Artikel Terkini

Kemulian dan Kelebihan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam

Tuesday, March 15, 2011

[1] Allah Subhanahu waTa’ala dan para Malaikat berselawat kepada Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [al-Ahzab 33:56]

Istilah Selawat berasal dari perkataan solat yang bererti doa. Apabila dikatakan berselawat kepada Rasulullah, ia bererti mendoakan segala yang baik untuk baginda. Selawat Allah kepada Rasulullah bererti pujian, pengagungan dan pengurnian rahmat oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada baginda. Manakala selawat para malaikat dan manusia kepada Rasulullah adalah doa agar Allah Subhanahu waTa’ala memberikan rahmat, keberkatan, keutamaan dan kemulian kepada baginda. Ayat 56 surah al-Ahzab ini jelas menunjukkan kemulian dan kelebihan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di atas mana-mana manusia lain sehingga ke Hari Akhirat.

[2] Allah meninggi dan memuliakan nama Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu, dadamu (wahai Muhammad) ? Dan Kami telah meringankan daripadamu, bebanmu (menyiarkan Islam) - Yang memberati tanggunganmu ? Dan Kami telah meninggikan bagimu, sebutan namamu ? [asy-Syarh 94:1-4]

Terhadap firman Allah: ....... Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu .... telah diriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda:

Jibrail (alaihi salam) telah datang kepada aku dan berkata: “Sesungguhnya Rabb aku dan Rabb engkau telah telah berfirman – Tahukah bagaimana (Aku) menaikkan sebutan namamu ?” Berkata Rasulullah: “Allah sahaja yang mengetahui.” Berkata Jibrail: “Apabila namaKu disebut nama engkau disebut bersamaKu.”

Riwayat ini sekalipun lemah isnadnya, tetapi maksudnya dibenarkan oleh umat Islam sejak dari saat pertama Islam bermula. Yang dimaksudkan dengan Apabila namaKu disebut nama engkau disebut bersamaKu adalah dalam sebutan syahadah, yakni apabila nama Allah Subhanahu waTa’ala dan Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam disebut bersama: “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah” Berkata Mujahid (104H) rahmatullhu-alaihi, anak murid bagi Abdullah ibnu Abbas (68H) radiallahu-anhu: Tidaklah disebut (nama Allah) melainkan disebut juga nama dia (Muhammad) bersama (iaitu ketika berkata) “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.” Berkata juga Qatadah (118H) rahmatullahu-alaihi: Allah telah meninggikan namanya (Muhammad) di dunia dan akhirat. Tiadalah seorang yang menyebut atau bersyahadah atau bersolat kecuali akan berkata - “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah.” Mujahid dan Qatadah adalah dua tokoh ilmuan dan pakar tafsir generasi tabiin.

[3] Allah bersumpah dengan nama dan kedudukan Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. [al-Hijri 15:72]

Para ahli tafsir menerangkan bahawa apabila Allah Subhanahu waTa’ala bersumpah dalam al-Qur’an, ia adalah bagi menunjukkan kebesaran objek yang disumpah-Nya atau bagi mengisyaratkan besarnya subjek yang bakal menyusuli sumpah tersebut. Justeru apabila Allah Subhanahu waTa’ala bersumpah dengan usia atau hayat Rasulullah, ia menunjukkan kebesaran, keutamaan dan kepentingan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Malah inilah julung kalinya Allah bersumpah dengan sesuatu yang bernyawa dalam al-Qur’an, sumpah-sumpah-Nya yang lain semuanya ditujukan kepada benda tidak bernyawa seperti bulan, matahari, waktu dan sebagainya. Abdullah ibnu Abbas (68H) radiallahu-anhu berkata: Allah tidak mencipta atau membuat atau mereka suatu nyawa yang Dia muliakan lebih dari Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam. Dan aku tidak pernah mendengar Allah bersumpah dengan suatu nyawa selain nyawanya (Muhammad).

Selain itu Allah Subhanahu waTa’ala juga beberapa kali telah menyusul sumpah-sumpah-Nya dengan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, sekali lagi membuktikan kebesaran dan keutamaan baginda. Sila rujuk ayat-ayat berikut:

Yaa, Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh, Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus. [Yasin 36:1-3]

Demi bintang semasa ia menjunam, rakan kamu (Nabi Muhammad), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat. [an-Najm 53:1-2]

Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis, Engkau (wahai Muhammad) - dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu - bukanlah seorang gila. [al-Qalam 68:1-2]

Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini; Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini. [al-Balad 90:1-2]

Demi waktu Dhuha, dan malam apabila ia sunyi-sepi, (bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu). [ad-Dhuha 93:1-3]

[4] Allah membela dan melindungi Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus. [al-Kaustar 108:1-3]

Ayat ini turun sebagai menjawab orang-orang kafir ketika itu yang telah menyindir Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam – kononnya beliau terputus zuriat keturunan, akibat kematian putera-putera beliau dalam usia yang masih kecil. Oleh itu Allah Subhanahu waTa’ala membela Rasulullah dengan menerangkan bahawa sekalipun beliau terputus zuriat keturunan, risalah Islam yang dibawanya tidak akan terputus. Ia akan terus berkembang sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini. Malah yang sebenarnya terputus adalah orang-orang kafir itu sendiri, bilangan mereka makin mengecil dan mereka semua tertinggal dalam kegelapan jahiliyah dan kesesatan taghut.

Ayat ini juga memiliki erti dan pengajaran yang lebih luas memandangkan Allah Subhanahu waTa’ala telah menurunkannya dengan lafaz yang umum lagi terbuka. Oleh itu ayat ini juga ditujukan kepada:

[1] Sesiapa yang membenci Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, termasuk menghina, meremeh, merendah, bermusuhan, berdengkian dan marah kepada beliau.

[2] Sesiapa yang membenci dan melecehkan sunnah-sunnah Rasulullah, enggan mentaati dan mengikutinya tetapi lebih suka berbuat bid’ah sesuka hati.

[3] Sesiapa yang membenci risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah.

Maka bagi orang-orang yang memiliki sifat kebencian ini, mereka terputus dari rahmat, kasih sayang, hidayah, petunjuk, kebaikan dan ganjaran Allah Subhanahu waTa’ala.

Selain itu terdapat beberapa ayat lain yang menerangkan pemeliharaan dan pertolongan Allah Subhanahu waTa’ala kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, antaranya ialah:

Dan Allah jualah akan memeliharamu (Muhammad) dari (kejahatan) manusia. [al-Maidah 5:67]

Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar. [al-Anfal 8:17] Ayat ini turun semasa Perang Badar apabila Allah Azza waJalla menurunkan pasukan tentera para malaikat bagi menolong Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan umat Islam.

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. [al-Anfal 8:30]

Jika kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya. [at-Taubah 9:40]

[5] Allah menyifatkan pengutusan Rasulullah sebagai Rahmat bagi sekalian alam.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul…..[‘Ali Imran 3:164]

Perkataan mannaLlah bererti limpahan nikmat, rahmat dan kurnia yang Allah berikan kepada orang-orang Islam, iaitu apabila diutuskan kepada mereka Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam.

Katakanlah: Dia mendengar (Muhammad) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu. [at-Taubah 9:61]

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [al-Anbiya’ 21:107]

[6] Allah mensyaratkan kasih sayang kepada-Nya dengan ikutan kepada Rasulullah.

Sesiapa yang benar-benar mengasihi Allah Subhanahu waTa’ala, hendaklah dia membuktikan kasih sayang tersebut dengan mengikuti sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Firman Allah Subhanahu waTa’ala melalui lisan Rasulullah.

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [‘Ali Imran 3:31]

[7] Sesiapa yang memuliakan, menolong dan mengikut sunnah Rasulullah akan berjaya dunia dan akhirat, dan akan memperolehi, kasih sayang, keampunan dan keredhaan Allah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya. [al-A’raaf 7:157]

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [‘Ali Imran 3:31]

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. [al-Ahzaab 33:21]

[8] Allah memuji akhlak dan perilaku Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.[al-Qalam 68:04]

[9] Allah memberi amaran keras kepada sesiapa yang biadap dan tidak sopan terhadap Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. [an-Nur 24:63] Iaitu janganlah dipanggil Muhammad tetapi panggilah “Ya Rasulullah” atau “Wahai Nabi”.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya. [al-Hujerat 49:02]

Allah Subhanahu waTa’ala juga memberikan amaran keras kepada sesiapa yang menyakiti Rasulullah dan melakukan perkara-perkara yang tidak disukainya. Malah dalam satu ayat lain Allah meletakkan Rasulullah di sisi nama-Nya dalam memperingatkan kesalahan yang besar ini:

Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [at-Taubah 9:61]

Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (atau melakukan perkara yang tidak diredai oleh) Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. [al-Ahzaab 33:57]

[10] Allah tidak akan menghukum sesuatu kaum selagi Rasulullah hadir di tengah-tengah mereka ketika itu.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka. [al-Anfal 8:33]

Demikian 10 dalil al-Qur’anul Karim yang menerangkan kemulian, penghormatan dan kelebihan yang diberi oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Semua ini menunjukkan bahawa beliau bukanlah sekadar manusia yang biasa tetapi adalah manusia terpilih yang dikhususkan oleh Allah Tabaraka waTa’ala.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Makluman Kepada Para Pengunjung :

Sekiranya terdapat apa-apa kesalahan perkataan dan fakta di dalam artikel blog ini, dan terdapat mana-mana artikel saya yang menyinggung perasaan anda, maka saya terlebih dahulu memohon maaf di atas perkara tersebut.

Anda boleh memberi komen yang membina, teguran yang berhemah dan cadangan atau pendapat yang bernas terhadap mana-mana artikel di dalam blog ini.

Sebarang kata-kata kesat, menyimpang, lucah dan kata-kata yang bagi pendapat saya boleh menjatuhkan nama baik Islam akan di ban/delete dan tidak akan dilayan sama sekali.

Anda boleh menghantar artikel-artikel anda, iklan-iklan serta jaringan blog anda untuk di siarkan di dalam blog ini, dengan syarat ianya akan ditapis terlebih dahulu oleh admin blog ini.

Sebarang masalah atau apa-apa yang berkenaan diatas boleh dihantar terus ke email admin iaitu :
firdaus_hadi90@yahoo.com

atau boleh melayari facebook admin di bawah :




Ikhwani Fillah

Al Lauhah Ar Raie'ah

Lalu Lintas Pengunjung

Jumlah Bukaan