi seorang yang maksum, apatah lagi kita yang sentiasa terdedah dengan dosa-dosa yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Janganlah kita memandang dosa kecil yang kita lakukan, kecil disisi Allah SWT kerana dikhuatiri dosa yang kecil itu mungkin besar disisi Allah SWT.

Salah satu hikmah Allah SWT menyembunyikan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan adalah supaya hamba-hambaNya sentiasa berusaha untuk bangun beribadah pada tiap-tiap malam terakhir pada bulan tersebut. Salah satu hikmah Allah SWT menyembunyikan waktu mustajabnya doa pada hari jumaat adalah supaya hamba-hambaNya sentiasa melazimi untuk berdoa pada setiap detik waktu pada hari jumaat. Dan salah satu hikmah Allah SWT menyembunyikan para waliNya dari kalangan hamba-hambaNya adalah supaya kita saling hormat-menghormati diantara satu sama lain dan tidak mencela diantara satu sama lain. Kita tidak tahu mungkin pada hari ini kita berjumpa dengan para walinya dalam keadaan kita mencemuh dan mencelanya apatah lagi kita menzaliminya. Apakah Allah akan membiarkan sahaja para kekasihnya dalam keadaan begitu? Renung-renungkanlah…

Kesimpulan daripada hadis tersebut membawa kita kepada 2 perkara iaitu hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan kita dengan manusia. Hubungan kita dengan Allah SWT dengan mencari keredhaanNya dan meninggalkan kemurkaanNya atau dalam erti kata lainnya iaitu mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya. Begitu juga hubungan kita dengan manusia yang selalu kita terlepas pandang, kadang kala hubungan kita dengan Allah SWT sangat erat akan tetapi dengan manusia sangat bermasalah. Ingatlah wahai diriku dan sahabat-sahabat sekalian, kata-kata Sufian At-Thauri RA yang berbunyi : Kamu bertemu dengan Allah dengan membawa 70 dosa diantara kamu denganNya adalah lebih mudah, daripada kamu bertemu dengan Allah dengan membawa satu dosa di antara kamu dan hamba-hambaNya.

Sekian, semoga artikel ini bermanfaat buat semua…

Hukum Beramal Dengan Mimpi

Friday, April 6, 2012

Hukum beramal dengan mimpi


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta Keluarga Baginda SAW dan seluruh para Sahabatnya dan sekalian Umatnya yang mengikutinya hinggalah ke hari akhirat.


Ketahuilah, bahawa faedah suatu mimpi biasanya terhasil kepada orang yang bermimpi sahaja. Tidak harus mimpi tersebut dijadikan sebagai penetapan hukum sya’ra, sama ada hukum sunat atau sebagainya. Para ulama’ juga menyebutnya, di antaranya al Hafiz ibn Hajar al Asqalani RA menyatakan di dalam kitab Fath al Bari :

وَمَعَ ذَلِكَ فَقَدْ صَرَحَ الأَئِمَّةُ بِأَنَّ الأَحْكَامَ الشَّرْعِيَّةَ لاَ تَثْبُتُ بِذَلِكَ

“Di samping itu, para ulama’ telah menegaskan bahawa hukum-hukum syara tidak boleh ditetapkan berdasarkan mimpi-mimpi.”

إِنَّ النَّائِمَ لَوْ رَأَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُهُ بِشَيْءٍ هَلْ يَجِبُ عَلَيْهِ إِمْتِثَالُهُ وَلَابُدَّ، أَوْ لَابُدَّ أَنْ يَعْرِضَهُ عَلَى الشَّرْعِ الظَّاهِرِ؟ فَالثَّانِيْ هُوَ الْمُعْتَمَدُ

“Orang yang tidur, sekiranya bermimpi melihat Nabi SAW menyuruhnya suatu perkara, adakah wajib dia mengikutinya semata-mata? Atau tidak dapat tidak, dia mesti merujuk terlebih dahulu kepada sumber-sumber syariat Islam yang zahir? Maka pendapat yang kedua adalah muktamad”.

Inilah juga pengangan ulama tasawwuf sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Abu Hassan al Syazuli RA, yang menunjukkan pengangannya yang kuat terhadap Sunnah, Beliau berkata :

إِذَا عَارَضَ كَشْفُكَ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ فَتَمَسَّكَ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَدَعِ الْكَشْفَ، وَقُلْ لِنَفْسِكَ : إِنَّ اللهَ قَدْ ضَمِنَ لِي الْعِصْمَةَ فِي الْكِتَابِ وَالسَّنَّةِ، وَلَمْ يَضْمَنْهَا لِيْ فِي جَانِبِ الْكَشْفِ، وَلَا الإِاْهَامِ وَلاَ الْمُشَاهَدَةِ إِلاَّ بَعْدَ عَرْضِهِ عَلَى الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ

“Apabila kasyaf kamu tu bertentangan dengan al Quran dan as Sunnah, maka hendaklah kamu berpengang dengan al Quran dan as Sunnah dan tinggalkan kasyaf kamu. Katakanlah kepada diri kamu, “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla telah menjaminku dengan pemeliharaan al Quran dan as Sunnah dan bukannya dengan kasyaf, ilham dan musyahadah. Kecuali selepas merujuk kepada al Quran dan as Sunnah.”

Syeikh Soleh al Ja’fari al Azhari RA juga menyatakan di dalam syairnya :

“Hendaklah kamu menimbang lintasan kamu sekiranya pada suatu hari ia datang secara tiba-tiba, dengan timbangan syara’ yang padanya terdapat cahaya tariqat,

Sekiranya lintasan kamu itu berlandaskan syara’, maka bersegerelah melaksanakannya, sekiranya terdapat keburukan (bersalahan dengan syara’) , maka hendaklah kamu berlindung daripadanya dengan segera.”

Terdapat banyak contoh ulama yang beramal dengan mimpi mereka yang tidak bertenangan dengan syara’. Diantaranya ialah sebagaimana yang dinaqalkan daripada Abu al Qasim al Qusyairi RA :

“Pada suatu hari, anaknya ditimpa sakit tenat. Beliau berkata, “Maka aku bermimpi melihat Nabi SAW dan aku mengadu kepadanya tentang keadaan anakku.” Sabda Rasulullah SAW, “Di manakah kamu dengan ayat-ayat Syifa’ (Penyembuh)?” Lantas aku terjaga dan berfikir tentang mimpi tersebut.”

Ayat Syifa’ terdapat pada 6 tempat di dalam al Quran, iaitu :

بِسْمِ الله ِالرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Imam al Qushairi RA berkata lagi, “Maka aku menulis dan menjirusnya dengan air. Setelah itu, aku berikannya kepada anakku untuk diminum, maka dia sembuh daripada penyakitnya.”


Rujukan daripada kitab Melihat Nabi SAW & 100 Kaedahnya oleh al Musnid as Sheikh Dato Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki

Semua yang ditentukanNya baik

Wednesday, February 22, 2012

Ibnu Taimiyah pernah bercerita tentang seorang menteri yang selalu menjawab ‘baik’ setiap kali ditanya pendapatnya tentang sesuatu. Suatu hari menteri ini menghadiri acara makan malam bersama raja. Ketika sedang memotong buah, raja dengan tidak sengaja telah mencederakan jari telunjuknya sendiri. Pisau yang dia gunakan untuk memotong buah telah menyebabkan jari telunjuknya terpotong dan merasa kesakitan. Raja pun bertanya pada menteri yang duduk di sebelahnya tentang kejadian yang baru saja dialaminya.

“Baik, wahai Raja.” Jawab menteri itu tanpa keraguan.

“Apa? Kamu katakana ini baik?” Raja terperanjat dengan jawapan itu.

“Ya, wahai raja. Itu baik.”

Raja sangat marah dengan jawapan itu. Mana mungkin jarinya yang luka parah seperti itu dianggap menterinya sebagai hal yang baik? Maka dia memerintahkan menteri itu ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Kemudian raja mengunjungi menterinya di penjara dan bertanya kepadanya, “Sekarang, apa pendapatmu tentang keadaanmu sendiri, masih mahu berada di dalam penjara seperti ini?”

“Baik, wahai raja.” Jawab menteri itu tanpa ragu-ragu.

Mendengar jawapan itu, raja menjadi semakin marah dan segera meninggalkan menterinya sendirian di dalam penjara. Dia merasa menterinya itu sangat bodoh dan keterlaluan dalam memberikan pendapat. Beberapa hari kemudian, raja pergi berburu di dalam hutan dan ditemani menterinya yang lain kerana menteri yang biasa menemaninya telah dipenjarakan untuk menemani. Mereka pun berangkat dengan kuda menuju ke hutan. Oleh kerana menteri yang baru tidak biasa dengan cara raja menunggang kuda, akhirnya dia tertinggal jauh di belakang. Mereka terpisah dan raja sendiri akhirnya tersesat di dalam hutan. Bukan hanya tersesat, raja juga ditangkap oleh sekumpulan penyembah berhala yang tinggal di dalam hutan itu.

Raja tersebut ditahan oleh para penyembah berhala dan ditetapkan oleh mereka sebagai korban untuk berhala mereka. Mereka melakukan upacara selama tujuh hari dan pada hari ketujuh mereka membawa raja ke tempat persembahan. Saat raja sudah siap untuk dikorbankan, mereka melihat jari telunjuk raja terpotong, lalu mereka menjadi ragu untuk mengorbankan raja. “Kita hanya mempersembahkan yang terbaik dan sempurna pada berhala kita.” Kata ketua suku yang memimpin upacara tersebut. “Orang ini jari telunjuknya terpotong, jadi dia tidak layak menjadi korban.” Dengan itu mereka melepaskan raja tersebut dan beliau kembali ke kerajaannya dengan perasaan yang gembira.

Selang beberapa hari selepas peristiwa itu, raja teringat akan kata-kata menteri yang telah membuatnya marah ketika jarinya terpotong. Dia segera ke penjara dan berkata pada menteri itu, “Apa yang kamu katakana waktu jari saya terpotong memang betul. Itu memang hal yang baik.” Lalu raja menceritakan apa yang telah dialaminya hingga dia akhirnya selamat dari ancaman kematian. Menteri itu tersenyum sambil berkata, “Saya berada di dalam penjara ini juga baik kerana jika saya pergi dengan raja pada hari itu, saya juga turut tertangkap. Tentu saya yang akan dijadikan korban kerana anggota tubuh saya lengkap dan tidak ada yang cacat.” Maka Ibnu Taimiyah menutup cerita ini dengan mengatakan, “Semua yang ditetapkan oleh Allah adalah baik.”

p/s : Maka saya juga berkata, Semua yang ditentukan Allah untuk saya adalah baik dengan berperasangka baik saya terhadapNya. Ya, semua yang ditentukanNya baik, walaupun kita mungkin belum atau tidak mengetahui kebaikan yang ada di sebalik ketentuan itu.

Umat Islam Kini Menjadi Bingung

Monday, January 16, 2012
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga Baginda, para sahabat dan penerus perjuangan Baginda s.a.w. sehingga ke hari kiamat.

Ramai dari kalangan kita yang bingung dengan beberapa tohmahan yang dilontarkan oleh beberapa puak yang cukup terkenal dengan gelaran UFB (Ustaz Fathul Bari) dan juga beberapa pengikut-pengikutnya yang lain dengan menggunakan pendekatan menyebarkannya di laman You Tube dengan menggunakankan nama Abu Aqif Studio.

Salah satu video yang amat membingungkan umat islam pada hari ini ialah ungkapan beliau yang seolah-olah menghina zikir yang sering diungkapkan oleh kebanyakkan umat Islam di Malaysia dan mengatakan bahawa zikir itu adalah zikir yang karut.

Berikut adalah video tersebut :



dan juga video oleh UMR (Ustaz Mohd Rizal Azizan) berkenaan perkara yang sama :



Untuk jawapan bagi video diatas, mari kita ikuti penjelasan oleh Ust Nazrul Nasir al Azhari :



Untuk pemahaman yang lebih jelas boleh rujuk di sini, oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis.


Setelah itu, ia dijawab semula oleh UMR (Ustaz Mohd Rizal Azizan) dalam video dibawah:



Apa yang dapat saya perkatakan ialah tidak semestinya semua perkara yang tidak dilakukan oleh Ahli Salaf dan tidak berlaku pada zaman permulaan Islam merupakan bida'h yang mungkar dan diharamkan serta wajib diingkari. Bahkan, perbuatan seperti ini wajib dirujuk dan diukur melalui pertimbangan dalil-dalil syara'.

Oleh kerana itu, perbuatan yang mengandungi MASLAHAH (KEBAIKAN) menjadi wajib atau sunat, perbuatan yang mengandungi perkara yang diharamkan menjadi haram, yang dimakruhkan maka ia adalah makruh dan yang diharuskan, maka ia adalah harus. Mengikut kaedah feqah : للوسائل حكم المقاصد
"Bagi semua wasilah sama hukumnya dengan sesuatu tujuan."

Tidak diragui lagi, bahawa doa-doa atau zikir-zikir Nabawi merupakan asas utama bagi sumber pengambilan sesuatu doa atau zikir, dan ia sememangnya tidak diragukan sedikitpun, sekalipun bagi orang yang hanya memiliki sebesar zarah akal fikiran yang sihat. Maka kalam Penghulu Manusia SAW adalah penghulu bagi kalam manusia. Walaupun demikian, kita tidak diwajibkan beriltizam dengan doa-doa/zikir-zikir yang datang daripada Nabi SAW sahaja. Bahkan, jika seseorang itu mengucapkan sendiri doanya yang tidak bersalahan dengan syara', tidaklah mengapa. Apatah lagi jika ia adalah ayat al Quran. Disamping itu, hendaklah dicampurkan doa-doa tersebut dengan doa-doa yang datang daripada Nabi SAW bagi menghasilkan faedah yang lebih besar dan sempurna.

Ditambah pula dengan firman Allah SWT di dalam surah al Hasyr, ayat 7 : "dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya."

Allah SWT tidak berfirman apa yang ditinggalkan oleh Rasul, maka kamu ditegah dari melakukannya. Oleh itu , bersesuaian dengan kaedah feqah :
الترك لا يفيد التحريم
"Sesuatu yang ditinggalkan (yang tidak dikerjakan oleh Rasulullah SAW) tidak memberi maksud ia diharamkan (selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya)."

Oleh itu, apa yang ditinggalkan oleh Nabi SAW, selagi tidak ada larangannya maka ia adalah harus dan bukannya haram.

Ulama-ulama yang menyusun doa-doa dan zikir-zikir tersebut tidaklah mereka sesuatu perkara itu melainkan untuk mendatangkan manfaat kepada umat Islam, sepertinya juga wujud pembukuaan alQuran dizaman khulafa ar rasyidin yang tidak berlaku dizaman Nabi SAW. Mereka tidaklah menyusun alQuran dan membukukannya melainkan untuk manfaat umat Islam yang akan datang, seperti halnya juga dengan zikir selepas solat yang dikatakan bidah oleh puak Wahabi, tidaklah direka zikir tersebut melainkan untuk manfaat umat Islam yang kini lalai dan malas untuk berzikir selepas solat.

Berkaitan dengan kaedah fiqh tersebut, kaedah tersebut merupakan alat untuk menetapkan hukum fiqh. Salah satu kaedah yang terkenal adalah “Asal Ibadah adalah Dilarang”. Makna kaedah ini; semua ibadah dilarang kecuali ada dalil yang menunjukkan kebolehan ibadah tersebut. Akan tetapi, kaidah ini tidak dijumpaikan dalam kitab-kitab kaedah fiqh yang masyhur. Walau bagaimanapun kaedah ini sering digunakan untuk membid’ahkan ibadah-ibadah yang terjadi khilaf ulama seperti melafazkan niat, solat hajat, solat tasbih dan lain-lain.

Penelitian ini bertujuan untuk mengetahui kedudukan kaedah ini dan penerapannya pada cabang-cabang fiqh menurut mazhab empat yang mana dengan cara ini dapat membuka rahsia keutamaannya, batasan2 dalam pengamalannya dan posisinya di antara kaedah-kaedah fiqh yang masyhur. Untuk itu, maka perlulah dikaji cabang-cabang fiqh empat mazhab dan dibandingkan antara satu dengan lainnya.

Hasil penelitian menunjukkan ibadah yang dimasukkan dalam kaedah ini adalah hanya ibadah-ibadah yang bersifat ta’abudi iaitu ibadah yang tidak dapat diungkapkan maknanya oleh akal fikiran. Sedangkan ibadah yang bukan ta’abudi tidak ditermasuk dalam kategori ini. Dengan itui, maka hukum ibadah tersebut haram kecuali ada dalil. Sedangkan ibadah yang tidak termasuk dalam kaedah ini maka diperbolehkan mengamalkannya.

Untuk merungkai segala berkaitan dengan video-video diatas, mari lah sama-sama kita lihat watak utama dalam menyebarkan video-video yang kebanyakkannya memecah belahkan Umat Islam, lihat video ini:



Cukuplah dengan agenda mereka untuk memecahbelahkan umat Islam, tambahan pula mereka mentohmah Ustaz Azhar Idrus dengan pelbagai tohmahan, Ustaz Azhar Idrus yang kini terkenal dengan ceramahnya dengan ribuan penontonnya di laman You Tube dikatakannya ustaz sesat supaya orang tidak lagi mendengar kata-kata Ustaz Azhar Idrus, berikut adalah ungkapa UFB (Ustaz Fathul Bari) berkenaan video-video yang dikeluarkan oleh Abu Aqif :



Video tersebut seolah-olah mengatakan Ustaz Azhar Idrus menyampaikan perkara yang salah di hadapan orang ramai di dalam kuliahnya, lebih-lebih lagi beliau mendapat jumlah penonton yang ramai di You Tube. Walhal, video zikir yang mereka katakan karut itu lebih bahaya untuk tantapan umat Islam, yang menjadikan umat Islam menjadi semakin bingung.

Walau apa jua yang dihadapi oleh Ustaz Azhar Idrus, saya tetap doakan beliau supaya dapat tabah dan kuat semangat dalam menyampaikan kebenaran dan dalam menegakkan Ahlu Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.

Untuk akhirnya, saya selitkan video dibawah ini sebagai info tambahan, moga mendapat manfaat darinya.



Wallahu Subhanahu Wata'ala 'Alam...

Apa sebenarnya berlaku di Syria?

Thursday, December 8, 2011

Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi, pembantu khas Dr Yusuf al-Qardhawi, telah diamanahkan Ketua Ikatan Ulama Islam Antarabangsa itu untuk memberitahu berita dan hal sebenar yang berlaku di Syria.


Beliau yang baru sahaja melawat Indonesia diminta oleh Dr Yusuf al-Qardhawi untuk ke Malaysia. Seperti mana revolusi yang sedang berlaku di Yaman dan Syria, beliau juga mengharapkan agar di Malaysia juga berlaku perubahan yang lebih baik khususnya dalam kalangan umat Islam.

Di Indonesia, Syeikh Khalid telah menerangkan berkenaan isu Syria di beberapa tempat, dan kemuncaknya, beliau bertemu dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ditemani sahabat dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Setelah menerangkan kisah sebenar, akhirnya Presiden Susilo telah bersetuju untuk menyokong revolusi rakyat Syria.

Menurut beliau, revolusi bermula di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti di Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria menentang pemerintahan kejam Basyar Al-Assad.

Tambahnya, golongan zalim tidak berhenti mengaburkan kebenaran, tapi mereka gagal, seperti kata Ali r.a. "Pemerintah yang batil (zalim) itu hanya sementara tetapi pemerintah yang benar kekal selamanya.”

Kata-kata Ali r.a. bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam surah al-Israk ayat 81:

“Dan katakanlah: ”Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”


Dr Khalid melihat kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya. Mereka mencuri harta-harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.

Dan mereka ini tidak akan kekal seperti dalam surah ar-Ra’d ayat 17:

“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”

Beliau menceritakan latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya, Basyar Al-Assad yang kini memerintah selama 11 tahun.

Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator. Syeikh Khalid menceritakan tentang konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari, mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan penganut Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Komposisi rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah Alawiyah, 10% beragama Kristian dan 84% Muslim ASWJ. Iran mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Hafez yang merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya menyebut sifat-sifat Syiah yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.

“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membela darah pemuda, pemudi dan huffaz. Kita kena sokong revolusi di Syria, kena tunjukkan keberanian kita menentang rejim zalim ini.

“Mereka membenci ASWJ, dan Hizbullah di Lubnan juga menyokong mereka. Jadi kita perlu menyokong saudara kita di Syria. Sekiranya Hizbullah berani menyokong Basyar ini, kenapa kita tidak berani menyokong golongan yang mempelopori revolusi ini?” tegasnya.

Fakta kekejaman rejim Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera, sementara 19 doktor serta 40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam tahanan.

Dalam tempoh lapan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam, rakyat menghadapi senjata berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid dirobohkankan, wanita dibawa ke tempat yang tidak diketahui, malah ada wanita yang diperkosa di hadapan suami mereka sambil diikat.

Menurut Syeikh Khalid lagi, seorang remaja perempuan di Homs, bernama Zainab Al-Husni, 23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau melawan. Akhirnya beliau dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya. Ratusan kanak-kanak turut dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.

Beliau menegaskan, ”Apakah kita perlu berdiam diri? Bagaimana kita harus bersabar di atas taghut yang kejam ini!“

Rejim Basyar juga telah memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan memberitahu dunia bahawa rakyat masih menyokong mereka. Kakitangan yang tidak menyokong kerajaan akan hilang pekerjaan mereka.

Katanya, pejuang yang terlibat dalam revolusi akan bersiap, berwuduk dan mandi dengan wangian kerana mereka bersedia untuk mati syahid. Beliau menganggarkan 95% rakyat Syria menentang rejim itu walaupun mereka ditakut-takutkan dan diugut sekiranya turun menyertai revolusi.

Jelasnya, ada maklumat yang silap difahami oleh bukan negara Arab yang menyangka kononnya rejim Basyar sedang menyerang Israel sedangkan mereka tidak pernah menyentuh Israel, tetapi mereka membunuh rakyat mereka sendiri. Malah kapal terbang Israel boleh berada di atas istana Presiden tanpa diambil sebarang tindakan.

“Selama 43 tahun Bukit Golan diduduki oleh Israel tetapi regim Hafez Al-Assad dan ayahnya tidak pernah membunuh walau seorang pun Yahudi, tetapi mereka telah membunuh ribuan penduduk Hama yang terletak hanya enam kilometer dari Bukit Golan.”

“Maka di mana buktinya bahawa rejim yang kejam ini menunjukkan permusuhan ke atas Israel?” tanya beliau.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa terdapat perjanjian rahsia antara Syria dan Israel. Basyar merupakan al-Assad (singa) kepada rakyat mereka tetapi penakut dengan Israel.

Kekejaman rejim Basyar terserlah sehingga jika ada tentera rejim yang tidak mahu menembak ASWJ, mereka akan dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini menyebabkan lebih 30,000 tentera Syria berpaling tadah meninggalkan rejim.

Beliau seterusnya menyatakan fatwa Rabitah Ulama Syria oleh Dr Ali As-Sobuni bahawa sekiranya tentera menyerang rumah penduduk, mereka hendaklah melawan walau dengan sebilah pisau, dan mereka dihukumkan syahid sekiranya terbunuh berdalilkan hadis berikut:

“Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid ”(HR Abu Daud, An-Nasaie dan Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dan Ahmad dengan sanad yang Sahih).


Sebanyak 18 negara Liga Arab telah bersetuju untuk mengenakan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria sehingga rejim Syria menghentikan kekejaman ke atas rakyatnya. Begitu juga, negara-negara Persidangan Negara-negara Islam (OIC) turut memulau Syria.

Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain dan kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis “RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN”. Remaja-remaja itu ditangkap, diseksa, dicabut kuku, tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal dunia.

Apabila ibu bapa kanak kanak itu datang untuk membebaskan anak-anak mereka dari penjara, ketua polis penjara mengatakan kepada mereka:

"Kamu balik sahajalah, lupakan anak anak-anak itu dan anggaplah mereka telah tiada..., jika kamu hendak anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu (agar kami rogol), hasil daripada itulah anak-anak kamu.”


Dari situlah bermulanya demonstrasi yang semakin hari bertambah momentumnya dari hanya ratusan ribu hingga pada hari ini 3 juta demonstran telah mengadakan tunjuk perasaan di 157 bandar seluruh Syria mendesak Basyar berundur. Syeikh Khalid turut menjelaskan tentang pendirian Dr Sa’id Ramadhan al-Buti dalam politik Syria. Menurutnya, Dr Sa’id adalah antara lima orang ulama yang menyokong rejim berbanding 95% ulama yang menentang. Beliau menyifatkan Dr Sa’id sebagai ulama yang 'berilmu' tetapi kurang tajam dalam perspektif politik.

“Tidak hairanlah para pemuda di sana membakar buku-buku karangan beliau. Ramai lagi ulama lain yang menulis buku sirah yang amilin. Jadikanlah ulama-ulama amilin sebagai rujukan,” katanya.

Akhirnya, beliau menyeru umat Islam membantu rakyat Syria, menyeru peranan mufakkir, duat, asatizah untuk mengetengahkan dan sentiasa prihatin tentang isu di Syria, menceritakan kepada masyarakat tentang kezaliman dan apa yang berlaku di Syria.

Beliau turut menyarankan kepada para wanita yang solehah, untuk menceritakan kekejaman yang berlaku kepada saudara perempuan mereka di Syria dan berdoa untuk mereka.

“Hendaklah kamu berdoa untuk saudara-saudara kamu di Syria dengan ikhlas, siang dan malam supaya Allah membantu mereka dan membebaskan mereka daripada kezaliman pemerintah mereka.”

Sebagai penutup, beliau membaca amanat Dr Yusuf al-Qardhawi agar umat Islam menghulurkan bantuan berbentuk kewangan kepada saudara-saudara se-Islam di Syria dalam bentuk zakat dan sedekah untuk keluarga pejuang yang sedang dipenjarakan dan keseluruhan rakyat Syria, lebih-lebih lagi musim sejuk akan datang dan mereka sedang mengalami kekurangan bahan pemanas dan makanan kerana sekatan pemerintah.


Mudah-mudahan Allah mengurniakan pertolongan yang seluas-luasnya kepada umat Islam yang sedang dizalimi di Syria, menghancurkan taghut yang zalim dan menggantikannya dengan pemerintahan Islam di sana.

Peranan Tasawwuf Dalam Memelihara Identiti Agama Di Mesir

Monday, November 7, 2011

Oleh: al-Imam Syeikh ‘Ali Jum‘ah, Mufti Besar Mesir Terjemah: al-Faqir Mohd. Khafidz Soroni Sumber: Website Syeikh ‘Ali Jum‘ah

Tasawuf muncul untuk meletakkan para pengikutnya di tengah-tengah isu-isu sosial dan juga politik dalam masyarakat Islam, bukannya supaya mereka hanya duduk secara berasingan jauh daripada isu-isu berkenaan. Bahkan ia menggembleng usaha menyediakan mereka untuk berkhidmat terhadap agama, ummah dan juga tanah air.

Justeru, tasawuf mahupun ahli sufi tidak hanya setakat terhenti pada keadaan berzikir, zuhud dan beribadat secara individu ataupun secara jemaah, bahkan tasawuf telah membentuk institusi-institusi besar yang mempunyai jaringan di seluruh dunia dan berperanan dalam bidang pembangunan, politik serta sosial. Para ahli sufi di sepanjang zaman telah melahirkan para ulama, para pahlawan dan para idola yang mana sejarah Islam terisi dan dipenuhi dengan mereka, berdasarkan kepada populariti mereka yang masyhur dan kecintaan majoriti umat Islam kepada mereka. Mereka tidak mencapai kedudukan dan martabat sedemikian melainkan kerana tauladan dan tingkah laku yang baik menurut manhaj yang lurus lagi kukuh berdasarkan al-Quran dan Sunnah, menghormati para ulama ummah, serta berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan kesatuan mereka.

Oleh itu, mereka tidak menghadkan diri hanya kepada jihad nafsu semata-mata, sepertimana yang didakwa oleh orang yang tidak mengenal mereka, akan tetapi mereka menggabungkan kepada kekuatan tersebut dalam memerangi golongan musuh dan golongan yang zalim. Antara model-model mereka itu ialah Imam al-Ghazali (505H), Muhyiddin Ibn ‘Arabi (638 H), al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam (660 H) dan Imam al-Nawawi (676 H). Manakala dalam satu peristiwa sejarah yang belum jauh, para ahli sufi telah membawa panji-panji revolusi kebangsaan di Mesir dalam menghadapi pemerintah-pemerintah kerajaan Mamalik, di mana Imam al-Dardir (Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir al-Maliki, w. 1201H), seorang tokoh sufi besar telah mengetuai suatu revolusi besar menentang golongan Mamalik sebelum tercetusnya Revolusi Perancis dalam jarak tempoh tiga tahun.Ia telah memaksa golongan Mamalik mengakui bahawa rakyat adalah sumber kekuasaan, serta berjaya menghalang mereka daripada mengenakan cukai-cukai baru melainkan dengan keputusan rakyat, dengan pengiktirafan penuh terhadap kebebasan dan maruah mereka.

Tasawuf mempunyai dasar-dasar dan prinsip-prinsip yang utama, iaitu: berpegang kepada kitab Allah, dan mengikuti sunnah Rasul-Nya s.a.w., memakan yang halal, tidak menyakiti/menganiaya, menjauhi maksiat, bertaubat, dan menunaikan hak-hak. Tasawuf terbentuk dengan bersabar atas perintah-perintah dan yakin pada hidayah. Firman Allah Taala:

(وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ) [السجدة:24]

Terjemahan: “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami” [al-Sajdah: 24].

Para ahli sufi telah menyatakan bahawa: Tidak layak untuk memimpin di jalan ahli sufi ini melainkan orang yang luas pengetahuannya dalam ilmu syariat serta mengetahui yang mantuq dan mafhum, yang khas dan ‘am, serta yang nasikh dan mansukh, dan berpengetahuan luas dalam bahasa Arab sehingga mengetahui soal majaz, isti’arah dan lain-lainnya, iaitu sebagaimana yang disebutkan oleh al-‘Arif biLlah Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H) dalam mukadimah kitab beliau al-Tabaqat al-Kubra (ms. 5). Beliau juga berkata: Sesungguhnya jalan kaum sufi ini diacuankan di atas al-Quran dan Sunnah sepertimana pengacuanan emas dan permata, maka si-saliknya memerlukan kepada neraca syarak dalam setiap pergerakan dan juga perhentian (Lata’if al-Minan wa al-Akhlaq, 1/2).

Ahli sufi telah berkembang pesat di Mesir atas dasar kesederhanaan dan keseimbangan. Ia telah diringi dengan penubuhan khanqah (ribatatau tempat berhimpun ahli sufi) pertama di Mesir dalam era al-Nasir Salah al-Din al-Ayyubi (532 - 589 H). Maka berkembanglah sesudahnya banyak khanqah dan madrasah sufi di seluruh Mesir. Ia telah berperanan dalam melahirkan murid-murid dan para pelajar yang bersiap sedia dari segi rohani, tarbiah dan juga akhlaknya untuk menghadapi cabaran-cabaran ekonomi, politik dan sosial yang melanda masyarakat Islam dari semasa ke semasa.

Berpegang dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam, para ahli sufi di Mesir berada jauh daripada sifat melampau batas, mempunyai ciri keseimbangan dan juga jauh dari sikap keterlaluan. Tariqat-tariqat sufi di Mesir ini disatukan oleh suatu ciri khas, iaitu memberi tumpuan terhadap aspek ilmu dan juga akhlak.

Meskipun tasawuf di Mesir memiliki kehidupan rohani yang khusus, namun ia juga memberi pengaruh khusus ke atas banyak aspek kehidupan yang berada di sekelilingnya. Ia menjadi pendorong untuk terus berpegang kepada tasawuf dalam berdakwah kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia turut membantu ahli sufi dengan kuat dalam membentuk identiti agama yang sederhana di Mesir. Kaedah yang digunakannya ialah menyenangkan mesej yang dibawa dan memudahkan penyertaan di bawah panji-panjinya dalam mengharungi pelbagai tribulasi yang dihadapi oleh Mesir dalam tempoh-tempoh masa yang berbeza, di mana rumah-rumah kebajikan, zawiyah-zawiyah dan khanqah-khanqahmenjadi tempat perlindungan yang selamat untuk golongan yang tertindas, golongan fakir-miskin dan juga golongan lemah. Pusat-pusat tersebut juga telah menjadi penyuluh agama yang moderat, yang mampu mengeluarkan muslim yang beramal dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya untuk berjihad demi negara dan agamanya. Dari situ, para ahli sufi telah membentuk sebahagian besar suasana agama di Mesir yang bersifat jauh dari ciri-ciri melampau dan keras.

Tasawuf juga berkait dengan mencintai Ahl al-Bayt, mengadakan majlis-majlis mawlid dan halaqah-halaqah zikir yang telah membantu untuk menarik murid-murid mengasihi masjid dan juga Ahl al-Bayt. Ia merupakan satu aspek yang telah menyumbang dalam membangunkan Islam yang sederhana dan juga membentuk identiti agama. Kecintaan ini tidak sekadar dikongsi oleh ahli sufi dan golongan Syiah semata-mata, bahkan semua umat Islam baik ahli Sunnah dan juga golongan Syiah berkongsi sama dalam kecintaan mereka terhadap Ahl al-Bayt r.a.

Ahli sufi telah dan masih terus menjadi fungsi yang aktif dan penting dalam masyarakat Islam di Mesir yang turut mendorong tariqat-tariqat sufi dalam setiap zaman supaya terus berpaksi pada usul-usul tasawuf dan berpegang kuat dengannya, serta kembali kepada peranan utamanya dalam berdakwah kepada Allah dan memimpin masyarakat dari segi agama, sosial dan juga politik, sebagaimana peranannya dahulu di sepanjang sejarahnya di Mesir. Tidak pun memudaratkannya kemunculan beberapa kumpulan dari kalangan orang-orang yang malas dan jahil yang hanya mengaut rezeki di sebalik dakwaan mereka sebagai ahli sufi dan sandaran diri mereka kepadanya. Hakikatnya, jalan tasawuf adalah jelas lagi kukuh yang tidak akan menyimpang dari jalan Allah yang lurus, meskipun menerima serangan golongan yang memusuhinya dan juga tuduhan golongan yang bermotif terhadapnya.

************

LAMPIRAN

Antara Tokoh-tokoh Tasawuf di Mesir:

1. Zu al-Nun al-Misri (245H)

2. Sayyidi ‘Abd al-Rahim al-Qina’i (592H)

3. Sayyidi 'Umar bin al-Faridh (632H)

3. Sayyidi Abu al-Hajjaj al-Aqsari (642H)

4. Sayyidi Abu al-Hasan al-Syazili (656H)

5. Sayyidi Ibrahim al-Dusuqi (669H)

6. Sayyidi Ahmad al-Badawi (675 H).

7. Sayyidi Abu al-‘Abbas al-Mursi (686H)

8. Sayyidi Muhammad al-Busiri (695 H).

9. Imam Taqiy al-Din Ibn Daqiq al-’Id (702 H).

10. Imam Ahmad ibn ‘Ata'illah al-Iskandari (709 H).

11. Sayyidi 'Ali bin Muhammad bin Wafa al-Syazili (807H).

12. Sayyidi Muhammad Syamsu al-Din al-Sultan al-Hanafi (847H).

13. Sayyidi Muhammad Abu al-Mawahib al-Syazili (lebih 850H)

14. Sayyidi Ibrahim bin 'Ali al-Matbuli (881H).

15. Imam al-Hafiz Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman ibn Abi Bakr al-Suyuti (911 H).

16. Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari (926 H).

17. Sayyidi 'Ali al-Khawwas (945H).

18. Imam Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H).

19. al-‘Allamah Syeikh ‘Abd al-Ra'uf al-Munawi (1029 H).

20. al-'Allamah 'Abdullah bin Muhammad al-Syubrawi (1171H).

21. Syeikhul Azhar Muhammad bin Salim a-Hifni (1181H).

22. Sayyidi 'Ali bin Hijjazi al-Bayyumi (1183H)

23. al-'Allamah Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir (1201H)

24. Al-Hafiz al-Sayyid Muhammad Murtada al-Zabidi (1205 H).

25. Syeikhul Azhar 'Abdullah bin Hijjazi al-Syarqawi (1227H).

26. al-'Allamah Muhammad al-Amir al-Maliki (1232H).


Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/10/peranan-tasawuf-dalam-memelihara.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Makluman Kepada Para Pengunjung :

Sekiranya terdapat apa-apa kesalahan perkataan dan fakta di dalam artikel blog ini, dan terdapat mana-mana artikel saya yang menyinggung perasaan anda, maka saya terlebih dahulu memohon maaf di atas perkara tersebut.

Anda boleh memberi komen yang membina, teguran yang berhemah dan cadangan atau pendapat yang bernas terhadap mana-mana artikel di dalam blog ini.

Sebarang kata-kata kesat, menyimpang, lucah dan kata-kata yang bagi pendapat saya boleh menjatuhkan nama baik Islam akan di ban/delete dan tidak akan dilayan sama sekali.

Anda boleh menghantar artikel-artikel anda, iklan-iklan serta jaringan blog anda untuk di siarkan di dalam blog ini, dengan syarat ianya akan ditapis terlebih dahulu oleh admin blog ini.

Sebarang masalah atau apa-apa yang berkenaan diatas boleh dihantar terus ke email admin iaitu :
firdaus_hadi90@yahoo.com

atau boleh melayari facebook admin di bawah :




Ikhwani Fillah

Al Lauhah Ar Raie'ah

Lalu Lintas Pengunjung

Jumlah Bukaan