Artikel Terkini

Bersikap Pemaaf Dan Berlapang Dada

Wednesday, April 25, 2012

Allah SWT berfirman di dalam Surah An Nisa, ayat 149 :

ﭢ  ﭣ  ﭤ  ﭥ  ﭦ  ﭧ    ﭨ  ﭩ   ﭪ  ﭫ  ﭬ  ﭭ            ﭮ  ﭯ    

“Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa”.

Dan firman Allah SWT di dalam Surah Al A’raf, Ayat 199 :

ﭵ  ﭶ    ﭷ   ﭸ  ﭹ  ﭺ  ﭻ 

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh”.

Dan juga firman Allah SWT di dalam Surah An Nur, ayat 22 :

ﭸ  ﭹ  ﭺ  ﭻ  ﭼ   ﭽ  ﭾ  ﭿ  ﮀ  ﮁ  ﮂ  ﮃ  ﮄ     ﮅ  ﮆ  ﮈ  ﮉ  ﮋ  ﮌ  ﮍ  ﮎ  ﮏ  ﮐ   ﮒ  ﮓ  ﮔ

“Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Para salafussoleh RA sentiasa memaafkan orang lain dan berlapang dada apabila disakiti seperti dipukul, dicuri, dihina dan sebagainya kerana berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW. Baginda SAW tidak murka terhadap orang yang menyakitinya tetapi murka terhadap orang yang melanggar perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah.

Ja’far ibn Muhammad RA berkata :

لأن أندم على العفو أحب إلي من أندم على العقوبة

“Menyesal kerana memaafkan (kesalahan orang lain) lebih aku sukai daripada aku menyesal kerana membalasnya”.

Hatim ibn Asom RA berkata : Diantara tanda kamu tidak menginsafi diri kamu ialah kamu berasa marah apabila orang lain menderhaka kepada Allah tetapi kamu tidak berasa marah apabila diri kamu menderhaka kepadaNya.

Qatadah RA pernah ditanya 
 :
من أعظم الناس قدرا؟ قال: أكثرهم عفوا

“Siapakah manusia yang paling besar martabatnya?” Jawabnya, “Orang yang paling banyak memaafkan orang lain”.

Seorang perempuan telah mencuri mashaf dan selimut Malik ibn Dinar RA. Maka Malik mengekorinya dan berkata kepadanya, “Aku adalah Malik. Ambillah selimutku dan berilah kembali mashafku, dan janganlah kamu takut.”

Abu Said al Maqburi RA berkata :

من تمام العفو ترك مكافأة الظالم، والترحم عليه، وكثرة سؤال الله أن يعفو عنه

“Di antara tanda kesempurnaan kemaafan seseorang ialah dia meninggalkan balasan terhadap orang yang melakukan kezaliman, mengasihinya dan banyak memohon kepada Allah agar diampunkannya.”

Imam Malik RA apabila dipukul, maka dia memaafkan orang yang memukulnya dari awal. Begitu juga Imam Ahmad ibn Hanbal RA, apabila dipukul maka beliau berkata, “Tiada seorang pun yang akan diazab oleh Allah disebabkannya”.

Ketika mana Saidina Umar ibn al-Khattab RA diejek dan dicaci. Rasulullah SAW yang berada disisi Umar RA tersenyum memandang Umar ibn al-Khattab RA. Tetapi apabila Umar ibn al Khattab membalas semula cacian pemuda tersebut, Rasulullah SAW berhenti dari tersenyum lalu beredar dari situ. Maka Saidina Umar ibn al Khattab RA bertemu semula kepada Nabi Muhammad SAW dan bertanya “Mengapa semasa pemuda tadi mencaci aku engkau tersenyum wahai Rasulullah, tetapi apabila aku membalasnya engkau bermasam muka lalu beredar daripadaku?” Rasulullah SAW menjawab “ Semasa pemuda tadi mencaci engkau wahai Umar, malaikat sentiasa bersama engkau. Tetapi apabila engkau membalas semula caciannya, malaikat beredar dan syaitan bersama engkau, maka akun pun beredar daripada engkau’.

Ka’ab al Ahbar RA berkata: Sesiapa yang bersabar apabila disakiti oleh isterinya, maka Allah akan memberinya ganjaran sepertimana yang telah diberi kepada Nabi Ayyub AS. Sesiapa yang bersabar apabila disakiti oleh suaminya, Allah akan member ganjaran kepadanya sepertimana ganjaran yang telah diberkan kepada Asiah binti Muzahim RA (isteri Fir’aun).

Apa yang berlaku pada hari ini, manusia bersungguh-sungguh mengorbankan dirinya hanya kerana suatu dendam yang masih belum terbalas. Sekiranya mereka memberi ucapan maaf sekalipun, mereka hanya memberi maaf pada mulut tetapi tidak di hati kerana hati mereka masih tidak bebas dari kongkongan sakit hati dan mengungkit kesalahan orang lain di belakang orang tersebut. 

Sememangnya diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Harairah RA :

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

“Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Seseorang itu apabila dia melakukan kesalahan dengan Allah SWT dan memohon keampunan kepadaNya, lalu Allah SWT mengampunkan dosanya dengan sifatNya Yang Maha Pengampun, lalu sahabatnya melakukan kesalahan kepada dirinya, tetapi dia tidak memaafkannya? Sesungguhnya Allah SWT memaafkan hambaNya, inikan kita selaku hambaNya yang hina, yang sentiasa melakukan kesilapan, dan Dialah yang sering memaafkan kesalahan kita tanpa ada jemu. Oleh kerana itu, Ikutlah apa yang telah dianjurkan oleh Islam dengan adab, iaitu apabila seseorang itu hendak tidur, maka tidurlah dalam keadaan dirinya memaafkan kesalahan orang lain. Waallahu ‘Alam…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Makluman Kepada Para Pengunjung :

Sekiranya terdapat apa-apa kesalahan perkataan dan fakta di dalam artikel blog ini, dan terdapat mana-mana artikel saya yang menyinggung perasaan anda, maka saya terlebih dahulu memohon maaf di atas perkara tersebut.

Anda boleh memberi komen yang membina, teguran yang berhemah dan cadangan atau pendapat yang bernas terhadap mana-mana artikel di dalam blog ini.

Sebarang kata-kata kesat, menyimpang, lucah dan kata-kata yang bagi pendapat saya boleh menjatuhkan nama baik Islam akan di ban/delete dan tidak akan dilayan sama sekali.

Anda boleh menghantar artikel-artikel anda, iklan-iklan serta jaringan blog anda untuk di siarkan di dalam blog ini, dengan syarat ianya akan ditapis terlebih dahulu oleh admin blog ini.

Sebarang masalah atau apa-apa yang berkenaan diatas boleh dihantar terus ke email admin iaitu :
firdaus_hadi90@yahoo.com

atau boleh melayari facebook admin di bawah :




Ikhwani Fillah

Al Lauhah Ar Raie'ah

Lalu Lintas Pengunjung

Jumlah Bukaan