Artikel Terkini

Nasihat Al Imam Al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi RA

Wednesday, December 19, 2012

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBANTU PEMBERSIHAN JIWA SEORANG MURID

Al Imam Al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi RA menyenaraikan di dalam kitabnya, al Salsabil al Ma’in fi al Taraiq al Arba’in factor-faktor yang membantu murid membersihkan jiwa. Di antaranya ialah : 

1.       Memakan makanan yang halal dan menjauhkan memakan makanan yang haram.

2.       Mendengar hadith-hadith berbentuk al Targhib (galakan membuat kebaikan) dan al Tarhib (ancaman melakukan keburukan).

3.     Mempelajari Sirah Nabi SAW, ahwal, kehidupan dan syamail Nabi SAW zahirdan batin sehingga murid benar-benar dapat mengenali Rasulullah SAW dan gambaran Baginda SAW benar-benar terpahat di dalam hati. Ini akan menjadikan murid mengasihi Rasulullah SAW melebihi kasihnya terhadap makhluk yang lain yang dengannya akan menyempurnakan keimanannya. Rasulullah SAW bersabda : 

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

"Tidaklah beriman seorang dari kalian hingga aku lebih dicintainya daripada orang tuanya, anaknya dan dari manusia seluruhnya".

Untuk tujuan tersebut, para masyaikh Tariqat Sanusiah telah menetapkan beberapa buah kitab untuk dijadikan bacaan. Di antaranya ialah Syamail al Nabi SAW karya Imam al Tirmizi, al Syifa bi Ta’rif Huquq al Mustafa SAW karangan Syeikh Qadhi ‘Iyadh dan Kifayah al Murid wa Hilyah al ‘Abid karya al Allamah al Kharubi.

4.     Membaca hikayat para masyaikh berkaitan mujahadah dan ketinggian mu’amalah dan hubungan mereka dengan Allah. Ia merupakan tentera dari tentera-tentera Allah sebagaimana yang ditunjukkan oleh firman Allah SWT di dalam surah al Hud; ayat 120 mafhumnya: 
“Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya.”

5.      Bersegera melakukan amalan-amalan kebaikan seperti memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulillah SAW.

Al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi RA berkata : 

وليشتغل المريد بالأعمال المسرعة به إلى حضرة الفلاح والفوز بالكمال كالصلاة على النبي صلى اللع عليه وسلم، فقد قالبعضهم إنها لا يدخلها الرياء، وبعضهم أنها مقبولة مطلقا، وهي على هذا من الغنائم الباردة لسالكي طريق المجاهدة في الله.

“Hendaklah murid menyibukkan dirinya dengan amalan-amalan yang boleh mempercepatkan kepada terhasilnya kejayaan yang sempurna seperti berselawat ke atas Nabi SAW. Berkata sebahagian ulama’ : Sesungguhnya ia tidak dimasuki oleh sifat riya’. Sebahagian ulama’ pula berkata : Ia diterima secara mutlak. Oleh kerana itulah, ia merupakan keuntungan yang diperolehi dengan mudah bagi  orang yang menjalani jalan mujahadah fillah.”

6.     Meninggalkan bergaul dangan manusia secara berlebih-lebihan.

7.     Meninggalkan berbicara dengan manusia secara berlebih-lebihan.

8.     Meninggalkan tidur secara berlebih-lebihan.

9.     Meninggalkan makan secara berlebih-lebihan.

 sumber : Pengenalan Tariqat Al Muhammadiah Al Sanusiah Al Idrisiah karangan Dato Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Rembawi.

Khatam Nubuwwah dan Na'lu Mustafa SAW

Monday, July 9, 2012

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum w.b.t

Khatam Nubuwwah dan Na'lu Mustafa SAW

Apakah Khatamun Nubuwwah?


Menurut mafhum hadis yang dipindahkan daripada Imam At-Tarmizi r.a katanya:

“Sesiapa melihat KHATAMUN NUBUWWAH dalam keadaan berwuduk;

1. Pada waktu Subuh nescaya dipelihara oleh Allah akan dia hingga ke petang.
2. Pada waktu Maghrib terpeliharalah dia hingga ke pagi.
3. Ketika berjalan atau bermusafir maka jadilah sepanjang perjalanannya berkat dan selamat.
4. Sesiapa yang mati dalam tahun tersebut, maka dimatikan dalam iman.

" Harus kita jelas, apa yang dimaksudkan dengan melihat? Adakah cukup sekadar dengan mencetak dan menampalnya ke dinding? Atau di jadikan ‘screen saver/wallpaper’ PC? Yang dimaksudkan melihat, ialah melihat ke dalam diri semasa mengamalkannya.

Bagaimana?

Tanda Khatamun Nubuwwah pada diri Nabi Muhammad S.A.W menunjukkan Nabi S.A.W adalah penamat/penutup segala Nabi dan Rasul.Tanda ini berada pada belikat Rasullullah S.A.W.

Para ulama berbeza pendapat mengenai bentuknya, yang paling masyhur tanda itu seperti telur burung merpati, iaitu berbentuk gumpalan daging yang menonjol disebelah kiri di bahagian atas, memancarkan cahaya, tampak berwibawa dan berbau wangi.



Antaranya sesiapa yang menjadikan tanda Nubuwwah Nabi S.A.W ini sebagai perhiasan di rumah, maka ahli rumah tersebut akan terpelihara ALLAH daripada penyakit taun dan wabak, terhindar dari kebakaran dan kecurian sepertimana sabda Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Saidina Ali R.A di dalam Kitab Mahamatnainiah, yang bermaksud:

"Sesiapa yang menjadikan lukisan KHATAMUN-NUBUWWAH aku perhiasan, dipelihara oleh Allah baginya daripada penyakit taun dan wabak dan tidak mati melainkan mati dalam iman dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab."

Dan di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Anas R.A Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:"

Bermula rumah yang ada lukisan KHATAMUN-NUBUWWAH AKU di dalamnya, maka dipelihara oleh ALLAH baginya daripada kebakaran dan kecurian, dan daripada tiap-tiap musuh, dan tidak dimatikan melainkan tempatnya di Syurga dan diluaskan oleh ALLAH kuburnya dan diterangi olehnya dengan cahaya."



Apa pula Na'lu Mustafa SAW :

Sheikhul Maulana Zakaria  telah menterjermahkan perkataan 'ni'al' / 'na'lu' pada setiap hadis sebagai capal[sandal] karana bentuk bercabang dua yang diterangkan di dalam Mawawib jelas menggambarkanannya sebagai capal bukannya sepatu. Mungkinkah juga di uttar paradesh dan lain-lain negeri di india capal dipanggil juga sepatu, maka Syeikh menterjermahkannya sebagai sepatu.


Bentuk capal
Qaradah r.a meriwayatkan bahwa beliau bertanya :”Bagaimana keadaan capal Rasulullah s.a.w?” beliau menerangkan :”Bagi setiap capal terdapat dua jaluran tali kulit.”

Hadis yang serupa diriwatkan oleh Abu Hurairahr.a:” Di tanah Arap keadaan capalnya berbeza dengan bentuk capal yang digunakan hari ini. Bentuk capal itu ialah dua jalur tali kulit dilekatkan ke tapak kulitnya seperti selipar sekarang. Ini adalah kerana pada zaman tersebut tidak ada sepatu seperti yang kita pakai hari ini.”




Ibn Abbad r.a meriwatkan bahwa:” terdapat dua jalur tali kulit pada capal Rasulullah s.a.w.”
Nama salah seorang periwayat hadis ini ialah Haza[bermaksud tukang sepatu]. Sebenarnya beliau bukanlah tukang sepatu tetapi oleh kerana selalu berdampingan dengan tukang sepatu maka beliau digelar tukang sepatu kerana seorang itu tidak boleh terlepas daripada pengaruh benda-benda yang di dampinginya.

Larangan memakai sebelah capal
Abu Hurairah r.a meriwatkan bahwa Rasulullah s.a.w bersapda: “ Janganlah seorang itu berjalan dengan memakai sebelah capal; pakailah kedua-dua ataupun tanggallah kedua-duanya.” Daripada hadis ini jelaslah diketahui bahwa Rasulullah s.a.w tidak memakai sebelah capal ketika berjalan.



Ada beberapa kewajaran yang mana Rasulullah s.a.w melarang perbuatan ganjil ini.
1. Perbuatan tersebut Nampak bodoh.
2. Menyusahkan ketika berjaln.
3. Langkah menjadi tidak seimbang dan boleh menyebabkan tergelincir dan cedera.
4. Kadangkala Rasullah s.a.w berjalan ‘berkaki ayam’ tatkala pergi beribadat.
5. Bentuk dua jalur tali itu ialah satunya mempunyai jalur tali di antara tumit dengan jari yang satu lagi di antara tengah-tengah capal dengan jari.

Anjuran yang dinyatakan dalam hadis ini patutlah dijadikan sebagai suatu kebiasaan. Benarlah tidak menjadi apa-apa sekiranya seseorang itu memakai sebelah capal atau kasut. Perkara yang penting ialah jangan ada buruk laku atau tidak bertamadun didalam setiap perbuatan. Segala-galanya hendaklah dilakukan menurut tertib dan kaedah.






Inilah yang menjadi alas an kepada ulama-ulama melarang memakai sebelah lengan baju sahaja ataupun sebelah sarung kaki, sama ada dipakai kedua-dua belah lengan baju atau sarung kaki atau tanggalkan kedua-duanya.

Makruh memulakan dengan sebelah kaki sebelah kiri
Diriwatkan daripada Jabir r.a bahwa Rasullah s.a.w telah melarang makan dengan tangan kiri dan menyarung capal dengan memulakan kaki kiri. Dengan sebab perintaah inilah maka memakan dengan tangan kiri dan mula memakai sesuatu daripada sebelah kairi merupakan perbuatan yang dibenci [makruh].

Mulakan memakai kasut dengan kaki kanan dan menanggalkannya dengan kaki kiri
“Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Apabila seseorang mahu memakai kasut, mulakan dengan kaki kanan dan apabila mahu menanggalkan kasut lakukanlah dengan kaki kiri . Jadi ketika kaki kanan didahulukan sedangkan apabila menanggalkannya didahulukan kaki kiri.”



Tertibnya ialah apa saja yang mahu dipakai untuk perhiasan adalah mustajab [dipuji] memulakannya daripada sebelah kanan, jadi memakai seluar , kain, baju, kot, baju panas dan sebagainya dahuluikan yang kanan.

Jabis meriwatkan:
“Sesungguhnya Nabi s.a.w melarang seseorangjuapun makan dengan tangan kiri dan berjalan dengan sebelah capal.”
Ketika keluar masjid adalah mustajab keluar mendahulukan kaki kiri. Letakkan kaki kiri di atas capal [kasut] kemudian langkah kaki kanan terus sarung kekasut kanan. Sarungkan kaki kiri ke kasut kiri.

‘Aisyah r.a meriwatkan bahwa: “Rasulullah s.a.w seboleh-bolehnya memulakan sesuatu dari sebelah kanan, menyikat, memakai kasut, berwuduk, dan hampir-hampir di dalam semua perkara .”

Daripada ungkapan “seboleh-bolehnya” menggambarkan bahwa jika seseorang itu memulakan memakai dengan kaki kiri disebabkjan sesuatu kecatatan atau alas an , tidaklah mendatangkan apa –apa akibat.

Amalan yang mustajap ialah tatkala menanggalkan kasut atau capal hendaklah dimulakan dengan kaki kanan.

Bentuk capal Rasulullah s.a.w bertali dua kulit
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahwa: “Capal Rasulullah s.a.w mempunyai dua tali kulit. Beginilah ju ga capal yang di pakai oleh Saiyidina Abu Bakar dan Umar r.a . Capal yang bertali satu telah dimulakan oleh Saiyidina Usman r.a.”

Penjelasan:
1. Perbuatan Saiyidina Usman r.a adalah di atas alasan supaya orang ramai tidak memikirkan hanya perlu memakai capal bertali dua sahaja
2. Bagi ni'al ada disebut di dalam kitab Lam e al durari. Terdapat juga perbezaan di antara ni'al Arab dan ni'al India. Di Arab ni'al membawa maksud capal sedangkan di india ia bermaksud kasut.

Capal bertali satu bukanlah makruh. Pada zaman tersebut lazimnya capal bertali dua, maka sebab itu Rasulullah s.a.w. juga memakai capal bertali dua.


Ni'al al-Musthofa s.a.w. 1
 
Sandal/Capal Junjungan menjadi simbol kepada para pencinta baginda bahawasanya segala tindak-tanduk, amal-perbuatan, bahkan apa saja hendaklah sentiasa atas jalan dan di bawah qadam Junjungan s.a.w. agar tidak tersimpang perjalanan menuju keredhaan Allah. Kemuliaan Junjungan tiada tara, sehingga Junjungan tidak diperkenankan Rabbul 'Izzah untuk menanggalkan sandal baginda sehingga pertemuan di tempat pertemuan "qaba qawsaini aw adna" sandal masih berada di tapak kaki Junjungan. Sehebat-hebat mahkota para raja dan pemerintah tidak dapat melawan kemuliaan yang telah dicapai oleh sandal Junjungan s.a.w. Alfu alfi sholaatin wa alfu alfi salaamin 'alaika Ya Shohiban Na'lain. (Gambar sekadar hiasan)
Ni'al al-Musthofa s.a.w. 2

Lakaran Ni`al al-Mustafa s.a.w. yang dinisbahkan kepada Imam Ahmad Redha Khan Barelwi dan ditulis padanya bait-bait syair dalam bahasa Urdu yang menyanjung Junjungan al-Mustafa s.a.w. Syaikhul Hadits Maulana Zakaria al-Kandahlawi dalam catatannya untuk kitab "Syamail at-Tirmidzi" menyatakan:- "Gambar lakaran capal dan kelebihan serta keberkatannya telah diberikan dengan begitu terperinci di dalam kitab "Zadus Sa`id" karangan Maulana Asyraf 'Ali Thanwi (rahmatullah 'alaihi). Khasiatnya tidak putus-putus. Alim tersebut telah mengalaminya beberapa kali. Beliau berkata dengan menyimpan sebuah gambar lakaran capal ini seseorang itu akan diberkati dengan ziarah bertemu Rasulullah, akan dilepasi daripada ancaman kuku besi penzalim, mencapai kemasyhuran dan berjaya di dalam segala cita-cita melalui tawassul capal ini. " Moga kita juga dapat memperolehi keberkatan ini, jika belum, bersabarlah mungkin belum ada rezeki, mungkin kecintaan belum benar-benar tulus, mungkin kekotoran jiwa belum memungkinkan pertemuan dengan sebersih-bersih dan sebaik-baik makhluk. Nartaji minkas syafa`ah, Ya RasulAllah.
Ni`al al-Musthofa s.a.w. 3

Malam 27 Rajab, umat sibuk memperingati Isra` dan Mi'raj Junjungan. Kemuliaan Junjungan terlalu amat sehingga apa sahaja bersama Junjungan turut menjadi mulia, seperti diisyaratkan oleh ayat "al-ladzi baarakNaa haulahu" (yang Kami, yakni Allah, berkati sekitarnya"), jika ayat tersebut menceritakan keberkatan Masjidil Aqsa, maka Junjungan s.a.w. ini kemuliaannya keberkatannya keagungannya melebihi segala selain Allah s.w.t., fikirkanlah wahai saudara lalu jadikanlah dirimu berada dalam daairah sekitar Junjungan s.a.w. dan sekitar pewaris dan khalifah Junjungan. Kemuliaan Junjungan tertumpah sehingga ke ni`alnya yang dibawa bersama menghadap Rabbul Jalil sehingga lakaran ni`al tersebut yang dilakar demi kecintaan kepada tuan empunyanya mengandungi keberkatan dan rahsia yang sukar diungkapkan. Lakaran ni`al Junjungan Nabi s.a.w. mempunyai rahsia dan keistimewaan di kalangan sebahagian ulama sehingga ianya dijadikan simbol bagi Usrah Dandarawi (iaitu pengamal Thoriqat Ahmadiyyah Rasyidiyyah Dandarawiyyah) di Mesir. Antara kelebihannya ialah seperti diceritakan oleh Imam al-Qasthaalani dalam kitabnya "al-Mawaahibul Laduniyyah" juz ke-2 mukasurat 174:-

Dan di antara kelebihannya yang telah dicuba manfaat dan keberkatannya ialah apa yang dikisahkan oleh seorang syaikh yang sholeh, Abu Ja'far Ahmad bin Abdul Majid:- "Aku telah membuat mitsal ni`al ini untuk seorang muridku, maka dia telah berjumpa denganku pada suatu hari dan berkata:- "Kelmarin aku telah melihat keberkatan ni`al ini yang ajaib. Isteriku telah ditimpa sakit yang berat sehingga hampir-hampir binasa, maka aku letakkan mitsal ni`al tersebut pada tempat sakitnya dan berdoa "ALLAHUMMA ARINIY BARAKATA SHOHIBI HADZAN-NA'LI" ( Ya Allah, tunjukkanlah aku keberkatan tuan empunya ni`al ini, yakni Junjungan Nabi s.a.w.), lalu dia disembuhkan Allah pada waktu itu juga.

Telah berkata Abu Ishaq:-"Telah berkata Abul Qaasim bin Muhammad:-"Di antara yang telah mujarrab keberkatannya ialah sesiapa yang membawanya bersama dengan niat untuk mengambil berkat, jadilah dia selamat daripada kejahatan penjahat, memperolehi kemenangan ke atas musuh dan mendapat penjagaan daripada syaitan yang jahat serta dipelihara daripada kedengkian orang-orang yang hasad. Dan jika dibawa oleh orang perempuan hamil yang sedang sakit hendak bersalin pada sebelah kanannya, nescaya dipermudahkan urusannya tersebut dengan pertolongan dan kekuatan Allah."

Saudara, inilah antara penyaksian ulama kita berhubung lakaran ni`al al-Musthofa s.a.w. Percaya atau tidak terpulanglah, "al-madad fil masyhad fil I'tiqaad nailul murad" ("Bantuan/ Sokongan sekadar penyaksian dan dalam pegangan teguh tercapainya tujuan"). Untuk pengetahuan, Imam al-Qasthaalani adalah seorang ulama terbilang, pemuka ilmu hadits dan fiqh mazhab Syafi`i. Antara gurunya ialah Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari dan as-Sakhawi. Banyak mengarang kitab antara yang masyhur ialah "Irsyadus Sari fi syarhi Shohihil Bukhari" merupakan syarah Shohih Bukhari dalam 10 jilid besar dan "al-Is`aad fi talkhis al-Irsyad" merupakan furu' feqah Syafi`i. Maka terpulanglah. Alfu Alfi Sholaatin Wa Alfu Alfi Salaamin 'Alaika, Ya Shohibal-Mi'raaj. Alfu Alfi Sholaatin Wa Alfu Alfi Salaamin 'Alaika, Ya Shohiban-Na'lain. (Jutaan sholawat dan salam untukmu Wahai Tuan Empunya Mi'raaj; Jutaan sholawat dan salam untukmu Wahai Tuan Empunya Dua Ni`al).

Ni`al al-Musthofa s.a.w. 4

Rupa bentuk lakaran ni`al yang tercatat dalam kitab "Jawahirul Bihar" karangan Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani.

Menurut Kiyai Haji Abdul Jalil Bakri, Mudir Pesantren Darut Tauhid, Brongkal, Pagelaran, Malang, Jawa Timur, sebahagian ulama menyatakan bahawa antara kelebihan timtsal / lakaran / gambaran / mitsal ni`al Junjungan s.a.w. adalah:-

1. Apabila timtsal ni`al ini disimpan dalam rumah, maka rumah tersebut selalu mendapat perlindungan Allah dari berbagai marabahaya seperti kebakaran, kecurian dan sebagainya, serta penghuni-penghuni rumah tersebut akan memperolehi rahmat, barakah, keamanan, selama di rumah tersebut tiada suatu apapun yang menjadi pantangan masuk malaikat rahmat ke dalamnya.
2. Apabila timtsal ini dibawa berpergian, maka perjalanannya diberkati dengan keamanan dan selamat serta berhasil.

3. Apabila timtsal ini ditaruh di badan orang sakit, maka insya-Allah cepat disembuhkan Allah dengan keberkatan Sayyidina Empunya Ni`al.

Sandal Junjungan Mahkota Kemegahan

Ulama membuat lakaran atau imej sandal Junjungan s.a.w. demi kecintaan kepada Junjungan s.a.w. sehingga merasakan sandal di telapak kaki Junjungan s.a.w. lebih mulia dan lebih bertuah daripada diri mereka. Hal ini amat payah untuk difahami oleh orang - orang yang tidak mengenal cinta dan orang yang tidak pernah mengecap fana-ur-rasul. Perhatian diberikan hatta ke sandal Kekasih s.a.w. bukan kerana sandal tetapi kerana yang empunyanya. Tulusnya cinta pada Sang Kekasih telah menyebabkan keberkatan. Berbagai ulama telah mengarang berbagai kitab mengenai lakaran sandal atau ni`al al-Mustafa s.a.w. ini. Antaranya Sheikh Yusuf an Nabhani dan telah menulis bait-bait syair mengenai Na'li Rasulullah SAW, iaitu :



 على رأس هذا الكون نعل محمد *** علت فجميع الخلق تحت ظلاله
لدى الطور موسى نودي اخلع وأحمد *** على القرب لم يؤمر بخلع نعاله
مثال حكى نعلاً لأشرف مرسل *** تمنت مقام الترب منه الفراقد
ضرائرها السبع السموات كلها *** غيارى وتيجان الملوك حواسد
مثال لنعل المصطفى ما له مثل *** لروحي به راح لعيني به كحل
فأكرم به تمثال نعل كريمة *** لها كل رأس ود لو أنه رجل
ولما رأيت الدهر قد حارب الورى *** جعلت لنفسي نعل سيده حصناً
تحصنت منه في بديع مثالها *** بسور منيع نلت في ظله الأمنا
إني خدمت مثال نعل المصطفى *** لأعيش في الدارين تحت ظلالها
سعد ابن مسعود بخدمة نعله *** وأنا السعيد بخدمتي لمثالها

 Terjemahannya :
"Alas kaki Muhammad s.a.w itu agung di atas kepala alam semesta, dan segenap makhluk itu berada dibawah bayang-bayangnya.
Ketika di bukit Tursina Musa a.s diperintah supaya menanggalkan (alas kakinya), tetapi Muhammad s.a.w biarpun berada pada jarak yang lebih dekat (dengan Allah) tidak diminta supaya ditanggalkan sandalnya.
Lambang yang meniru sandal asli Sang rasul yang paling mulia itu membuatkan bintang-bintang berangan-angan menjadi tanah untuk dipijak olehnya.
Madu-madunya, tujuh petala langit semuanya cemburu, dan mahkota-mahkota raja semuanya merasa hasad padanya.
Lambang sandal Al-Mustafa itu tiada bandingannya, ia adalah kerehatan bagi ruhku dan celak (ubat) bagi mataku.
Sangatlah mulia lambang sandal yang agung ini! Kerananya, semua kepala berharap alangkah baiknya jikalau dapat menjadi kaki (Baginda s.a.w).
Apabila aku melihat Allah (Ad-Dahr) mula memerangi manusia (kerana maksiat mereka) aku menjadikan alas kaki tuannya sebagai perisai.
Aku berlindung daripadaNya (kemarahan Allah) dengan keagungan lambang alas kaki Baginda s.a.w, sebagai tembok yang kukuh dimana aku berasa aman dibawa perlindungannya.
Aku berkhidmat pada lambang sandal Al-Mustafa, supaya dapat aku hidup di dunia dan akhirat dibawah bayang-bayangnya.
Berbahagianya Ibn mas'ud kerana khidmatnya pada sandal Baginda (Yang sebenar), dan aku, adalah si dia yang berbahagia kerana khidmatku pada lambangnya.
Sesungguhnya bukanlah pada lambang itu hatiku merindu, tetapi pada si dia yang memakai sandal itu.
Kita direndahkan oleh cinta kerana memuliakan sandal ini, dan bilamana kita merendahkan diri dihadapanya kita akan diangkat dan dimuliakan!
Maka letakkanlah ia di rak-rak teratas, Kerana secara zahir ia adalah sandal, namun pada hakikatnya ia adalah mahkota!"
-Al-Qadi As-Shaykh Yusuf al-Nabhani-

Begitu juga dengan Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki, seorang tokoh ulama di Malaysia, beliau mempunyai pelbagai pusat pengajian dan dakwah, kebanyakkan daripada logo yang digunakan oleh pusat Ahli Sunnah wal Jamaah tersebut berkisar kepada simbol Khatam Nubuwwah dan Na’lu Mustafa SAW sebagai tabarrukan kepada kedua-duanya.




Sehinggakan sebahagia bagunan kolej diukir lambang dan simbol tersebut.  Pintu tersebut direka khas berbentuk capal Nabi Muhammad SAW seperti gambar dibawah :



Begitulah sifat para a'lim ulama yang begitu tinggi mahabbah mereka kepada Tuan Punya Capal SAW.  Akhirnya semoga kita mendapat keberkatan daripada Nabi Muhammad SAW dan perbanyakkanlah selawat kita kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada keluarga serta sahabat Baginda SAW. Moga kita di kumpulkan di akhirat kelak dibawah panji Nabi Muhammad SAW. Ameen ya Rabbal 'Alamin... 


Wallahu Taala A'lam... 


 Rujukan : diolah beberapa entri dan kebanyakkannya diambil daripada laman Bahhrusshofa :  http://bahrusshofa.blogspot.com/search/label/Ni%60al dan beberapa laman yang tidak disebutkan disini.

 

Majlis Hadis Sohih al Bukhari

Sunday, June 17, 2012
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ke atas keluarga Baginda dan para sahabat sekaliannya.

Segala puji bagi Allah, dengan kurniaan nikmatNya yang tidak terhingga, hingga kini kami masih diberikan nikmat oleh Allah dengan nikmat bersama para Ulama’, syukur kepada Ilahi kerana masih memberi kesihatan kepada kami, memberi kesihatan kepada keluarga kami, dan masih memberi kesihatan kepada masyaikh kami dalam memberi curahan ilmu kepada kami, moga dipanjangkan hidup kami agar dapat kami bersama-sama dengan mereka di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hari ini merupakan hari yang cukup bermakna ini, iaitu berlakunya peristiwa Isra & Mikraj. Peristiwa yang mana Allah SWT memperjalankan hambanya daripada Baitul Haram ke Baitul Maqdis (Isra) dan daripada Baitul Maqdis hinggalah kelangit ke tujuh, kemudian ke Mustawa dan seterusnya bertemu dengan Rabbun Jalil secara jasadnya. Peristiwa ini merupakan peristiwa yang terpenting kerana pada waktu pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan Tuhannya, maka kita disyariatkan oleh Allah SWT untuk melakukan solat lima waktu sehari semalam. Dan Alhamdulillah, kita masih lagi diberi kekuatan untuk melakukannya. Bulan rejab atau dikenali dengan bulan haram, atau juga dikenali dengan bulan Allah SWT, yang mana Allah SWT telah memuliakan hambaNya Nabi Muhammad SAW, maka secara tidak langsung bulan ini menjadi bulan yang mulia disisi Allah SWT. Seperti yang telah dikatakan masyaikh kami, bahawasanya apa sahaja yang bersandar kepada Nabi Muhammad SAW, kesemua itu menjadi mulia kerana kemuliaan Baginda SAW itu sendiri. Maka amat rugilah mereka yang tidak mengambil peluang untuk bersama-sama memuliakan bulan yang telah dimuliakan oleh Allah SWT.

Imam al Bushiri RA bersyair dengan mengatakan :

 فَمَبْلَغ العِلْمَ فِيْهِ أَنَّهُ بَشَرٌ    وَأَنَّهُ خَيْر خَلْقِ اللهِ كُلِّهِمِ

“Setinggi-tinggi akal manusia, mereka akan mengatakan bahawasanya Muhammad itu adalah manusia, tetapi sesungguhnya Baginda SAW adalah sebaik-baik makhluk keseluruhannya.”

Peristiwa ini menyatakan kepada kita selaku insan yang mempunyai akal, bahawasanya sememangnya Nabi Muhammad SAW itu manusia seperti kita, makan minum dan sebagainya. Akan tetapi Nabi Muhammad SAW itu bukan seperti manusia biasa, tetapi Nabi Muhammad adalah manusia yang diberi keistimewaan oleh Allah SWT dengan pelbagai keistimewaan terutamanya pada peristiwa diperjalankan hambaNya bertemu dengan HadratNya. Dan ia merupakan salah satu mukjizat Nabi SAW selain mukjizatnya yang kekal iaitu Al Quran al Karim.

Kalam syair yang berbunyi :
مُحَمَّدٌ بَشَرٌ لاَ كَالْبَشَر  بَلْ هُوَ كَالْيَاقُوْت بَيْنَ الْحَجَر
“Nabi Muhammad SAW itu manusia tetapi tidak seperti manusia
biasa, bahkan ianya seperti permata dicelah-celahan batu”.
Alhamdulillah, pada petang 27 Rejab 1433H kami mengambil peluang untuk bersama-sama dengan masyaikh kami, al Muhaddith Sheikh Mahmud Saied Muhammad Mamduh al Husaini pada akhir bulan Rejab yang mulia ini dengan membuka pengajian kitab Sohih al Bukhari. Kitab tersebut akan terus dibaca bermula selepas asar sehingga isyak, dalam purata sebanyak 300 bilangan hadis, dan insyaallah akan dikhatamkan pada bulan Ramadhan atau mungkin sahaja sebelum Ramadhan dapat di khatamkan terus. Pengajian ini merupakan pengajian pertama yang dibuat di kediaman yang terletak di atas Hayyu Asyir, rumah ini baru sahaja di selenggara dan akan dihuni oleh pelajar-pelajar Malaysia sebagai satu wadah untuk para pelajar untuk bertalaqqi dengan para masyaikh. Insyaallah, jika tiada arah melintang saya akan berhijrah ke sana. 

Sungguh mulia bagi mereka yang menjadikan rumah-rumah mereka untuk memperdengarkan mutiara-mutiara hadis Nabawi, itulah yang telah masyaikh kami susunkan dengan menjadikan pengajian Hadis merupakan pengajian yang pertama di kediaman tersebut.
Sufyan al Thauri R.A. berkata:

سمَاعُ الحَدِيثِ عِزٌّ لِمَنْ أَرَادَ بِهِ الدُّنْيَا, وَرَشَادٌ لِمَنْ أَرَادَ بِهِ الآخِرَة

“Mendengar hadith adalah suatu kemuliaan bagi sesiapa yang mengkehendaki dunia dan petunjuk bagi sesiapa yang mengkehendaki akhirat”.

Dapat bersama-bersama dengan ahli Keluarga Nabi SAW, para Ulama' dan lebih-lebih lagi dengan para Muhadditsin (Ulama Hadis) merupakan suatu peluang yang sangat berharga dan lebih bernilai daripada permata, teringat suatu kata-kata yang berbunyi :
أَهْلُ الْحَدِيْثِ هُمُ أَهْلُ النَّبِيِّ وَإِنْ لَمْ يَصْحَبُوْا نَفْسَهُ أَنْفَاسَهُ صَحبُوا

“Ulama hadith itu adalah ahli keluarga Nabi. Sekalipun mereka tidak bersahabat dengan batang tubuh Nabi, namun mereka bersahabat dengan nafas-nafas Nabi SAW”.
Semoga kita diberikan peluang dalam hidup kita untuk mendengar keseluruhan kalam-kalam Baginda SAW dan dihimpun di akhirat kelak bersama dengan para kekasihNya, bersatu di bawah bendara Baginda SAW, diberi minuman dari telaga Baginda SAW, dan mendapat syafaatnya di akhirat nanti, amiin…
Al Faqir ila afwi Rabbihi,
Muhammad Firdaus bin Abdul Hadi
17/6/2012 bersamaan 28 Rejab 1433H




Rejab Kembali, Sya'ban Menanti, Ramadhan Dirindui

Monday, May 21, 2012
Oleh: Dr. Asmadi Mohamed Naim

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان، وبلغنا رمضان

Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada Rejab dan Sya'ban, dan jadikan kami berjumpa dengan Ramadhan.

Rejab datang lagi, dan kerap kali perbincangan mengenai menambahkan amalan-amalan dalam bulan Rejab menjadi perdebatan. Kerap kali amalan-amalan berpuasa dalam bulan Rejab dan Sya'ban dipertikaikan. Persoalan dan perdebatan berkisar kepada isu-isu di bawah:

i. Benarkah bulan Rejab tidak ada keistimewaannya berbanding bulan-bulan lain dan mengatakannya mempunyai kelebihan akan jatuh sesat?

ii. Benarkah melakukan amalan-amalan kebaikan di bulan ini tidak ada bezanya dengan melakukannya pada bulan-bulan lain?

iii. Benarkah mengkhususkan melakukan kebaikan pada bulan ini adalah satu yang 'sesat' atau bid'ah?

Disebabkan masa yang terhad, saya tidak bercadang memberikan penghuraian secara menyeluruh merangkumi penghujahan setiap pihak yang menyokong dan menolak. Saya lebih menjurus kepada melihat kepada penghujahan ulama yang membenarkannya secara ringkas untuk melihat samada adakah amalan-amalan ini rekaan mereka semata-mata atau mereka mempunyai hujah dan pentafsiran yang memuaskan hati kita untuk beramal dengannya.

Method saya dalam berdepan dengan amalan-amalan ibadah masyarakat Islam terdahulu khususnya yang dipelopori oleh ulama-ulama (yang tidak bertentangan dengan nas nyata al-Quran dan al-sunnah) ialah husn al-dzan bahawa ulama-ulama tersebut mempunyai hujah yang membolehkan amalan itu diamalkan. Perbincangan saya menjurus kepada soalan-soalan yang saya lontarkan di atas dan saya ulangkan sekali lagi secara satu persatu:

Benarkah bulan Rejab tidak ada keistimewaannya berbanding bulan-bulan lain dan mengatakannya mempunyai kelebihan akan jatuh sesat?

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 36:

Bermaksud:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketentuan Allah (di Luh mahfuz) pada hari Dia menjadikan langit-langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka jangan kamu menzalimi diri kamu di dalamnya (bulan-bulan tersebut). Perangilah orang-orang kafir keseluruhannya sebagaimana mereka memerangi kamu keseluruhannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang bertakwa.

Ayat tersebut mengkhususkan empat bulan sebagai bulan-bulan haram iaitu tiga bulan yang berturut iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram; dan satu bulan yang bersedirian iaitu bulan Rejab.

Menurut Imam al-Razi RH:
Maksud al-haram (samada bulan haram atau tempat haram) ialah maksiat padanya dibalas dengan balasan yang lebih berat, dan ketaatan dibalas dengan pahala yang lebih besar
(al-Razi, jil.16, ms. 53).

Imam al-Qurtubi menjelaskan (Jilid 8, ms. 67):

خص الله تعالى الأربع الأشهر الحرم بالذكر، ونهى عن الظلم فيها تشريفا لها، وإن كان منهيا في كل زمان.
Bererti: Allah Taala mengkhususkan empat bulan dengan menyebutnya, dan melarang kezaliman dilakukan di dalam bulan-bulan ini adalah untuk memuliakannya (bulan-bulan ini), walaupin kezaliman tersebut sememangnya dilarang pada setiap masa.


Imam Ibn Kathir mengaitkan ayat di atas dengan ayat selepasnya dengan berkata:

"ذلك الدين القيم" هذا هو الشرع المستقيم من امتثال أمر الله فيما جعل من الأشهر الحرم والحذو بها على ما سبق من كتاب الله، الأول قال تعالى: فلا تظلمون فيهن أنفسكم" أي في هذه الأشهر المحرمة لأنها آكد وأبلغ في الإثم من غيرها كما أن المعاصي في البلد الحرم تضاعف لقوله تعالى: "ومن يرد فيه بإلحاد ظلم نذقه بعذاب أليم". وكذا الشهر الحرام تغلظ فيه الآثام ولهذا تغلظ الدية في مذهب الشافعي وطائفة كثيرة من العلماء.

Bererti: "Itulah jalan yang lurus" Inilah dia Syarak yang lurus daripada kepatuhan kepada suruhan Allah Taala pada apa yang diberikan pada bulan-bulan haram, dan mempraktikannya sebagaimana dinyatakan dalam kitab Allah
Pertama, Allah Taala berfirman: Maka jangan kamu menzalimi diri kamu padanya, iaitu pada bulan-bulan haram kerana lebih pasti dan lebih berat dosa berbanding dosa dalam bukan bulan-bulan haram, sebagaimana maksiat dalam negeri haram (Mekah dan Madinah) berlipat ganda dosanya berdasarkan firman Allah (yang bermaksud): Dan sesiapa yang mahu mendatangkan padanya (masjid haram) kezaliman, Kami merasakannya dengan azab yang pedih!" (al-Hajj: 25)
Demikian juga bulan-bulan haram, lebih berat dosa yang dilakukan di dalamnya, sebagaimana mazhab Imam Shafie dan ramai kumpulan ulama mengatakan 'diyah mughallazah' (terhadap pembunuhan dan kecederaan) yang dilakukan dalam bulan haram.


Berkata Imam Ibn kathir dalam tafsirnya berkaitan ayat di atas:

وقال علي بن أبي طلحة عن ابن عباس قوله: "إن عدة الأشهر عند الله" الآية فلا تظلمون فيهن أنفسكم في كلها ثم اختص من ذلك أربعة أشهر فجعلهن حراما وعظم حرماتهن وجعل الذنب فيها أعظم والعمل الصالح فيها أعظم.

Berkata Ibn Kathir lagi: Berkata Ali bin Abi Talhah dari Ibn Abbas: Sesungguhnya bilangan-bilangan bulan di sisi Allah... al-ayat.. Maka janganlah kamu menzalimi pada bulan-bulan tersebut diri-diri kamu pada keseluruhan bulan, kemudian dikhususkan darinya empat bulan dan Allah menjadikannya sebagai bulan-bulan haram,dan menambah kemuliaannya dan Dia menjadikannya berbuat dosa padanya lebih berat dan amal soleh padanya lebih hebat pahalanya.


Subhanallah, maha suci Allah SWT, penerangan oleh ulama-ulama muktabar ini jelas menunjukkan bahawa menganggap bulan Rejab sebagai bulan yang istimewa tidak ada cacat celanya berdasarkan al-Quran dan sunnah. Bahkan menganggap amalan-amalan yang dilakukan lebih besar pahalanya juga adalah bersesuaian dengan penafsiran ayat di atas dan bukanlah dari perbuatan bid'ah. Apabila Allah SWT meletakkan sebagai bulan istimewa, ia menunjukkan satu motivasi supaya umat Islam menambahkan amalan dalam bulan ini bersesuaian pahalanya dilipatkali gandakan.


• Benarkah melakukan amalan-amalan kebaikan di bulan ini tidak ada bezanya dengan melakukannya pada bulan-bulan lain?

Saya ingin mengulangi kembali petikan yang saya tulis di bahagian di atas yang menjhelaskan persoalan ini.

Lihat kembali huraian Imam Ibn kathir dalam tafsirnya berkaitan ayat di atas:

وقال علي بن أبي طلحة عن ابن عباس قوله: "إن عدة الأشهر عند الله" الآية فلا تظلمون فيهن أنفسكم في كلها ثم اختص من ذلك أربعة أشهر فجعلهن حراما وعظم حرماتهن وجعل الذنب فيها أعظم والعمل الصالح فيها أعظم.

Berkata Ibn Kathir lagi: Berkata Ali bin Abi Talhah dari Ibn Abbas: Sesungguhnya bilangan-bilangan bulan di sisi Allah... al-ayat.. Maka janganlah kamu menzalimi pada bulan-bulan tersebut diri-diri kamu pada keseluruhan bulan, kemudian dikhususkan darinya empat bulan dan Allah menjadikannya sebagai bulan-bulan haram,dan menambah kemuliaannya dan Dia menjadikannya berbuat dosa padanya lebih berat dan amal soleh padanya lebih hebat pahalanya.


Ibn Abbas RA melalui nukilan Imam Ibn Kathir mengakui amal soleh dalam bulan haram ini lebih besar pahalanya.

Lihat pula bagaimana tafsiran Imam al-Qurtubi (Jilid 8, ms. 67):
:

خص الله تعالى الأربع الأشهر الحرم بالذكر، ونهى عن الظلم فيها تشريفا لها، وإن كان منهيا في كل زمان.
Bererti: Allah Taala mengkhususkan empat bulan dengan menyebutnya, dan melarang kezaliman dilakukan di dalam bulan-bulan ini adalah untuk memuliakannya (bulan-bulan ini), walaupun kezaliman tersebut sememangnya dilarang pada setiap masa.


Justeru, mengkhususkan amalan pada bulan ini, bukan bererti kita menafikan melakukan kebaikan pada bulan-bulan lain, sebagaimana melarang kezaliman dilakukan pada bulan-bulan haram bukan bererti melakukan kezaliman pada bulan-bulan yang lain.

Penafsiran bahawa bulan Rejab dan bulan-bulan haram mempunyai keistemewaan apabila meninggalkan kejahatan dan melakukan amal soleh adalah bertepatan dengan ayat-ayat di atas. Justeru, adalah sesuatu yang amat-amat gopoh apabila sesorang mengklasifikasikan pandangan yang masih dalam ruang lingkup ayat ini sebagai satu perbuatan sesat.

Benarkah mengkhususkan melakukan kebaikan pada bulan ini khususnya puasa adalah satu yang 'sesat' atau bid'ah?

Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab Sahih Muslim satu hadith dari Uthman bin Hakim berkata:
Aku berkata: Aku bertanya Sa'id bin Jubair mengenai puasa bulan Rejab, kami pada waktu itu di bulan Rajab. Dia berkata: Aku mendengar Ibn Abbas RA berkata: Adalah Rasulullah SAW berpuasa, sehingga kami menyangka dia tidak berbuka; dan bila dia berbuka, sehingga kami menyangkanya tidak berpuasa.

Hadith tersebut menyebut bagaimana puasa juga menjadi amalan Rasulullah SAW dalam bulan Rejab.

Imam Nawawi mensyarahkan hadith di atas dengan berkata (Syarh Sahih Muslim, Jil.8, ms.225):

الظاهر أن مراد سعيد بن جبير بهذا الاستدلال أنه لا نهي ولا ندب فيه لعينه، بل له حكم باقي الشهور، ولم يثبت في صوم رجب نهي ولاندب لعينه، ولكن أصل الصوم مندوب أليه. وفي سنن أبي داود أن رسول الله صلى الله عليه وسلم ندب إلى الصوم من الأشهر الحرم، ورجب أحدها. والله أعلم.

Bermaksud: Yang nyata bahawasanya maksud Sa'id bin Jubair ialah menunjukkan bahawa tidaklah dilarang dan tidaklah disunatkan berpuasa Rejab (kerana bulannya), bahkan untuk puasa Rejab adalah sama hukum sunat dengan bulan-bulan yang lain. Tidak sabit juga larangan dan galakan untuknya secara sendirian. Sebaliknya asal hukum puasa ialah mandub (digalakkan). Dalam Sunan Abi Daud, Rasulullah SAW menggalakkan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah antaranya.


Walaupun Imam Nawawi mensyarahkan hadith-hadith puasa Rasulullah SAW yang menunjukkan baginda berpuasa penuh hanya pada bulan Ramadhan, namun Imam Nawawi tidak melihat hadith bulan Rejab ini berlawanan dengan hadith-hadith sebelumnya.

Berkaitan hadith riwayat Abu Daud adalah seperti berikut (Aun al-ma'bud, Jil.4, 507):

((صم من الحرم واترك، صم من الحرم واترك، صم من الحرم واترك)) وقال بأصابعه الثلاثة فضمها ثم أرسلها.
Bererti: Berpuasalah dari bulan haram kemudian tinggal, bulan haram kemudian tinggal, bulan haram kemudian tinggal. Dia berkata dengan menunjukkan tiga jarinya dan dirapatkan kemudian dilepaskan (tidak dirapatkan).


Imam Nawawi telah menukilkan hadith ini dalam kitabnya Riyadh al-Salihin. Beberapa pengarang semasa antaranya Dr. Mustafa Bugha dan rakan-rakannya mensyarahkan hadith ini berkata (Nuzhah al-Muttaqin, Jil.2, ms.130):

Sesungguhnya puasa sunat adalah digalakkan kerana ianya ketaatan yang Allah SWT dan Rasulnya menyukainya lebih-lebih lagi dalam bulan haram. Makruh berpuasa berterusan (siyam al-dahr iaitu puasa setahun selain hari raya) kepada sesiapa yang ditakuti mendapat mudarat, atau menyebabkan hak yang wajib atau sunat terabai sebagaimana hadith riwayat Bukhari dan Muslim: "Tidak ada puasa bagi sesiapa yang berpuasa berterusan". Namun sesiapa yang tidak memudaratkan dia dengan berterusan puasa dan tidak menyebabkannya terabai menunaikan hak yang wajib atau sunat, tidak makruh bagi pihaknya, bahkan mustahab (digalakkan), dan yang paling afdhal berpuasa selang sehari.


Golongan yang menolak

Walaupun begitu, syarahan oleh para Imam dan pengarang semasa ditolak oleh pihak yang berlawanan kerana beberapa sebab, antaranya:

i. mereka menjadikan hadith umum sebagai dalil utama seolah-olah bertaraf qat'i: Setiap yang baru itu bid'ah, dan setiap yang bid'ah itu sesat! Sekiranya tidak ada galakan dari syarak, maka haram melakukannya dan boleh jatuh bid'ah dan sesat.

Imam Nawawi juga menukilkan hadith tersebut (hadith larangan bid'ah) dalam kitabnya Riyadh al-Salihin (ms. 88), tetapi tafsirannya bukan sebegitu. Justeru beliau masih boleh mengatakan: "Tidaklah dilarang dan tidaklah disunatkan berpuasa Rejab (kerana bulannya), bahkan untuk puasa Rejab adalah sama hukum sunat dengan bulan-bulan yang lain. Tidak sabit juga larangan dan galakan untuknya secara sendirian. Sebaliknya asal hukum puasa ialah mandub (digalakkan)".

Imam Nawawi tidak pula mengatakan "Apabila tidak ada galakan, maka melakukannya adalah bid'ah dan sesat"!

Ini menunjukkan sebahagian besar juga ulama-ulama ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dahulu berpegang sekiranya tidak ada dalil yang khusus samada melarang atau menyuruh, perkara tersebut kembali kepada hukum asal ibadah tersebut. Dalam kes puasa rejab, andainya tiada dalil yang menggalakkannya dan melarangnya, ia kembali kepada dalil umum galakan berpuasa, dan dalil umum kelebihan meninggalkan kezaliman dan melakukan amalan taat di bulan-bulan haram.

ii. Perbezaan metodologi iaitu mereka mengatakan hadth-hadith dhaif tidak boleh digunakan untuk beramal, sedangkan sebahagian ulama yang lain membenarkan beramal dengan hadith-hadith dhaif yang ringan selama ianya tidak bertentangan dengan nas-nas yang qat'i dan nyata pada syara' serta tidak menyalahi kaedah-kaedah syarak. Justeru, kelebihan puasa Rajab tidak berlawanan dengan kelebihan bulan-bulan haram yang dinyatakan di awal perbincangan.

Kesimpulan:

Perbincangan ini membuat kesimpulan bahawa:

Saya berharap pembaca dapat berlapang dada menerima perbezaan pendapat dan membuang sifat taksub samada menerima atau menolak perbincangan ini. Perlu diingatkan bahawa persoalan 'menambah amalan dalam bulan rajab' dan persoalan puasa padanya adalah permasalahan furu' (cabang dalam agama). Ia tidak akan menjadikan seseorang yang menerima atau menolaknya menjadi sesat.

Penerangan oleh ulama-ulama muktabar jelas menunjukkan bahawa menganggap bulan Rejab sebagai bulan yang istimewa tidak ada cacat celanya berdasarkan al-Quran dan sunnah. Bahkan menganggap amalan-amalan yang dilakukan lebih besar pahalanya juga adalah bersesuaian dengan penafsiran ayat di atas dan bukanlah dari perbuatan bid'ah. Apabila Allah SWT meletakkan sebagai bulan istimewa, ia menunjukkan satu motivasi supaya umat Islam menambahkan amalan dalam bulan ini bersesuaian pahalanya dilipatkali gandakan.

Penafsiran bahawa bulan Rejab dan bulan-bulan haram mempunyai keistemewaan apabila meninggalkan kejahatan dan melakukan amal soleh adalah bertepatan dengan ayat-ayat di atas. Menjadi satu kegopohan apabila sesorang mengklasifikasikan pandangan yang masih dalam ruang lingkup ayat ini sebagai satu perbuatan sesat dan bid'ah. Ditakuti tuduhan sesat akan kembali kepada penuduhnya. Melakukan bid'ah melarang masyarakat menambah ibadah dan amalan kebaikan sama buruknya atau lebih buruk daripada mereka yang mereka-reka (bid'ah) ibadah.

Perbincangan ini juga menunjukkan bahawa tidaklah dilarang dan tidaklah disunatkan berpuasa Rejab (kerana bulannya), bahkan untuk puasa Rejab adalah sama hukum sunat dengan bulan-bulan yang lain. Tidak sabit juga larangan dan galakan untuknya secara sendirian. Sebaliknya asal hukum puasa ialah mandub (digalakkan). Manakala dalam Sunan Abi Daud, Rasulullah SAW menggalakkan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah antaranya.

Pada saya, bersempena dengan kedatangan Ramadhan yang semakin hampir, kita merasakan bahawa barakah Ramadhan dan kemuliaannya, kita dimotivasikan untuk menambahkan amalan-amalan kita. Puasa secara khususnya merupakan amalan-amalan yang digalakkan. Meneruskan puasa sepanjang Rajab dan sya'ban, tidak memasukkan kita dalam golongan siyam al-dahr kerana siyam al-dahr yang dimakruhkan ialah mereka yang berterusan berpuasa selama setahun kecuali hari-hari yang diharamkan berpuasa sahaja. Walaupun begitu, mereka yang berpuasa kena memastikan bahawa mereka dapat menunaikan hak-hak yang wajib dan sunat yang mereka perlu penuhi.

Selain itu marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan lain seperti solat-solat sunat, sedekah dan sebagainya. Semoga kita dirahmati Allah. Bertuahlah saudara-saudari yang dapat menambah amalan bersempena dengan motivasi al-Quran berkaitan dengan kelebihan dan besarnya pahala di bulan-bulan haram, dan rasa syukur dekatnya kita dengan Ramadhan. Semoga penulisan ini mendapat saham apabila bertambahnya keyakinan saudara saudari untuk menambahkan amalan kita di bulan ini.

Wallahu a'lam.

Al-haqir ilallah,

Sumber : Asmadi MN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Makluman Kepada Para Pengunjung :

Sekiranya terdapat apa-apa kesalahan perkataan dan fakta di dalam artikel blog ini, dan terdapat mana-mana artikel saya yang menyinggung perasaan anda, maka saya terlebih dahulu memohon maaf di atas perkara tersebut.

Anda boleh memberi komen yang membina, teguran yang berhemah dan cadangan atau pendapat yang bernas terhadap mana-mana artikel di dalam blog ini.

Sebarang kata-kata kesat, menyimpang, lucah dan kata-kata yang bagi pendapat saya boleh menjatuhkan nama baik Islam akan di ban/delete dan tidak akan dilayan sama sekali.

Anda boleh menghantar artikel-artikel anda, iklan-iklan serta jaringan blog anda untuk di siarkan di dalam blog ini, dengan syarat ianya akan ditapis terlebih dahulu oleh admin blog ini.

Sebarang masalah atau apa-apa yang berkenaan diatas boleh dihantar terus ke email admin iaitu :
firdaus_hadi90@yahoo.com

atau boleh melayari facebook admin di bawah :




Ikhwani Fillah

Al Lauhah Ar Raie'ah

Lalu Lintas Pengunjung

Jumlah Bukaan