Artikel Terkini

Pintu Perlepasan Dengan Membaca Ayat al Kursi

Saturday, May 5, 2012

Pintu Perlepasan Dengan Membaca Ayat al Kursi

Dalam kehidupan kita, kita tidak terlepas daripada sebarang ujian daripada Allah SWT, bahkan nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu juga sungguh hebat ujian yang menimpa mereka. Tidak kurang hebatnya ujian yang menimpa para-para ulama yang tidak pernah lenggang daripada menerima ujian. Namun, ujian tersebut sebenarnya menambahkan lagi keimanan mereka, menambahkan lagi hubungan mereka dengan Allah SWT. Apabila mereka menimpa sesuatu kesusahan, pasti mereka akan mengadu kepada Allah, Mereka bermunajat kepada Allah SWT, mereka berdoa kepada Allah SWT. Maka lahirlah doa-doa yang terdapat daripadanya doa-doa yang ma’thur daripada Nabi, dan ada juga doa daripada salafussoleh dan para ulama.

Tidak diragui lagi, bahawa doa-doa Nabawi merupakan asas utama bagi sumber pengambilan sesuatu doa, dan ia sememangnya tidak diragukan sedikitpun, sekalipun bagi orang yang hanya memiliki sebesar zarah akal fikiran yang sihat. Maka kalam Penghulu Manusia SAW adalah penghulu bagi kalam manusia. Walaupun demikian, kita tidak diwajibkan beriltizam dengan doa-doa yang datang daripada Nabi SAW. Bahkan, jika seseorang itu mengucapkan sendiri doanya yang tidak bersalahan dengan syara', tidaklah mengapa. Membaca ayat-ayat al Quran disamping itu dicampurkan doa-doa tersebut dengan doa-doa yang datang daripada Nabi SAW bagi menghasilkan faedah yang lebih besar dan sempurna.
Firman Allah SWT di dalam surah al Hasyr, ayat 7 : "dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya."

Di dalam Al-Quran, terdapatnya satu ayat yang dapat memberikan seribu syafaat dan manfaat buat manusia jika sentiasa diamalkan. Dan ia juga salah satu daripada pintu-pintu perlepasan yang bermanfaat bagi mengelak daripada 1001 jenis keburukan. Dan pintu perlepasan yang terhebat yang dimaksudkan ialah ayat al Kursi. Dinamakan ayat al Kursi kerana di dalamnya disebut nama al Kursi, dan kerana ini jugalah ayat ini menjadi besar. Al Kursi merupakan salah satu daripada makhluk Allah yang jauh lebih besar daripada tujuh petala langit dan bumi. Bandingan tujuh petala langit dan bumi dengan al Kursi umpama sebentuk anting-anting/cincin yang ditemui di tanah lapang yang kosong. Perlu di ingat, bukan yang di maksudkan dengan KURSI ini tempat duduk tuhan, tetapi adalah KURSI itu syiar atas kebesaran Tuhan.

Ayat Kursi diturunkan pada suatu malam selepas Hijrah. Menurut riwayat, ketika Ayat Qursi diturunkan disertai dengan beribu-ribu malaikat sebagai penghantarnya, kerana kebesaran dan kemuliaannya.
Syaitan dan iblis juga menjadi takut kerana adanya satu halangan dalam usaha mereka menyesatkan umat manusia. Ayat ini termasuk salah satu daripada ayat-ayat yang terbesar. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud, al Hakim dan Harawi di dalam al Fadhail, daripada Ubai ibn Ka’ab RA, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Abu al Munzir! Adakah kamu tahu ayat manakah dari Kitab Allah yang ada padamu itu yang paling besar? “Ubai RA menjawab, “ Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda :

اللهُ لاَ إِلَهَ إلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوم
“Allah yang tiada tuhan selain Dia, Yang Hidup Kekal lagi terus menerus menguruskan (makhlukNya).” (Surah al Baqarah, ayat 255)

Tiba-tiba Baginda SAW menepuk dadaku sambil bersabda, “semoga dimudahkan ilmu bagimu, wahai Abu Munzir!”

Disebut didalam sebahagian riwayat yang lain, Rasulullah SAW bertanya beliau sehingga tiga kali, namun Ubai ibn Ka’ab RA tidak menjawabnya, kerana beradab dengan Rasulullah SAW. Ubai ibn Ka’ab RA berkata, “Maka Rasulullah SAW menepuk dadaku sambil bersabda, “Semoga dimudahkan ilmu bagimu, wahai Abu al Munzir!”.

Al Darimi RA meriwayatkan daripada al Rabi’ ibn Abdullah al Kala’i RA, seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah! Ayat apakah di dalam kitab Allah yang paling agung?” Rasulullah SAW bersabda, “Ayat al Kursi.

اللهُ لاَ إِلَهَ إلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوم

Lelaki itu bertanya lagi, “Ayat apakah di dalam Kitab Allah yang paling kamu suka diturunkan kepadamu dan umatmu?” Baginda SAW bersabda, “Ayat terakhir surah al Baqarah, kerana ia merupakan pembendaharaan rahmat yang berasal dari bawah ‘Arasy Allah. Tiada suatu kebaikan di dunia dan akhirat yang tidak tercakup dalam ayat ini.”

Ayat al Kursi juga dinamakan dengan Sayyidul Aayi al Quran (Penghulu ayat-ayat al Quran), sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW:

لِكُلِّ شَيْءٍ سَنَامٌ وَإِنَّ سَنَامَ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَفِيهَا آيَةٌ هِيَ سَيِّدَةُ آيِ الْقُرْآنِ هِيَ آيَةُ الْكُرْسِيِّ
"Setiap sesuatu memiliki puncak, dan puncak Al Qur`an adalah surah Al Baqarah, di dalamnya terdapat ayat yang merupakan peghulu ayat-ayat dalam Al Qur`an iaitu ayat kursi."

Demikian tertulis di dalam al Tajrid.

Al Anbari dan al Baihaqi meriwayatkan daripada Ali ibn Abi Talib RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

سيدة آي القرآن : اللهُ لاَ إِلَهَ إلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوم
 “penghulu ayat-ayat al Quran ialah : Allah yang tiada tuhan selain Dia, Yang Hidup Kekal lagi terus menerus menguruskan  (makhlukNya).”

Demikianlah sebagaimana disebut di dalam al Durr al Manthur.

Selain itu, ayat al Kursi juga disebut sebagai Ayat al Fath (ayat kemenangan), Ayat al Barakah wa al Nama’ (ayat keberkatan dan kesuburan), Ayat al Muqaddasah (ayat yang disucikan), Ayat al Tauhid (ayat mengesakan Allah dan Ayat al Mustaghithin (ayat orang-orang yang meminta pertolongan).

Abu Qatadah RA berkata, “sesiapa yang membaca ayat al Kursi ketika berada di dalam kesulitan, nescaya akan diberi pertolongan oleh Allah. Ayat ini juga disebut sebagai ayat orang-orang yang memohon bantuan, orang-orang yang memohon perlindungan, orang-orang yang meminta pengembalian dan orang-orang yang meminta penjagaan. Bahkan juga, dinamakan dengan ayat penjaga, ayat pelindung dan ayat penolak.”

Ketahuilah bahawan ayat al Kursi mengandungi lima nama yang mulia, amat agung kedudukannya, amat besar manfaatnya dan terlalu tinggi rahsianya. Setiap nama ini mengarah kepada satu rahsia besar yang tersembunyi di bawahnya beberapa rahsia besar yang akan diperolehi manfaatnya dan zahir faedahnya apabila disertai dengan bacaan yang berterusan (istiqamah).
 
Firman Allah SWT :

اللهُ لاَ إِلَهَ إلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوم
“Allah yang tiada tuhan selain Dia, Yang Hidup Kekal lagi terus menerus menguruskan (makhlukNya).” (Surah al Baqarah, ayat 255)

Sesiapa yang berkekalan menyebut tiga nama ini, akan meraih manfaatnya dengan segera dalam pelbagai urusan yang berkaitan dengan tuntutan duniawi, peningkatan kedudukan dan darjat, menarik hati orang yang berilmu dengan perasaan kasih, rasa suka dan hormat. Manakala kelebihannya dalam urusan agama, jauh lebih besar manfaatnya dan lebih tinggi kedudukannya.

Apabila kamu inginkan suatu hajat, hendaklah kamu gabungkan kalimah tauhid ( لاَ إِلَهَ إلاَّ الله ) dengan salah satu daripada nama-nama Allah yang bersesuaian dengan keinginan kamu. Hendaklah kamu berterusan membacanya dalam keadaan hati yang khusyu’ dan hadir, nescaya keinginanmu akan dipenuhi dengan kehendak Allah SWT.

Contohnya, bagi memohon rezeki, kamu mengucapkan :  لاَ إِلَهَ إلاَّ الله الرَّزَّاق
“Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Pemberi Rezeki.”

Untuk memohon kemuliaan dan pangkat, maka hendaklah berterusan mengucapkan : لاَ إِلَهَ إلاَّ الله المُعِزُّ
“Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha  Memuliakan.”

Untuk memohon ilmu, maka hendaklah berterusan mengucapkan : لاَ إِلَهَ إلاَّ الله العَلِيْمُ
“Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Mengetahui.”

Untuk memohon belaian kasih dan saying , maka hendaklah berterusan mengucapkan : لاَ إِلَهَ إلاَّ الله الوَدُوْدُ
“Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Mengasihi.”

Allah SWT berfirman : العلي العظيم
“Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.’

Kedua-dua nama ini dinisbahkan kepada ketinggian dan keagungan. Barangsiapa yang rutin menyebutnya, nescaya akan meraih ketinggian dan kedudukan yang besar.

Nama Allah al Azim (Yang Maha Agung), member maksud Dia Maha Berkuasa atas setiap penguasa yang kejam lagi keras kepala. Barangsiapa merasa takut terhadap kezaliman penguasa yang angkuh, atau musuh, atau orang zalim, atau zalim yang terlalu kejam, amaka hendaklah sentiasa menyibukkan diri membaca nama Allah ini.

Manakala sesiapa yang membaca seluruh nama yang mulia ini , iaitu :

اللهُ لاَ إِلَهَ إلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوم، العَلِيُّ الْعَظِيْمُ
“Allah yang tiada tuhan selain Dia, Yang Hidup Kekal lagi terus menerus menguruskan (makhlukNya), Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”

Bagi mendapatkan atau menyelesaikan suatu urusan yang penting, dan berterusan membacanya sambil menghadap Kiblat pada waktu yang mulia daripada waktu-waktu yang disunatkan berdoa, nescaya doanya akan diperkenalkan.

Maka ketahuilah juga, sesungguhnya terdapat pelbagai cara bacaan ayat al Kursi yang disusun oleh ulama. Kesemua cara ini diamalkan mengikut pengetahuan dan ijtihad mereka, namun tidak seorang pun daripada mereka yang mengatakan bahawa cara tersebut diriwatkan daripada Nabi SAW. Oleh yang demikaan, tergugur dan terlepaslah mereka daripada sebarang tanggungjawab penisbahan suatu amalan kepada Nabi SAW. Diantara cara bacaan ayat al Kursi ialah :

1)      Membacanya sebanyak 170 kali mengikut bilangan hurufnya,
2)      Membacanya sebanyak 50 kali mengikut bilangan kalimahnya,
3)      Membacanya sebanyak 313 kali mengikut bilangan Rasul-rasul dari kalangan para nabi dan ia merupakan bilangan Pengikut Thalut dan Ahli Badar dari kalangan sahabat Rasulullah SAW,
4)      Membacanya sebanyak 201 mengikut bilangan nama Nabi Muhammad SAW,
5)      Membacanya sekali. Kemudian apabila sampai pada ayat :

وَلاَ يَئُودُهُ، حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيْم
Diulang sebanyak 70 kali. Kemudian diulang membaca ayat al Kursi dari awal hingga sampai pada perkataan di atas, ulangi lagi sebanyak 70 kali.

Diantaranya lagi beberapa khasiat dan cara bacaan ayat al Kursi ialah :

  1. Sesiapa yang membaca Ayat Kursi dengan istikamah setiap kali selesai sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali masuk kerumah atau kepasar, setiap kali masuk ke tempat tidur dan musafir, insyaallah akan diamankan dari godaan syaitan dan kejahatan raja-raja (pemerintah) yang kejam, diselamatkan dari kejahatan manusia dan kejahatan binatang yang memudharatkan. Terpelihara dirinya dan keluarganya, anak-anaknya, hartanya, rumahnya dari kecurian, kebakaran dan kekaraman.

  2. Terdapat keterangan dalam kitab Assarul Mufidah, barang siapa yang mengamalkan membaca Ayat Kursi, setiap kali membaca sebanyak 18 kali, inyaallah ia akan hidup berjiwa tauhid, dibukakan dada dengan berbagai hikmat, dimudahkan rezekinya, dinaikkan martabatnya, diberikan kepadanya pengaruh sehingga orang selalu segan kepadanya, diperlihara dari segala bencana dengan izin Allah SWT.

  3. Salah seorang ulama Hindi mendengar dari salah seorang guru besarnya dari Abi Lababah r.a, membaca Ayat Kursi sebanyak anggota sujud (7 kali) setiap hari ada benteng pertahanan Rasulullah SAW.

  4. Sheikh Abul ‘Abas al Bunni RA menerangkan: “Sesiapa membaca Ayat Kursi sebanyak hitungan kata-katanya (50 kali), di tiupkan pada air hujan kemudian diminumnya, maka insyaAllah tuhan mencerdaskan akalnya dan memudahkan faham pada pelajaran yang dipelajari.

  5. Sesiapa yang membaca Ayat Kursi selepas sembahyang fardhu, Tuhan akan mengampunkan dosanya. Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, terpelihara dari gangguan syaitan, dan sesiapa yang membacanya ketika ia marah, maka akan hilang rasa marahnya.

  6. Sheikh al Buni RA menerangkan: Sesiapa yang membaca Ayat Kursi sebanyak hitungan hurufnya (170 huruf), maka insyaAllah, Tuhan akan memberi pertolongan dalam segala hal dan menunaikan segala hajatnya, dan melapangkan fikirannya, diluaskan rezekinya, dihilangkan kedukaannya dan diberikan apa yang dituntutnya.

  7. Barang siapa membaca Ayat Kursi ketika hendak tidur, maka Tuhan mewakilkan dua malaikat yang menjaga selama tidurnya sampai pagi.

  8. Abdul Rahman bin Auf RA menerangkan bahawa, ia apabila masuk kerumahnya dibaca Ayat Kursi pada empat penjuru rumahnya dan mengharapkan dengan itu menjadi penjaga dan pelindung syaitan.

  9. Sheikh al Buni RA menerangkan: sesiapa yang takut terhadap serangan musuh hendaklah ia membuat garis lingkaran dengan isyarat nafas sambil membaca Ayat Kursi. Kemudian ia masuk bersama jamaahnya kedalam garis lingkaran tersebut menghadap kearah musuh, sambil membaca Ayat Kursi sebayak 50 kali, atau sebanyak 170 kali, insyaallah musuh tidak akan melihatnya dan tidak akan memudharatkannya.

  10. Sheikul Kabir Muhyiddin Ibnu Arabi RA menerangkan bahawa; sesiapa yang membaca Ayat Kursi sebanyak 1000 kali dalam sehari semalam selama 40 hari, maka demi Allah, demi Rasul, demi al Quran yang mulia, Tuhan akan membukakan baginya pandangan rohani, dihasilkan yang dimaksud dan diberi pengaruh kepada manusia. (dari kitab Khawasul Qur’an)
           
* Sumber daripada kitab Abwabul Faraj karangan al Muhaddith Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki, yang telah diterjemahkan oleh al Musnid al Sheikh Datuk Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki yang berjudul “Pintu-pintu Perlepasan” bab 2, terbitan SOFA production.

* Sumber yang lain diambil daripada beberapa laman web ilmiah.

Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan nikmat kepada hambaNya, berikut adalah Musalsal dengan membaca ayat al Kursi yang telah diijazahkan oleh guru kami yang mulia al Muhaddith al Sheikh al Dr Mahmud Saied Muhammad Mamduh al Husaini, di rumahnya yang mulia pada hari Jumaat yang mulia, bertarikh 4 Mei 2012 bersamaan 13 Jamadil Akhir 1433 Hijrah.

بسم الله الرحمن الحيم
الحمد لله الرحيم الرحمن الكريم المنان،الذي أكرمنا بنعمة الإسناد،وشرفنا ببعثة خير الأنام سيدنا وحبيبنا وشفيعنا محمد أفضل الصلا ة وأتم السلام، وعلى آله الطاهرين الطيبين وأصحابه الأكرمين وذرياته الميامين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد :
ولله الحمد والمنة،
هذه المسلسل بقراءة آية الكرسي :
قال شيخنا المحدث الشيخ محمود سعيد محمد ممدوح الحسيني : قال شيخنا الشيخ محمد ياسين الفاداني : أخبرني به الشيخ محمد عبد الباقي اللكنوي والشيخ عمر حمدان المحرسي كلاهما عن السيد علي بن ظاهر الوتري عن عبد الغني الدهلوي وزاد الأول عن صالح السناري عن محمد بن خليل القاوقجي بروايته وعبد الغني الدهلوي عن محمد عابد السندي عن صالح بن محمد الفلاني عن محمد بن سنة عن محمد بن عبد الله عن نور الدين علي الزيادي عن يوسف بن عبد الله الأرميوني عن الحافظ جلال الدين السيوطي عن التقي ابن فهد الهاشمي عن أبي العباس أحمد بن المنيرب عن الصدر أبي الفتح الميدومي عن النجيب عبد اللطيف الحراني عن الحافظ أبي الفرج عبد الرحمن بن علي البكري هو ابن الجوزي عن محمد بن ناصر الحافظ عن أبي الغنائم محمد بن علي بن ميمون النرسي عن أبي عبد الله محمد بن علي بن الحسين عن أبي الفضل محمد بن عبد الله بن عبد المطلب الشيباني عن أبي محمد عبد الله بن أبي سفيان القرشي الشعراني عن إبراهيم بن عمر بن بكر السكسكي عن محمد بن شعيب بن شابور عن عثمان بن أبي عاتكة الهلالي عن علي بن زيد أنه أخبره أن أبا عبد الرحمن القاسم بن عبد الرحمن أخبره عن أبي أمامة الباهلي أنه سمع علي بن أبي طالب يقول ما أرى رجلا أدرك عقلة الإسلام أو ولد في الإسلام يبيت ليلة حتى يقرأ هذه الآية الله لاإله إلا هو الحي القيومسورة البقرة 2 الآية 255 “ إلى آخرها ثم قال لو تعلمون ما هي أو قال ما فيها لما تركتموها على حال إن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال أعطيت آية الكرسي من كنز تحت العرش ولم يؤتها نبي قبلي قال علي فما بت ليلة قط منذ سمعت هذا من رسول الله صلى الله عليه وسلم حتى أقرأها ولا تركتها منذ سمعت هذا الخبر من نبيكم صلى الله عليه وسلم وقال أبو أمامة ما تركت قراءتها منذ سمعت هذا من علي وقال القاسم ما تركت قراءتها منذ حدثني أبو أمامة بفضلها حتى الآن وهكذا قال جميع الرواة حتى وصل إلينا.

قلت (المحدث الشيخ محمد ياسين الفاداني)  وأنا ما تركت قراءتها منذ سمعت هذا الحديث عقب الصلوات وعند النوم. ولله الحمد.

Dikhabarkan daripada Abu Umamah al Bahili RA, sesungguhnya beliau telah mendengar Ali ibn Abi Talib RA berkata : “Tidaklah aku melihat seorang lelaki yang lahir daripada kalangan orang Islam yang duduk dirumahnya pada waktu malam membaca ayat ini : 

اللهُ لاَ إِلَهَ إلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوم.. إلى آخرها
“Allah yang tiada tuhan selain Dia, Yang Hidup Kekal lagi terus menerus menguruskan (makhlukNya).” Ayat al Kursi sehingga akhirnya.

Kemudian beliau berkata sekiranya kamu mengetahui akan kelebihannya, nescaya kamu tidak akan meninggalkannya walauapa jua keadaan sekalipun. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya aku dikurniakan ayat al Kursi yang berasal daripada bawah ‘Arasy Allah dan tidak diberikan kepada nabi-nabi sebelumku.”

Berkata Ali ibn Abi Talib RA : “Maka aku membacanya pada setiap malam selepas aku mendengarnya daripada Rasulullah SAW. Dan janganlah kamu meninggalkannya selepas kamu mendengar khabar ini daripada nabi kamu Muhammad SAW.”

Maka berkata Abu Umamah RA : “Maka tidaklah aku meninggalkan membacanya selepas aku mendengarnya daripada Ali ibn Abi Talib RA.”

Berkata Qasim RA : “Maka tidaklah aku meninggalkan membacanya selepas aku mendengarnya daripada Abu Umamah RA dengan kelebihannya sehingga sekarang.” Dan demikianlah keseleruhan yang meriwayatkannya sehinggalah sampai kepada kami.

Berkata Sheikh Muhammad Yassin al Fadani : “Dan saya tidak meninggalkan membacanya setelah mendengar hadis ini setiap kali selepas solat dan ketika hendak tidur.” Segala puji bagi Allah.

Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk mengamalkannya, insyaAllah..

Sunnah Yang Ditinggalkan

Saturday, April 28, 2012

Sunnah itu terbahagi kepada 3:

1) Sunnah wajib : iaiu perkara yang wajib dilakukan oleh Nabi SAW seperti solat fardhu lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan rukun wajib yang lain.

2) Sunnah ibadah : iaitu ibadah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagai ibadah tambahan seperti qiamullail, istigfar dan lain-lain.

3) Sunnah adat  : iaitu perkara yang kebiasaannya dilakukan oleh Nabi SAW seperti pakai serban, selendang, bersugi dan sunnah-sunnah yang lain.

Adakalanya kita sangat menekankan sunnah yang ketiga iaitu sunnah adat hingga ada diantara kita yang  memakai jubah, memakai serban, minyak wangi dan sebagainya akan tetapi ada yang culas dengan sunnah yang pertama dan kedua. Namun tidak pula hanya fokus kepada sunnah yang pertama dan kedua dan meninggalkan sunnah yang ketiga.

Sunnah yang pertama boleh diibaratkan sebagai tiang binaan rumah, tanpanya tidaklah dinamakan ia sebagai rumah, tidaklah dinamakan ia mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Manakala binaannya perlu kepada penyempurnaannya dengan menambah perkakas di dalamnya supaya ia melingkapi antara satu sama lain dan sememangnya solat sunat itu sebagai pelengkap kepada solat yang fardhu. Dan sunnah yang ketiga pula diibaratkan sebagai perhiasan yang dengannya sempurna kehidupan seseorang muslim yang berjalan di atas landasan sunnah Nabawiah.

Janganlah kita tinggalkan sunnah yang pertama…

Cubalah untuk menambah amalan sunnah yang kedua…

Hiasilah diri dengan sunnah yang ketiga…

Saya suka untuk menyentuh sedikit berkenaan serban, saya suka dengan pendapat guru saya yang tidak menggalakkan muridnya untuk memakai serban kerana dikhuatiri takut menjadi fitnah kepada sunnah itu sendiri.  Ya! Memang benar, kerana murid itu perlu di ajarkan akhlak hasanah, baru dari itu boleh untuk dia memakai serban sebagai pelengkap bagi dirinya, supaya tidak menjadi fitnah kepada Islam. “Pakai pakaian orang alim, tetapi buruk perangainya”. Namun, tidak pula saya menyanggahi yang memakainya, kerana kita tidak tahu dan tidak boleh menilai seseorang itu dengan pandangan mata kasar, apakah peribadinya,  bagaimana amalannya dan akhlaknya. Kerana mungkin saja, seseorang itu memakai daripada pakaian orang alim untum menambahkan semangatnya untuk beramal, mempelajari akhlak dan sebagainya. Ada pula orang berkata,” jadi ia menjadikan sunnah yang ketiga itu untuk mendapat semangat, tidakkah itu bunyinya seperti tidak jujur dalam beribadat, yang ketika ia memakai pakaian alim ia semangat beribadat manakala jika ia tidak memakai pakaian alim ia tidak bersemangat.” Maka saya katakan biar saja dia begitu, kerana mungkin saja ia tidak jujur pada peringkat permulaannya, dan sedikit demi sedikit Allah akan bukakan pintu kejujurannya itu. Sama sahaja hal ini dengan riak, teringat kata guru saya Sheikh Ali At Tohiri an Naqshabandi yang mengatakan riak itu mungkin ada pada peringkat permulaan, akan tetapi apabila lama-kelamaan ia akan menjadi perkara yang dilakukannya daripada kerana mahukan perhatian manusia kepada mahukan perhatian daripada Allah SWT.

Dan bagi saya, eloklah dia memakai pakaian alim, daripada ia memakai pakaian yang tidak sesuai ketika bertemu dengan Allah SWT seperti memakai seluar tracksuit seperti hendak bersukan. Biarlah diri kita ini berada dalam keadaan yang baik dari segi penampilan ketika hendak bertemu dengan Allah (solat), tidakkah kita melihat bahawa rakyat yang mahu bertemu dengan sultannya memakai pakaian yang elok dan sopan, apa pula kita dengan Rabbu Azza Wa Jalla berbanding dengan sultan. 

Maka, pilihlah untuk mengikut sunnah daripada ditinggalkan terus zaman-berzaman…

Waalhu A’lam..

Bersikap Pemaaf Dan Berlapang Dada

Wednesday, April 25, 2012

Allah SWT berfirman di dalam Surah An Nisa, ayat 149 :

ﭢ  ﭣ  ﭤ  ﭥ  ﭦ  ﭧ    ﭨ  ﭩ   ﭪ  ﭫ  ﭬ  ﭭ            ﭮ  ﭯ    

“Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa”.

Dan firman Allah SWT di dalam Surah Al A’raf, Ayat 199 :

ﭵ  ﭶ    ﭷ   ﭸ  ﭹ  ﭺ  ﭻ 

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh”.

Dan juga firman Allah SWT di dalam Surah An Nur, ayat 22 :

ﭸ  ﭹ  ﭺ  ﭻ  ﭼ   ﭽ  ﭾ  ﭿ  ﮀ  ﮁ  ﮂ  ﮃ  ﮄ     ﮅ  ﮆ  ﮈ  ﮉ  ﮋ  ﮌ  ﮍ  ﮎ  ﮏ  ﮐ   ﮒ  ﮓ  ﮔ

“Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Para salafussoleh RA sentiasa memaafkan orang lain dan berlapang dada apabila disakiti seperti dipukul, dicuri, dihina dan sebagainya kerana berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW. Baginda SAW tidak murka terhadap orang yang menyakitinya tetapi murka terhadap orang yang melanggar perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah.

Ja’far ibn Muhammad RA berkata :

لأن أندم على العفو أحب إلي من أندم على العقوبة

“Menyesal kerana memaafkan (kesalahan orang lain) lebih aku sukai daripada aku menyesal kerana membalasnya”.

Hatim ibn Asom RA berkata : Diantara tanda kamu tidak menginsafi diri kamu ialah kamu berasa marah apabila orang lain menderhaka kepada Allah tetapi kamu tidak berasa marah apabila diri kamu menderhaka kepadaNya.

Qatadah RA pernah ditanya 
 :
من أعظم الناس قدرا؟ قال: أكثرهم عفوا

“Siapakah manusia yang paling besar martabatnya?” Jawabnya, “Orang yang paling banyak memaafkan orang lain”.

Seorang perempuan telah mencuri mashaf dan selimut Malik ibn Dinar RA. Maka Malik mengekorinya dan berkata kepadanya, “Aku adalah Malik. Ambillah selimutku dan berilah kembali mashafku, dan janganlah kamu takut.”

Abu Said al Maqburi RA berkata :

من تمام العفو ترك مكافأة الظالم، والترحم عليه، وكثرة سؤال الله أن يعفو عنه

“Di antara tanda kesempurnaan kemaafan seseorang ialah dia meninggalkan balasan terhadap orang yang melakukan kezaliman, mengasihinya dan banyak memohon kepada Allah agar diampunkannya.”

Imam Malik RA apabila dipukul, maka dia memaafkan orang yang memukulnya dari awal. Begitu juga Imam Ahmad ibn Hanbal RA, apabila dipukul maka beliau berkata, “Tiada seorang pun yang akan diazab oleh Allah disebabkannya”.

Ketika mana Saidina Umar ibn al-Khattab RA diejek dan dicaci. Rasulullah SAW yang berada disisi Umar RA tersenyum memandang Umar ibn al-Khattab RA. Tetapi apabila Umar ibn al Khattab membalas semula cacian pemuda tersebut, Rasulullah SAW berhenti dari tersenyum lalu beredar dari situ. Maka Saidina Umar ibn al Khattab RA bertemu semula kepada Nabi Muhammad SAW dan bertanya “Mengapa semasa pemuda tadi mencaci aku engkau tersenyum wahai Rasulullah, tetapi apabila aku membalasnya engkau bermasam muka lalu beredar daripadaku?” Rasulullah SAW menjawab “ Semasa pemuda tadi mencaci engkau wahai Umar, malaikat sentiasa bersama engkau. Tetapi apabila engkau membalas semula caciannya, malaikat beredar dan syaitan bersama engkau, maka akun pun beredar daripada engkau’.

Ka’ab al Ahbar RA berkata: Sesiapa yang bersabar apabila disakiti oleh isterinya, maka Allah akan memberinya ganjaran sepertimana yang telah diberi kepada Nabi Ayyub AS. Sesiapa yang bersabar apabila disakiti oleh suaminya, Allah akan member ganjaran kepadanya sepertimana ganjaran yang telah diberkan kepada Asiah binti Muzahim RA (isteri Fir’aun).

Apa yang berlaku pada hari ini, manusia bersungguh-sungguh mengorbankan dirinya hanya kerana suatu dendam yang masih belum terbalas. Sekiranya mereka memberi ucapan maaf sekalipun, mereka hanya memberi maaf pada mulut tetapi tidak di hati kerana hati mereka masih tidak bebas dari kongkongan sakit hati dan mengungkit kesalahan orang lain di belakang orang tersebut. 

Sememangnya diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Harairah RA :

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

“Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Seseorang itu apabila dia melakukan kesalahan dengan Allah SWT dan memohon keampunan kepadaNya, lalu Allah SWT mengampunkan dosanya dengan sifatNya Yang Maha Pengampun, lalu sahabatnya melakukan kesalahan kepada dirinya, tetapi dia tidak memaafkannya? Sesungguhnya Allah SWT memaafkan hambaNya, inikan kita selaku hambaNya yang hina, yang sentiasa melakukan kesilapan, dan Dialah yang sering memaafkan kesalahan kita tanpa ada jemu. Oleh kerana itu, Ikutlah apa yang telah dianjurkan oleh Islam dengan adab, iaitu apabila seseorang itu hendak tidur, maka tidurlah dalam keadaan dirinya memaafkan kesalahan orang lain. Waallahu ‘Alam…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Makluman Kepada Para Pengunjung :

Sekiranya terdapat apa-apa kesalahan perkataan dan fakta di dalam artikel blog ini, dan terdapat mana-mana artikel saya yang menyinggung perasaan anda, maka saya terlebih dahulu memohon maaf di atas perkara tersebut.

Anda boleh memberi komen yang membina, teguran yang berhemah dan cadangan atau pendapat yang bernas terhadap mana-mana artikel di dalam blog ini.

Sebarang kata-kata kesat, menyimpang, lucah dan kata-kata yang bagi pendapat saya boleh menjatuhkan nama baik Islam akan di ban/delete dan tidak akan dilayan sama sekali.

Anda boleh menghantar artikel-artikel anda, iklan-iklan serta jaringan blog anda untuk di siarkan di dalam blog ini, dengan syarat ianya akan ditapis terlebih dahulu oleh admin blog ini.

Sebarang masalah atau apa-apa yang berkenaan diatas boleh dihantar terus ke email admin iaitu :
firdaus_hadi90@yahoo.com

atau boleh melayari facebook admin di bawah :




Ikhwani Fillah

Al Lauhah Ar Raie'ah

Lalu Lintas Pengunjung

Jumlah Bukaan