Artikel Terkini

Perihal Berzikir Dengan Keras/Kuat

Friday, March 18, 2011

Surah Al ‘Araf ayat 205

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

Ertinya : “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.”

Penjelasan : Sebab tersilap faham ayat tersebut, seseorang akan tertanya-tanya : Bolehkah kita berdzikir dan berdoa dengan memekik ataupun meninggikan suara sedangkan ayat tersebut melarang kita berbuat demikian?

Oleh yang demikian untuk menjelaskan ayat yang tersebut di atas kenalah mengetahui dan memahami sebab turunnya dan kaitannya dengan ayat sebelumnya.

Ayat sebelumnya adalah ayat 204 Surah al-‘Araf iaitu ayat

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Ertinya, “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

Imam An-Naisabury di dalam kitabnya [1] berkata :

عن أبي هريرة في هذه الآية: {وَإِذَا قُرِىءَ ٱلْقُرْآنُ} قال:
نزلت في رفع الأصوات وهم خلف رسول الله صلى الله عليه وسلم، في الصلاة.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah sebab turun ayat yang tersebut adalah katanya, “Turun ayat ini pada mengangkat suara sedang mereka (sahabat) di belakang Rasulullah (saw) di dalam sembahyang.”

وقال قتادة: كانوا يتكلمون في صلاتهم في أول ما فُرِضت، كان الرجل يجيء فيقول لصاحبه: كم صليتم؟ فيقول كذا وكذا. فأنزل الله تعالى هذه الآية.
Berkata Qatadah pula “Adalah mereka (sahabat) pada ketika itu bercakap-cakap di dalam sembahyang mereka di awal-awal sembahyang itu difardhukan. Adalah pada ketika itu seorang lelaki datang maka ía berkata kepada sahabatnya “Sudah berapa kamu sembahyang, maka kata (sahabatnya) begini dan begitu, maka Allah Ta‘ala menurunkan ayat ini.

وقال الزُّهْرِي: نزلت في فتى من الأنصار كان رسول الله عليه السلام كلما قرأ شيئاً قرأ هو، فنزلت هذه الآية
Berkata pula al-Zuhri , “Turunnya (ayat ini) pada seorang pemuda dari kaum al-Ansar. Pada ketika itu bilamana Rasulullah membaca sesuatu dari al-Qur‘an maka pemuda itu turut membacanya maka turunlah ayat ini”.

وقال ابن عباس: إن رسول الله صلى الله عليه وسلم قرأ في الصلاة المكتوبة، وقرأ أصحابه وراءه رافعين أصواتهم، فخلطوا عليه. فنزلت هذه الآية.
Berkata pula lbnu al ‘Abbas , “Bahawasanya Rasulullah membaca di dalam sembahyang fardhu dan para sahabat membaca di belakang Rasulullah dengan meninggikan suara maka bercampur baurlah suara-suara mereka, maka turunlah ayat ini.”

وقال سعيد بن جبير ومجاهد وعطاء وعمرو بن دينار وجماعة: نزلت في الإنْصَات لإمام في الخطبة يوم الجمعة.
Menurut Sa’id bin Jubair , dan Mujahid dan ‘Atha dan ‘Amr bin Dinar dan sekumpulan ulama, menyatakan turun ayat ini pada perintah diam bila imam berkhutbah pada hari Jumaat.

Dengan penjelasan tersebut dapatlah kita fahami maksud ayat 205 rnemerintahkan agar, ingatlah Tuhan di dalam hati dalam keadaan rendah diri dan takut dan bukan dengan suara keras, asal maksud perintah tersebut adalah ketika di dalam sembahyang berjamaah agar tidak nengganggu jamaah yang lain lebih-lebih lagi kepada imam.

Namun mengenai berzikir dengan suara yang keras para ulama menjelaskan, harus berzikir dengan suara yang kuat, keras dan harus memekik tetapi dalam keadaan pekikan yang hendaklah dikawal sehingga tidak memudharatkan diri.

Di antara ulama yang mengharuskan jahr (menguatkan atau mengeraskan suara sekalipun di dalam masjid) adalah al-Imam Jalaluddin as-Sayuthi . Beliau menyatakan di dalam kitab [2] beliau seperti berikut:

Seseorang bertanya kepada beliau, “Sudah terbiasa para ulama sufi mengadakan majlis dzikir dan menguatkan suara di masjid-masjid dan mengangkat suara dengan tahlil, adakah itu makruh atau tidak?”

Beliau (Imam Sayuthi ) menjawab, “Sesungguhnya tidak makruh pada yang demikian. Terdapat hadis yang banyak menyatakan galakan/sunat menguatkan suara dengan dzikir. Terdapat juga hadis-hadis mengalakkan/mensunatkan memperlahankan berdzikir dan terdapat juga hadis-hadis yang mengalakkan/mensunatkan himpunan kedua-duanya sekali menguat dan memperlahankan berdzikir. Dan itu adalah berlain-lainan dengan berlain-lainannya hak dan keadaan dan orang-orang yang berkenaan.”

Imam Bukhari telah meriwayatkan suatu hadis yang bermaksud : "Abdullah Ibnu Abbas RA telah memberitakan sesungguhnya menyebutkan kalimah-kalimah zikir secara nyaring selepas selesainya para makmum daripada solat lima waktu telah berlaku semenjak zaman Nabi SAW lagi. Berkata Abdullah Ibnu Abbas lagi: "Aku hanya mengetahui para Sahabat RA telah selesai melaksanakan solat fardhu setelah aku mendengar mereka berzikir secara nyaring."

Hadis ini juga disokong dengan satu lagi riwayat daripada Imam Bukhari yang berbunyi: Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA,katanya: “Sesungguhnya aku mengetahui selesainya Rasulullah SAW daripada solat fardhu dengan ucapan takbir (secara nyaring).”

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani ketika mengulas kenyataan Abdullah Ibnu Abbas telah berkata : "Hadis ini menjadi dalil harus berzikir secara nyaring selepas solat fardhu lima waktu. Berkata Imam al-Nawawi: "Imam al-Syafi'e dengan berdasarkan hadis ini telah memberikan pendapat bahawa para imam disunatkan menyebut kalimah-kalimah zikir secara nyaring selepas solat fardhu lima waktu dalam tempoh waktu tertentu saja dan bukannya dilakukan secara berterusan dan selamanya,setiap kali selesai solat lima waktu.

Al-Hafiz Ibn Rejab telah mengulas dengan panjang lebar mengenainya didalam kitabnya Fathu al-Baari.Hadis ini juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal dengan sedikit penambahan terhadap lafaz hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari iaitu maksudnya: "Sesungguhnya para Sahabat RA, apabila imam yakni Rasulullah SAW dan mereka selesai memberi salam daripada solat fardhu,mereka akan bertakbir sebanyak 3 kali."

Dan adapun yang mengatakan bahawa Nabi dan para sahabat hanya membaca wirid dengan suara kuat dan lantang sewaktu mengajar makmum. Mereka lakukan demikian itu untuk maksud mengajar zikir kepada para hadirin.

Mereka mengatakan “Demikian ditegaskan oleh asy-Syafie seperti yang dinukilkan oleh imam an-Nawawi di dalam kitab al-Majmuk dan kitab al-Um.” dan ini menjadi dalil bagi golongan mereka untuk mengatakan bahawa asy-Syafie sendiri yang mengatakan bahawa berzikir selepas solat dengan mengeraskan bacaan ialah apabila ketika mengajarkan kepada makmum sehinggalah mereka sudah mengetahui apa yang dizikirkan maka diperlahankan zikir tersebut :

Golongan mereka hanya mengambil ayat yang hujung dan menyembunyikan ayat permulaan, ayat yang hujungnya berbunyi :

عن أبي الزبير أنه سمع عبد الله بن الزبير يقول كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا سلم من صلاته يقول بصوته الأعلى لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير ولا حول ولا قوة إلا بالله ولا نعبد إلا إياه له النعمة وله الفضل وله الثناء الحسن لا إله إلا الله مخلصين له الدين ولو كره الكافرون قال الشافعي : وهذا من المباح للامام وغير المأموم قال وأي إمام ذكر الله بما وصفت جهرا أو سرا أو بغيره فحسن

“Daripada Abi Zubair r.a sesungguhnya telah mendengar akan Abdullah ibn Zubair berkata : Rasulullah s.a.w. apabila selesai memberi salam daripada solatnya dan berkata dengan suara yang tinggi : لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير ولا حول ولا قوة إلا بالله ولا نعبد إلا إياه له النعمة وله الفضل وله الثناء الحسن لا إله إلا الله مخلصين له الدين ولو كره الكافرون dan berkata asy-Syafie : dan ini diharuskan bagi imam dan makmum dan mana-mana Imam yang berzikir dengan memuji-muji Allah bersama-sama sifat-sifat yang telah disebutkan dalam hadis ini atau dengan sifat-sifat yang tidak disebutkan dalam hadis ini,selepas solat fardhu lima waktu,sama ada secara nyaring atau perlahan,maka semuanya itu adalah suatu amalan yang baik."

Dan adapun ayat permulaan petikan kata-kata Imam al-Syafi’e yang berbunyi:

وأختار للامام والمأموم أن يذكر الله بعد الانصراف من الصلاة ويخفيان الذكر إلا أن يكون إماما يجب أن يتعلم منه فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه ثم يسر فإن الله عزو وجل يقول ولا تجهر بصلاتك ولا تخافت بها يعنى والله تعالى أعلم الدعاء ولا تجهر ترفع ولا تخافت حتى لا تسمع نفسك

Petikan kata-kata Imam al-Syafi'e inilah yang digunakan oleh mereka yang mendakwa,tidak boleh berzikir dengan nyaring selepas solat fardhu lima waktu.mereka langsung tidak cuba mendedahkan kata-kata Imam al-Syafi'e sebelumnya yang mengharuskan bagi Imam dan para makmum berzikir dengan nyaring.Cuma pada pendapat Imam al-Syafi'e, yang sebaiknya zikir-zikir tersebut dibaca dengan perlahan,kecuali dengan tujuan mengajar para makmum mengenai zikir-zikir yang sunat dibaca selepas solat fardhu.

tidak ada satu pun pendapat daripada Imam al-Syafi'e atau daripada ulama-ulama lain yang bermazhab Syafi'e atau pendapat daripada mazhab-mazhab lainnya yang menghukumkan berzikir secara nyaring selepas solat fardhu adalah suatu amalan Bidaah yang menyesatkan.hanya golongan yang terpengaruh dengan fahaman khawarij moden sahaja yang sanggup menghukumkan sedemikian.

Dan adapun kenyataan Al-Imam Ibnul Qayyim di dalam kitab Zadul-Ma’ad.: “Imam berdoa sesudah salam dari solat sambil menghadap kiblat atau menghadap makmum tidak pernah dikerjakan oleh nabi yang bertindak sebagai imam dan tidak ada pula sesuatu riwayat yang menyuruh kita mengerjakan demikian.” telah disangkal dengan hadith yang diriwayatkan oleh

Imam Bukhari daripada Samurah bin Jundub RA yang berbunyi "Adalah Nabi SAW apabila selesai daripada solat, akan memalingkan mukanya ke arah kami."Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani di dalam kitabnya Fahtu al-Baari ketika mengulas hadis ini telahl berkata: Gaya bahasa hadis Samurah RA ini, dari segi zahirnya menunjukkan sesungguhnya Nabi SAW apabila selesai solat, sentiasa berpaling dengan menghadapkan mukanya ke arah makmum.

Hadis ini telah dikuatkan oleh hadis riwayat Imam Muslim daripada Samurah juga katanya: Adalah Nabi SAW apabila selesai sahaja daripada solat Subuh,akan berpaling dengan menghadapkan mukanya ke arah para Sahabat RA sambil berkata: "Adakah sesiapa daripada kamu yang bermimpi semalam." Imam al-Nawawi ketika mengulas hadis ini berkata: "Hadis ini mengandungi dalil, disunatkan bagi imam solat fardhu, menghadapkan mukanya ke arah para makmum dan membelakangkan kiblah selepas selesai memberi salam daripada solat fardhu.Hadis ini juga menjadi dalil bahawa harus bagi seseorang itu duduk dengan membelakangi kiblah kerana mengajar ilmu pengetahuan kepada orang ramai dan yang seumpamanya.

Tulisan Imam Ibnu Qayyim yang merupakan pendapat peribadinya ini telah ditolak dengan hujah-hujah konkrit oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fathu al-Baari melalui tulisannya yang bermaksud "Apa yang didakwa oleh Imam Ibnu Qayyim iaitu penafian secara umum, berdoa selepas solat fardhu lima waktu adalah ditolak.Ini kerana sesungguhnya telah wujud riwayat-riwayat yang sahih (yang menyatakan sebaliknya).Di antaranya ialah :


1. Riwayat daripada Mu'az bin Jabal yang menyatakan "sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda kepada Mu'az:"Wahai Muaz!Demi Allah! Sesungguhnya aku menyayangimu.Janganlah kamu meninggalkan doa berikut setiap kali selepas solat iaitu : Allah humma a'innie 'ala zikrika wa syukrika wa husni i'baa da tik"

2. Hadis Zaib bin Arqam yang berbunyi :”Aku telah mendengar Rasulullah SAW telah berdoa setiap kali selepas solat: Allahumma rabbana warabba kulli shai”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan al-Nasa'ie

Maka telah jelaslah mengenai zikir dan berdoa secara bersendirian mahupun secara kuat. Kedua-duanya adalah merupakan sunnah Baginda s.a.w. Walaubagaimanapun jika tidak mahu zikir/doa berjemaah janganlah dikatakan bid'ah. Dan janganlah pula kita beranggapan bahawa berzikir selepas solat secara kuat merupakan satu perkara yang wajib ataupun salah satu daripada kesempurnaan solat. Dan janganlah pula kita menghukumkan seseorang itu sebagai kafir dan sesat tanpa hak, jika ianya tidak benar, maka akan balik ianya pada batang hidng kita sendiri.

Dan akhirnya, saya kemukakan sedikit jawapan yang diberikan oleh Dr Wahbah az Zuhaili mengenai doa secara berjemaah :

Dr Wahbah az Zuhaili :

Dalam masalah ini terdapat perselisihan antara ulama, Imam Syatibi dan muridnya Abu Yahya Ibn Ashim dan Ibn qasim al qabab dari Malikiyah rahimahuLlah, kerana tidak pernah diketahui bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berdoa secara berjamaah. Dan hal itu sentiasa demikian sepanjang umur beliau kemudian para khalifah ar Rasyidun setelah beliau kemudian salafussalih.

Adapun yang dilakukan oleh kabanyakan ahli Sunnah di antaranya Ibn 'Irfah al Maliky dan jumhur fuqaha' mazhab berdasarkan apa yang disebutkan oleh Hakim di dalam Mustadraknya : Sahih isnad hadith yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bererti :

"Tidak berkumpul sekelompok orang lalu sebahagian mereka berdoa sementara yang lain mengaminkan kecuali Allah subhanahu wa ta'ala akan mengabulkannya."

Wallahu A’lam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Makluman Kepada Para Pengunjung :

Sekiranya terdapat apa-apa kesalahan perkataan dan fakta di dalam artikel blog ini, dan terdapat mana-mana artikel saya yang menyinggung perasaan anda, maka saya terlebih dahulu memohon maaf di atas perkara tersebut.

Anda boleh memberi komen yang membina, teguran yang berhemah dan cadangan atau pendapat yang bernas terhadap mana-mana artikel di dalam blog ini.

Sebarang kata-kata kesat, menyimpang, lucah dan kata-kata yang bagi pendapat saya boleh menjatuhkan nama baik Islam akan di ban/delete dan tidak akan dilayan sama sekali.

Anda boleh menghantar artikel-artikel anda, iklan-iklan serta jaringan blog anda untuk di siarkan di dalam blog ini, dengan syarat ianya akan ditapis terlebih dahulu oleh admin blog ini.

Sebarang masalah atau apa-apa yang berkenaan diatas boleh dihantar terus ke email admin iaitu :
firdaus_hadi90@yahoo.com

atau boleh melayari facebook admin di bawah :




Ikhwani Fillah

Al Lauhah Ar Raie'ah

Lalu Lintas Pengunjung

Jumlah Bukaan