Maksudnya: Janganlah engkau meninggalkan zikir lantaran tidak hadirnya engkau dalam zikir, itu kerana kealpaan kepada tanpa zikir lebih buruk dari berzikir tanpa mengigatiNya. Mungkin Dia akan mengangkat kamu ketika berzikir lali kepada zikir yang sedar. Dari zikir sedar kepada zikir yang hadir dan mengangkat dari zikir hadir kepada zikir yang hilang dalam mengingati Allah.
Huraian: yang dimaksudkan dengan zikir ialah “perasaan terus mengingati Allah” iainya adalah pekerjaan hati yang cuba mencegah seseorang dari rasa lalai. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Araf ayat 205 "Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu Dalam hatimu, Dengan merendah diri serta Dengan perasaan takut (melanggar perintahNya), dan Dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah Engkau menjadi dari orang-orang Yang lalai."
Hikmah diatas menjelaskan kepada kita mengenai dua jenis zikir, pertam zikir lisan dan kedua zikir hati. Matlamat dari berzikir ialah zikir hati namun zikir lisan adalah jalan yang boleh mendorong kita sampai kepada zikir hati yang menjadi maksud utama dari nengingati Allah. Sabda Baginda s.a.w kepada seorang sahabat yang bertanya: Ya Rasulallah! Sesungguhnya ajaran Islam terlalu banyak untuk aku laksanakan, oleh itu berikanlah kepada ku sesuatu yang menghimpunkan kesemuanya. Jawab Baginda s.a.w: “sentiasalah lidah mu basah mengingati Allah s.w.t”.
Kadangkala kita banyak menyebut nama Allah dalam zikir kita namun perasaan mengingati Allah jarang menyelubunggi kita. Oleh kerana itulah Ibn Ataillah menasihati kita agar jangan berhenti berzikir ini kerana kealpaan dalam berzikir lebih baik dari kealpaan tanpa zikir. Sheikh Ahmad Zarwak menjelaskan tiga sebab kenapa kita harus terus berzikir walaupun kadangkala kita lalai dalam zikir kita itu;
1.Berzikir dengan lidah adalah usaha mengingati-Nya sebaliknya tidak berzikir adalah usaha melupakannya.
2.Dengan berzikir lisan kita cuba menghiasi diri dengan amalan, sebaliknya meninggalkan zikir adalah usaha lari dari mengingati Allah.
3.Dengan berzikir lisan kita mendedahkan hati kita kepada hembusan Tuhan yang akan menghidupkan hati sanubari.
Zikir lisan sebenarnya adalah ibadah anggota yang boleh mendorong kita kepada rasa “tayaqquz” walaupun ianya adalah sebutan lidah. Kesungguhan dan amalan zikir lidah yang berterusan akan membawa kita secara sedikit demi sedikit kepada matlamat utama berzikir iaitu “rasa sedar” yang berterusan untuk mengingati Allah dengan hati dan perasaan. Tidakkah kita perhatikan lidah yang sentiasa menyebut perkara yang jijik akan mendorong diri dan ingatan kita kepada perkara tersebut demikianlah dengan lidah yang mengingati Allah.
Perkataan “yaqazah al-Qalb” merujuk kepada “perasaan sedar terhadap apa yang dilafazkan dalam zikir”. Perasaan ini merupakan langkah pertama dalam menghidupkan hati dengan berzikir. Kita mulakan langkah mengingati Allah dengan berzikir dalam keadaan lupa setelah lama-kelamaan rasa tayaqquz mula hadir dan tahap terakhir lahirlah rasa “hudur” dengan Allah s.w.t.
Apakah perbezaan antara “tayaqquz” dan “hudur”? Rasa “tayaqquz” bermaksud kehadiran akal dan fikiran yang cuba memahami apa yang diulang-ulang dalam perkataan zikir, manakala rasa “hudur” pula bermaksud perasaan yang bergelora yang kadangkala gembira atau sedih apabila kita berzikir.
Mungkin ada orang berkata: “ Saya mempunyai rasa kesedaran pemikiran yang tinggi namun saya tidak merasai apa-apa perasaan ketika kesedaran itu hadir dalam pemikiran saya!”. Bolehkah kita menyatakan bahawa kelangsungan kita berada dalam keadaan sedar yang menyebabkan kita sentiasa mengulang-ulang sebutan itu akan membawa kita kepada perasaan sedar dan akhirnya melahirkan sesuatu perasaan yang indah bersama kesedaran itu. Perhatikan keadaan membaca al-Quran, kita berpindah dari keadaan membaca dengan lalai kepada peringkat membaca dengan sedar dan dari sedar kepada hadir hati terhadap erti dan makna ayat yang dilafazkan.
Dengan berzikir yang berterusanlah para sahabat dapat melupai dunia yang fana ini walaupun mereka hidup dan menggunakannya. Segala perasaan dan kerinduan mereka hanya berpaut pada-Nya jua. Zikir hati dan lidah yang dilafazkan oleh mereka dapat mengelak diri mereka dari segala godaan dunia yang meracuni fikiran mereka, Sabda Baginda s.a.w yang bermaksud: “ Adakah engkau wahai para sahabat ku ingin mengetahui bahawa sebaik-baik amalan disisi Allah dan setinggi darjat amalan itu yang mengatasi sedekah dengan emas dan perak malah melebihi dari berperang dengan musuh kamu yang akan memancung leher kamu? Jawab sahabat Baginda s.a.w., benar ya Rasulallah, beritahulah kami. Lantas sabda Baginda s.a.w. “mengingati Allah”. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Kahfi ayat 28 "Dan Jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat Dengan orang-orang Yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, Yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah Engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana Engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah Engkau mematuhi orang Yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di Dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran"
* Kata-kata hikmah ini diambil daripada kitab karangan al-Allamah Ibn Ataillah as-Sakandari yang berjudul “Syarah Hikam Ibn Ataillah as-Sakandari”. Semoga Allah kitab-kitab karanganya menjadi pedoman manusia hinggalah hari kiamat. Insyaallah..