Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya dan al-Hafiz al-Maqdisi dengan rijal sahih daripada hadis Anas Radiallahu Ta’ala Anhu telah berkata ; Adalah orang habsyah berjoget atau menari di hadapan Rasulullah SAW dan sambil mereka berkata Muhammad hamba yang soleh. Bertanya Rasulullah SAW: Apa yang mereka katakan? maka dikatakan kepada Rasulullah sesungguhnya mereka berkata Muhammad hamba yang soleh. ketikamana Rasulullah melihat mereka dalam keadaan itu Nabi SAW tidak meingkari mereka dan membenarkan perkara tersebut.
Inilah yang dimaksudkan dengan hadis taqriri atau sunnah taqririyyah sepertimana diistilahkan oleh ulamak hadis seperti Al-Imam Nawawi dan dinaqalkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani R.A.;
ما أضيف إلى النبي صلى الله عليه وسلم من قول أو فعل أو تقرير
Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan atau perbuatan atau pengakuan
Sesuatu yang Nabi tidak larang maka ia kekal HARUS kerana jika ia sesuatu yang mungkar pasti Nabi akan melarangnya kerana Nabi SAW tidak akan redha dengan maksiat dan kemungkaran yang dilakukan oleh umat baginda dan inilah sebab Nabi dan Rasul diutuskan untuk menjelaskan apa yang betul dan apa yang salah di sisi syara’.
Hadis di atas menjadi dalil di atas keharusan berzikir dan memuji Rasulullah SAW dalam keadaan menari dan mengerakakn tubuh. Berzikir dalam keadaan menari atau menggerakkan tubuh tidak termasuk daripada tarian yang haram kerana ada dalil yang membenarkannya. Bahkan ia HARUS kerana boleh mencergaskan badan dan boleh membantu untuk menghadirkan hati mengingati Allah.
Oleh itu, niat dan tujuannya betul kerana kaedah menyebut الأمور بمقاصدها “setiap perkara itu mengikut tujuannya” Adapun jika niat dan tujuannya baik tetapi caranya diharamkan oleh Allah maka ia tetap haram tetapi dalam masalah ini ada nas yang membenarkan zikir sambil menggerakkan badan dan menari seperti yang telah dinyatakan di atas dan tujuannya juga baik maka ia kekal sebagai HARUS di sisi syara’.
Ana tidak suka untuk menggunakan istilah berjoget kerana kebiasaannya ia merujuk kepada tarian yang haram namun apa yang disebut oleh ulamak dengan menggunakan perkataan إهتزازdalam bahasa arab yang membawa maksud hayunan atau goncangan. Namun di dalam hadis digunakan perkataan يرقصون yang diterjemahkan di dalam bahasa melayu dengan maksud menari. Jadi tidak salah kalau kita gunakan istilah menari. Kerana tarian itu ada yang HARUS dan ada yang HARAM.
Untuk mendekatkan kefahaman kita. Jika kita melihat orang yang menyanyikan lagu nasyid sambil mengerakkan tangan dan body kerana menghayati lagu yang ingin disampaikan mengapa kita tidak katakan ia HARAM, BIDAAH atau sebagainya?
Jadi jika menyanyikan lagu nasyid yang sudah ma’ruf kepada kita keharusannya mengapa kita tidak dapat menerima zikir dalam keadaan menggerakkan tubuh kerana merasakan kelazatan zikir dengan menyebut nama Allah?
Bukankah ia sesuatu yang pelik?
Jika ada yang bertanyakan seperti ini maka ana tanya balik kepadanya? Apakah semua benda yang pelik itu salah? Bukan semua pelik itu salah. Pelik pada pandangan kita kerana kejahilan kita terhadapanya bukan kerana ia sesuatu yang salah. Pelik tidak dijadikan kaedah hukum untuk menyatakan sesuatu itu haram atau tidak. Bila ada nas yang membenarkan walaupun macamana pelik sekalipun kita harus akur. Kerana banyak perkara yang pelik yang tidak sampai kepada pengetahuan akal kita seperti azab kubur, kebangkitan selepas kematian, mahsyar, kiamat dan sebagainya. Daripada mana kita tahu perkara ini ada sedangkan kita tidak pernah mengalaminya? Jawapannya kerana ada nas daripada Al-Quran dan Al-Hadis yang menceritakannya kepada kita.
Pelik atau tidak bukan persoalannya. Persoalannya boleh atau tidak? Ada dalil atau tidak? Inilah persoalannya yang perlu ditanya. Dalil sudah jelas ana nyatakan di atas. Itu bukan kalam ulamak sufi atau kalam ana yang dhoif ini tetapi itu kalam Nabi SAW. Jika kita mengatakan sesat kepada orang yang berzikir dalam keadaan seperti di dalam video di atas seolah-olah kita menafikan hadis Nabi SAW. Ini boleh menyebabkan kita berdusta di atas nama nabi SAW. Ingat! Sesiapa yang berdusta di atas nama Nabi, Allah telah sediakan seat class VVIP di dalam neraka sepertimana yang disebut di dalam hadis.
Bukan semua benda yang pelik pada mata kita dikira sesat dan salah. Pada pandangan orang yang mengerti itulah yang sebenar. Jangan terlalu merasa diri kita tahu segalanya tentang agama kerana disitulah bermulanya ujub yang tidak kita sedar.
Mufti As-Saadah As-Syafiiyyah di Makkah, Al-Allamah Al-Kabir Ahmad Zaini Dahlan Rahimahullah menyebut di dalam kitabnya yang masyhur iaitu As-Sirah An-Nabawiyyah wal Aasar Al-Muhammadiyyah hadis yang dirawayatkan oleh Imam Bukhari di dalam sahihnya pada (كتاب الصلح) : Selepas fathu khaibar telah kembali daripada habsyah Ja’far Bin Abi Tolib R.A dan bersamanya daripada kalangan muslimin. Bilangan mereka 16 orang lelaki dan Nabi SAW menemui Ja’faar dan mengucup dahinya dan memeluknya. Rasulullah berdiri kepada Sofwan bin Umayyah dan ‘ Udayy bin Hatim Radiallahu ‘Anhuma dan Rasulullah SAW bersabda : Aku tidak tahu dengan dua sebab aku gembira samada sebab fathu khaibar ataupun dengan kepulangan Ja’faar? Dan bersabada Nabi SAW kepada Ja’faar : Kamu menyerupai kejadianku dan akhlakku. Maka Ja’far menari dengan kelazatan perkataan Nabi SAW kepadanya. Nabi tidak mengingkari perbuatan menari-nari Ja’afar Bin Abi Tolib itu. Inilah yang menjadi dalil asas kepada golongan sufi ketikamana mereka mendapat kelazatan wajdan di dalam majlis zikir dan mereka menari-nari dengan asbab wajdan yang dicampakkan ke dalam hati-hati mereka ketika mengingati Allah.
Bagaimana jika ada percampuran lelaki dan perempuan?
Ulama sufi yang berada di atas jalan kebenaran juga mengakui majlis seperti ini merupakan majlis yang HARAM. Mereka menisbahkan diri mereka kepada sufi tetapi hakikatnya mereka bukan sufi kerana tujuan zikir itu mendekatkan diri kepada Allah dan percampuran lelaki dan perempuan daripada perkara haram yang boleh menjauhkan diri daripada Allah. Jadi matlamat mereka tidak akan sampai kerana wasilahnya menyimpang daripada cahaya quran dan sunnah. Jadi majlis seumpama ini adalah tidak dibenarkan oleh syara’ walaupun mereka menisbahkan nama mereka kepada nama sufi hakikatnya mereka menodai kemurniaan sufi.
Kita mengakui ada sebahagian golongan yang menggunakan nama sufi tetapi menyimpang daripada syariat Islam tetapi dalam masalah yang kita bincangkan di atas ia mempunyai asas dalil yang kukuh untuk menyatakan pendirian bahawasanya perbuatan berzikir dalam keadaan menari merupakan perkara yang SAH di sisi syara’.
Justeru, selagimana tidak ada unsur-unsur yang haram seperti penggunaan alat muzik yang diharamkan, lagu-lagu yang melaghakan, ikhtilat yang haram maka ia tidak tidak menjadi majlis yang HARAM.
Benarlah kata Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah;
الناس أعداء بما جهلوا
“Manusia akan bermusuh dengan apa yang dia tidak tahu”
Janganlah mudah mengatakan tidak ada tetapi belajarlah mengatakan saya belum menjumpainya. Kerana kemungkinan ia ada tetapi belum sampai kepada pengetahuan kita.
Firman Allah;
وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلا – الإسراء :85
Aku tidak berikan ilmu kepada kamu kecuali sedikit sahaja