Tips Penampilan Diri
Petua 1: Jangkakan Kejayaan.
Anda sebenarnya boleh memilih tindakan dan tindakbalas anda. Tindakan
ialah apa yang anda lakukan atau usahakan, tindakbalas pula ialah respon anda terhadap apa yang berlaku atau terjadi atas diri anda. Sebahagian besar tindakan dan tindakbalas anda sebenarnya berlaku secara spontan mengikut kebiasaan atau tabiat. Cuba fikirkan kembali bagaimana anda butangkan baju anda setiap hari? Jalan mana anda ambil
ke tempat kerja setiap pagi? Air apa yang anda minum untuk sarapan? Tanpa anda sedari arahan-arahan tersebut datang tanpa anda sedari dari minda bawah sedar.
Kejayaan dan kegagalan ditentukan oleh perkara yang anda lakukan setiap hari, bukannya apa yang dilakukan sekali-sekala. Oleh itu sangatlah penting agar tindakan dan tindakbalas spontan anda setiap hari menjana sikap positif dalam diri. Tindakan dan tindakbalas anda menggambarkan sikap anda. Sikap anda pula berdasarkan cara anda lihat kehidupan yang bakal anda lalui dalam fikiran anda. Kalau tindakan dan tindakbalas spontan anda adalah negatif, maka ia tidak menguntungkan anda. Anda perlu lakukan sesuatu untuk mengubahnya. Antara cara yang boleh anda lakukan ialah sentiasa jangkakan kejayaan itu milik anda. Lihat yang perjalanan usia anda membawa anda kepada sesuatu yang besar dan bermakna kepada diri, keluarga dan masyarakat anda.
Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif. Malangnya dalam kehidupan ini kita lebih sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.
Tidak lama dahulu satu kajian telah dilakukan di sebuah sekolah di California. Guru-guru telah diberitahu, disebabkan kecemerlangan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran maka mereka hanya akan diberikan murid-murid yang mampu cemerlang dan berIQ tinggi sahaja pada tahun hadapan. Buka sahaja sessi sekolah yang baru, para pelajar yang akan menduduki kelas guru cemerlang tersebut terpaksa dipilih melalui satu ujian IQ yang khusus. Satu kumpulan pelajar yang telah berjaya dalam ujian IQ ini dan masukkan dalam kelas guru-guru tersebut. Mereka telah mengajar dengan bersungguh-sungguh dan murid juga memberikan perhatian yang bersungguh-sungguh.
Walaupun banyak rintangan dan cabaran, namun guru-guru tidak pernah patah semangat kerana mereka yakin murid-murid ini mampu berjaya. Malah pengetua sekolah sendiri telah memberitahu guru-guru ini iaitu walaupun para pelajar ini berIQ tinggi, mereka tetap terpaksa bertungkus lumus disebabkan mempelajari sesuatu yang baru memerlukan usaha yang gigih. Apabila peperiksaan dijalankan, hasilnya cukup membanggakan, para pelajar telah menghasilkan pencapaian seperti yang dijangkakan.
Apa yang lebih dibanggakan lagi ialah sebenarnya guru-guru telah ditipu. Mereka sebenarnya tidak diberikan pelajar yang berIQ tinggi. Ujian IQ yang diadakan hanya sekadar gimik semata-mata. Para pelajar tersebut sebenarnya pelajar yang sederhana sahaja pencapaiannya. Apa yang telah berlaku? Kenapa pelajar ini tetap boleh cemerlang? Perubahan yang berlaku ialah JANGKAAN KEJAYAAN dalam diri pelajar dan guru-guru.
Guru-guru menjangkakan bahawa mereka pasti mencapai sasaran yang ditetapkan. Ini disebabkan mereka sememangnya telah diakui sebagai guru cemerlang dan diberikan pelajar yang bagus-bagus pula. Pelajar pula, setelah mengetahui keputusan ujian IQ, merasakan yang mereka baru menyedari suatu kehebatan yang selama ini mereka sendiri tidak pernah tahu. Mereka percaya bahawa otak mereka bijak. Mereka bersungguh-sungguh untuk membuktikan sememangnya mereka bijak. Ditambah dengan kesungguhan guru-guru tadi, segala harapan bertukar menjadi kenyataan.
Oleh itu jangan berputus asa mengharapkan rahmat dari Allah. Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Menjangkakan kejayaan itu milik anda membuatkan anda tidak putus asa. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai hasrat, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan anda. Lihat diri anda yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam.
Ingat! Jangkakan kehebatan dalam diri anda dan diri orang lain dan kehebatan itu akan terserlah bila tiba masanya nanti.
Petua 2: Lakonkan Watak Orang Cemerlang
Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani. Sebut sahaja tentang 'role model' ini, saya teringat akan sebuah kisah
kejayaan yang telah saya baca tidak lama dahulu. Kisahnya bermula sewaktu perang dunia kedua. Terdapat seorang jeneral tentera Amerika yang begitu dikagumi oleh semua disebabkan kejayaan demi kejayaan yang dibawanya dalam peperangan. Ketokohan dan keberanian jeneral ini begitu dikagumi juga oleh seorang pemuda berpangkat prebet. Suatu hari, prebet ini berpeluang bersemuka dengan jeneral lalu dia terus bertanya, "Tuan, pada pandangan tuan adakah saya mampu, satu hari nanti. berjaya seperti tuan". Lalu, jeneral itu berkata, "Jangan tanya saya soalan bodoh ini".
Prebet tidak berpuas hati lalu terus bertanya sebanyak tiga kali, dan tiga kali juga dia memperolehi jawaban yang serupa. Lalu prebet bertanya kali ini, "Tuan, tiga kali saya tanya tuan tetapi tuan tetap berikan jawapan yang serupa, kenapa begitu tuan?". Lalu jeneral berkata, "Kalau kamu mahu jadi seperti saya, kamu mesti berfikir seperti saya, berjalan dan bercakap seperti saya, dan tindakan kamu pastinya juga nanti seperti saya. Kamu hanya boleh jadi seperti saya sekiranya kamu lalui jalan yang telah saya lalui. Kalau kamu lalui jalan yang berbeza, kamu akan sampai ke destinasi yang berbeza juga". Maka, pemuda itu mula faham. Mulai saat itu dia mula melakunkan setiap watak jeneral dalam kehidupan hariannya. Iaitu termasuklah cara fikir, cara bercakap dan cara berjalannya. 20 tahun kemudiannya, prebet itu berjaya merealisasikan matlamatnya menjadi seorang jeneral di pasukan tentera Amerika.
Cuba anda lihat senario berikut pula, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang.
Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh yang akan memohon untuk berlakun.
Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya ratusan muka surat. Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda. Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem?
Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, anda bertindak seperti pelajar cemerlang di sekolah anda. Mengurus masa, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya.
Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.
Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Fikir seperti mana mereka berfikir, bercakap, bergaya dan bertindak seperti mereka. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sekarang. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.
Petua 3: Ubah Penampilan Diri
Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual.
Sampainya sahaja anda di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan yakin.
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang
positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian.
Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif.